Saturday, June 26, 2010

Solat Sunat Gerhana Bulan

Aku ke Masjid A'Laa di Jitra untuk menunaikan solat Maghrib. Selesai solat, imam memaklumkan bahawa di Kedah sekarang ini berlakunya gerhana bulan dan kita disunatkan untuk membuat solat gerhana bulan.

Gerhana bulan berlaku apabila matahari, bumi, dan bulan berada dalam satu garisan.

Sepanjang ingatanku, hanya beberapa kali aku mengerjakan solat gerhana bulan mahupun gerhana matahari.

Perbezaan solat sunat biasa dengan solat sunat gerhana ini ialah solat gerhana mempunyai rukuk 2 kali setiap satu rakaat. Oleh itu, solat gerhana yang dibuat sebanyak 2 rakaat mempunyai rukuk sebanyak 4 kali. Perbuatan yang lain-lain adalah seperti biasa.

Imam pada rakaat pertama akan membaca surah al-fatihah dan surah lazim secara jahar (kuat), kemudian beliau rukuk. Kita juga rukuk bersamanya. Apabila i'tidal atau bangkit dari rukuk, imam akan membaca surah al-fatihah dan surah lazim sekali lagi, kemudian rukuk, bangkit dari rukuk dan sujud seperti biasa. Begitu juga pada rakaat yang kedua.

Selesai solat, khatib akan membaca khutbah. Isi khutbah tadi ialah tentang fenomena gerhana, dan fungsi bulan dan matahari.

Kita sedia maklum fungsi matahari yang begitu penting kepada dunia sejagat. Pokok-pokok dan haiwan amat memerlukan matahari untuk hidup. Kalau kita masih ingat proses fotosintesis yang kita pelajari semasa di bangku sekolah dulu...

Begitu juga bulan, yang mana air pasang surut di laut adalah bergantung kepadanya.

Itulah sunnatullah yang perlu kita perhati dan memikirkannya, supaya kita akan lebih menginsafi kejadian Allah dan lebih mendalam mencintaiNya.

Ya Allah, sesungguhnya aku takjub dengan segala penciptaanMu...

No comments:

Post a Comment