Friday, November 19, 2010

Lembu Terakhir IKRAM Johor Diqurbankan Pagi Tadi...


Pagi tadi, selesai solat subuh di MSI, UTM, kami bergerak ke ladang lembu di Simpang Renggam. Sebuah kereta yang dipandu PM Dr Hj Mohamad Wijayanuddin, dipenuhi oleh Hj Ahmadon, Hj Wan Ibrisam Fikry, Abdul Muhaimin, dan Wan Abdul Rasyid sampai di ladang sekitar jam 7.30 pagi. Kami memulakan acara dengan sarapan pagi yang disediakan oleh Hj Sarif di ladang.

Selesai sarapan, kamipun memulakan tugas dengan menyembelih 2 ekor lembu terakhir dari 33 ekor lembu yang dijadikan ibadah qurban oleh ahli IKRAM seluruh Johor pada tahun ini. Jumlah 33 ekor ini tidak termasuk ahli IKRAM Johor yang berqurban di lokaliti masing-masing bersama masyarakat setempat. Ada juga ahli IKRAM Johor yang berqurban di Indonesia bagi membantu masyarakat Indonesia yang ditimpa bencana gunung berapi di Jogjakarta.

Kemudian PM Dr Hj Mat Hussin tiba di ladang dengan keretanya, bersama sebuah lori 1 ton untuk membawa daging qurban ke Pejabat IKRAM Negeri Johor.

Pejabat IKRAM Negeri Johor baru sahaja dibeli dan belum lagi dibuat pengubahsuaian. Di sini, Pejabat IKRAM Negeri dan Pejabat IKRAM Daerah Johor Bahru Tengah akan beroperasi.

Tidak lama kemudian, PM Dr Hj Ali, Penyelaras Ibadah Qurban IKRAM Johor 1431 tiba bersama kawannya.

Sekitar jam 9 pagi, semua daging, tulang, dan babat (perut) dimuatkan ke dalam lori dan bergerak ke Taman Universiti.

Kumpulan ibu-ibu sudah bersiap sedia memotong bawang di Pejabat IKRAM sekitar jam 10 pagi.

Sebahagian dari daging akan diedarkan kepada orang-orang susah di sekitar daerah Johor Bahru Tengah, manakala sebahagian lagi dibuat sup dan masak kicap untuk jamuan kepada seluruh ahli IKRAM Johor.

Proses memasak bermula sekitar jam 11 pagi dan dijangka siap untuk dimakan selepas solat Jumaat.

Kereta kami sampai ke Pejabat IKRAM Negeri Johor, di alamat 11 Jalan Pendidikan 3, Taman Universiti, sekitar jam 10.20 pagi.

Saya bersama Dr Hj Jamaluddin menimbang dan mengisi beg-beg berlogo IKRAM dengan daging seberat satu kilogram setiap satu.

Pada pukul 11 pagi, saya memandu Kancil bersama Zahid Jamaluddin, Wan Abdul Rasyid, dan Wan Abdullah Syakir untuk mengagihkan daging qurban ke rumah-rumah kos rendah di Jalan Penyiaran, Jalan Pertanian, Jalan Perubatan, Jalan Kemuliaan, Jalan Kebangsaan, dan apa-apa jalan lagi di sekitar Taman Universiti...

Orang lain akan megagihkan daging di kawasan lain pula.

Sungguh memenatkan sekali... tetapi apabila mengenangkan betapa seronoknya orang yang kurang berada dapat memakan daging qurban pada hari ini, maka hilang segala kepenatan! Tujuan diedarkan sebelum tengahari adalah supaya mereka sempat memasak daging tersebut untuk santapan tengahari mereka.

Kami selesai mengagihkan daging-daging tersebut 10 minit sebelum pukul 1 petang.

Saya, Rasyid, dan Syakir pulang ke rumah untuk mandi sebelum ke Surau At-Taqwa, Taman Pulai Utama, untuk menunaikan solat Jumaat.

Selesai solat Jumaat, kami terus ke Pejabat IKRAM untuk menjamu selera...

Thursday, November 18, 2010

Qurban Menjadi Budaya Orang Islam Di Malaysia


Keutamaan qurban dijelaskan oleh sebuah hadis A’isyah (RA), Rasulullah (SAW) bersabda, “Sebaik-baik amal bani Adam bagi Allah di hari Idul Adha adalah menyembelih qurban. Di hari kiamat haiwan-haiwan qurban tersebut menyertai bani Adam dengan tanduk-tanduknya, tulang-tulang dan bulunya, darah haiwan tersebut diterima oleh Allah sebelum menitis ke bumi dan akan membersihkan mereka yang melakukannya”. (Hadis Riwayat Tirmizi & Ibnu Majah)

Alhamdulillah, masyarakat di Malaysia sudah menjadikan ibadah qurban sebati dalam kehidupan mereka. Ada yang melakukannya di Malaysia di qariah masing-masing, bahkan ada yang melaksanakannya di luar negara seperti di Palestin, Kemboja, dan tempat-tempat lain yang lebih memerlukan.

Pendekata, masyarakat menengah di Malaysia makin rancak beramal dengan ibadah ini. Dalam radio IKIM, saban hari kita mendengar iklan yang menganjurkan supaya kita berqurban.

Surau at-Taqwa, Taman Pulai Utama telah melakukan qurban mereka semalam. Lima ekor lembu telah ditumbangkan!!!


IKRAM Johor menerusi Seketeriat Qurban IKRAM Negeri Johor telah dan akan melaksanakan qurban sebanyak 33 ekor di pelbagai tempat dan daerah pada tahun ini. Mereka mula menyembelih lembu pada hari semalam (Hari Raya Pertama) dan akan menyembelih lembu terakhir pada hari esok, Jumaat (Hari Raya Ketiga).


Kesemua daging diagihkan kepada masyarakat setempat.

Dalam kehidupan kita seharian, kita boleh dikatakan bertuah kerana tiada hari yang kita makan tanpa lauk. Tetapi ada sebilangan masyarakat, baik di bandar mahupun di desa hanya dapat merasa daging sebagai lauk mereka mungkin dua atau tiga bulan sekali.

Pengalaman saya mengedar sedikit keperluan harian semasa bulan Ramadhan tempohari kepada penghuni rumah kos rendah, amat menyayat hati. Mereka menceritakan pelbagai masalah yang dihadapi dan terpaksa meneruskan kehidupan dengan apa yang ada. Ibarat peribahasa kita mengatakan, "Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang".

Agak-agak bila ya, masyarakat Islam kita akan boleh berdikari seperti di zaman Khalifah Umar Abdul Aziz? Tiada masyarakat miskin... sehingga tiada orang layak untuk mendapatkan bantuan dari Baitul Mal.

Sunday, November 14, 2010

Ihtifal SRIH 2010


Pada 13 November 2010, berlangsung Hari Ihtifal Sekolah Rendah Islam Hidayah, buat kali ke 21. Ya, sudah lama SRIH beroperasi... Alhamdulillah, hasil keringat pakcik-pakcik terdahulu maka telah lahir beribu-ribu pelajar dari sekolah yang bersepadu ini.

Tanpa usaha pakcik dan makcik yang melihat perlu adanya sekolah yang bersifat 'integrated' antara kurikulum biasa dan deeniyah, maka sudah pasti ramai di kalangan anak-anak akan belajar di sekolah biasa saja.

Hasilnya, disamping anak-anak cemerlang dalam matapelajaran aliran biasa (seperti Kimia, Fizik, Matematik Tambahan, dan lain-lain), anak-anak juga faham dan arif tentang selok belok agama Islam (Tauhid, Fiqh, Seerah, Hafazan, dan lain-lain).

Tamat Darjah 6 di SRIH, sudah boleh menghafal seluruh juzuk 'Amma dan 5 surah terpilih (seperti Al-Waqiah, Yaasin, Al-Mulk, dan sebagainya).

Zaman pakcik makcik jauh sekali... Kami hanya membuat hafazan tentang perkara yang bukan-bukan.

Pakcik masih ingat semasa di Darjah 5 atau 6, yang mana sekolah mengadakan Minggu Kesedaran Bahasa Inggeris. Oleh itu, pelajar diminta menghafal lagu-lagu Inggeris. Kerana katanya menghafal lagu lebih senang kerana seiring dengan naluri manusia yang sukakan hiburan. Jadi, kalau hendak pandai Bahasa Inggeris kena banyak dengar atau hafal lagu Inggeris!!!

Apa lagi, pakcik pergi ke rumah sepupu yang mempunyai piring hitam lagu Beatles. Apa itu piring hitam, anak-anak mungkin tidak pernah melihatnya? Setelah dicari satu lagu yang senikatanya agak mudah maka pakcik pun mula menghafalnya. Sambil menghafal sambil menangis kerana susah hendak ingat dan takut cikgu panggil ke depan perhimpunan nanti untuk menyanyi lagu tersebut.

Emak saudara menasihatkan ku supaya membaca ayat kursi dan insyaAllah, Allah akan lindung kita dan mudah-mudahan nama kita tidak dipanggil ke depan untuk menyanyi. Nak hafal lagu Beatles lagi... Nak hafal ayat al-Kursi lagi...

Anak-anak kita darjah 1 sudah ingat ayat al-Kursi kerana selalu dibaca dalam al-Ma'tsurat... Itulah bezanya zaman pakcik dan makcik dengan zaman anak-anak.

Di sekolah kita juga, ada satu penilaian lain selain dari UPSR, dikenali sebagai SPPM. Apa itu SPPM?

Sistem Pentaksiran Pelajar MUSLEH (SPPM) bertujuan melahirkan insan musleh, yang memiliki akhlak yang terpuji dan bermanfaat kepada orang lain. Mereka menjadi contoh, ikutan dan pembimbing kepada orang lain.


Insan musleh ini boleh dilihat melalui beberapa dimensi kemanusiaan atau konstruk yang hendak dibina dalam diri insan.

Dalam pendidikan peringkat sekolah, pentaksiran yang begini boleh mempertingkatkan sifat musleh dalam kalangan pelajar.

Berdasarkan kepada konsep pentaksiran yang bersepadu, Pusat Pendidikan SRI-SMI Berhad (MUSLEH) telah membangunkan Sistem Pentaksiran Pelajar MUSLEH (SPPM) ini.

SPPM menggabungkan proses penilaian formatif dan sumatif merangkumi kognitif dan bukan kognitif.

SPPM adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran yang berterusan.

Langkah penggubalan instrumen pentaksiran bermula dengan mengenalpasti kategori atau ciri insan yang penting dalam diri insan yang musleh yang selari dalam setiap kategori.

SPPM terdiri dari lima (5) bidang iaitu:-

1 - Bidang Ilmu

2 - Bidang Kemampuan

3 - Bidang Ibadah Khusus

4 - Bidang Iman

5 - Bidang Akhlak

Itulah bezanya sekolah anak-anak kita dengan sekolah kita.

Wahai anak-anak, doakanlah ke hadrat Allah SWT semoga segala usaha pakcik dan makcik yang berkorban harta, tenaga, dan masa demi menjayakan sekolah kita diberi ganjaran yang setimpal. Tanpa usaha mereka, anak-anak kita tidak mampu berada di mana mereka berada sekarang...

Friday, November 12, 2010

Perbincangan Dengan 'External Supervisor', Dr. William James McClauskey

Semalam aku berbincang dengan 'external supervisor', Dr William James McClauskey (Billy) di bilikku. Hampir 2 jam, beliau bersamaku. Habis berbincang sekitar jam 2 petang, kami (aku, Pak Ba & Billy) ke warung berdekatan Bank Muamalat dulu, dalam UTM.

Billy memesan mee goreng, manakala aku dan Pak Ba memesan Mee Kari Tulang 'Gearbox'. Berselera sekali, Billy makan mee goreng... Habis mee goreng, Billy makan lagi separuh dari Mee Kari Tulang Pak Ba. Billy juga meminum 2 gelas Kopi Susu. Nampak berselera Billy memakan makanan kita.

Malam tadi, kami 'entertained' Billy dengan 'dinner' di Pulai Springs, juga tempat penginapan beliau.

Agak ramai orang di Pulai Springs malam tadi. Rupa-rupanya, ada program Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Datuk Chua Jui Meng di sana.

Kami makan 'chinese food' di Qing Palace, Pulai Springs. Sebenarnya, kami berlima. Aku, Pak Ba, Billy, PM Dr Buang Alias dan isteri keduanya. 'At the end, Dr Buang paid the bill'.

Billy agak seronok dengan 'progress' kajian PhDku.

Kalau tidak silap, semasa beliau datang pada tahun lepas, bulan November juga, beliau telah menyarankan supaya aku pergi mendapatkan data pada bulan Jun tahun ini. Alhamdulillah, telah aku laksanakan.

Jadi petang semalam, aku dan Billy 'go chapter by chapter'. Banyak input yang aku perolehi. Antaranya banyak 'graph' yang telah aku buat disuruh tukar kepada 'histogram', atau 'pie-chart'. Mudah dibaca katanya!

Menurut beliau lagi, 'chart' yang dibuat tidak boleh ada 'colour'. Itu standard University of Ulster tetapi UTM, boleh aje...

Apa yang diperolehi dari 'histogram' atau 'pie-chart' tidak perlu diperjelaskan kesemuanya. Cuma pilih yang mana angka-angkanya yang nampak signifikan saja untuk dijelaskan.

Dalam Bab 1, beliau menyuruh aku menegaskan tentang kepentingan kajian ini (significant of this work) secara ringkas, kemudian menegaskan sekali lagi secara detail dalam Bab Akhir (Bab 9).

2 set responden yang telah aku buat kajian pada bulan Jun lalu perlu diperjelaskan dalam 3 seksyen. Set responden pertama iaitu 100 petani diterangkan dalam seksyen 1. Set responden kedua iaitu 32 orang di kalangan pembuat dasar atau 'orang besar' Kedah diterangkan dalam seksyen 2. Dan dalam seksyen 3, perlu dijelaskan perbandingan antara 2 set responden tersebut (crossover). Ini penting katanya kerana ia perlu nampak ada perbezaan atau persamaan di antara 2 set responden tersebut.

Billy juga menegaskan di bawah setiap topik perlu ada sekurang-kurangnya sebaris ayat sebelum kita memulakan sub-topik.

Beliau menerangkan bahawa setiap bab perlu ada rumusan. Dan rumusan ini perlu 'highlight' isu utama dalam bab tersebut. Seterusnya, di akhir rumusan bab perlu ada ayat yang menerangkan bahawa ada kesinambungan 'continuity' diantara bab lepas dan bab yang seterusnya (link to the next chapter).

Setiap maklumat yang ditulis perlu disusuli atau 'back up' dengan fakta. Fakta ini samaada kajian yang orang lain telah buat atau mana-mana bahan bercetak yang 'published'.

Dalam bab akhir, perlu ada 'introduction', 'main conclusion', 'recommendation', 'significant of this research' yang lebih detail (2 hingga 3 muka surat), dan 'area for further research'.

Semoga apa yang aku catit ini, boleh menjadi petunjuk jua kepada orang lain, insyaAllah!

Monday, November 8, 2010

Sedih Melihat Layanan Orang Tua Terhadap Anak-Anak Ke Masjid...

Abang dan Achik berpuasa hari ini. Aku memaklum pada abang kalau kita bergerak dari rumah sebelum pukul 8, kita akan ke Masjid Sultan Ismail (UTM) untuk menunaikan solat Isya', kalau selepas pukul 8 alamatnya Surau At-Taqwa, Taman Pulai Utama aje.

Anak-anak memang suka ke MSI, mungkin kerana sudah terbiasa sejak aku menjadi felo di Kolej Siswa Desa Skudai (1996) lagi, kami ke MSI untuk berjamaah. Apabila aku mengarahkan kereta ke surau atau masjid lain, maka berbunyi bisinglah di belakang.

Sebenarnya, elok juga kita membiasakan diri dengan masjid atau surau yang lain selain dari masjid 'favourite' kita... supaya kita tidak merasa kekok atau asing dimana-mana Rumah Allah. Semuanya sama, cuma ada yang lebih selesa kerana lebih luas, lebih bersih, 'toilet'nya banyak, ahli jamaah yang datang solat lebih 'kids friendly', dan banyak lagi faktor. Dengan kata lain, faktor jarak dari rumah tidak menjadi faktor utama. Kalau dekat tetapi kita tidak merasa selesa, aman atau 'at ease' pun susah juga.

Semasa hendak solat Isya' tadi, aku nampak ada seorang hamba Allah menghalau Rasyid dan Syakir yang berada di barisan belakang supaya berundur jauh ke belakang. Dengan kata lain, dia ingin melihat budak berdua ini mungkin berada 10-15 meter di belakang, jauh dari saf orang bersolat. Aku sudah sentuh mengenai isu ini dalam penulisanku dulu... Tapi aku tulis lagi, untuk melepaskan perasaan.

Pakcik yang menghalau itupun tak pernah aku nampak di MSI sebelum ini. Datang masjid setahun sekalipun.... astagfirullah...

Yang menyedihkan aku, cara dia menghalau budak-budak tu, macam halau ayam. Apa perasaan budak 9 tahun dan 6 tahun itu? Jika pengalaman buruk itu melekat di fikirannya, hendak ke budak-budak tu datang masjid lagi?

Atau masjid ini hanya perlu didekati oleh orang-orang tua yang menunggu masa aje?

Sedangkan kita hendak anak-anak terbiasa dengan masjid... Kita juga tahu pasal hadis yang menceritakan anak muda yang bertaut hati dengan masjid begitu besar sekali ganjarannya. Orang muda bukan orang tua! Orang tua memanglah kerana dia merasa dirinya sudah dekat hendak menemui Penciptanya. Kalau orang tua masih jauh dengan masjid atau datang setahun sekali aje, agak susah hendak cakap!

Gelagat sesetengah manusia yang mengaku Islam, kadang-kadang memburukkan lagi agama yang suci ini. Itu baru anak-anak, kalau orang kafir yang ingin mendekati Islam dan cuba melihat suasana di dalam masjid, mungkin diherdiknya atau dilarang sama sekali memasuki masjid.

Astagfirullahal 'azim, cubalah rasional sikit. Kadang-kadang manusia seperti itu mengalami apa yang dia buat itu semasa dia kecil dulu.

Masa dia kecil-kecil dulu, dia datang masjid, bukan hendak solat tetapi bergurau senda dengan kawan-kawan dan membuat bising. Apabila kena marah terus tidak datang dan baru sekarang datang balik... Dan sekarang ini, dia ulang balik apa yang orang tua dahulu kala lakukan kepadanya.

Kalaulah kita begitu taksub dengan pegangan kita, apa salahnya cakap elok-elok pada kanak-kanak itu supaya dia tidak terasa hati. Budak-budakpun mempunyai perasaan... Masyarakat Arab di MSI tak kisahpun anak-anak mereka bersolat bersebelahan mereka, baik semasa solat Jumaat mahupun solat biasa...

Thursday, November 4, 2010

Haram Menderhakai Ibu, Membunuh Anak, Tidak Menunaikan Hak, Menuntut Bukan Hak, Bercakap Sia-Sia, Banyak Bertanya, Dan Membazir


Diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu'bah (RA) daripada Nabi (SAW), Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atas kamu menderhakai ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberikan hak yang wajib dan menuntut sesuatu yang bukan hak kamu. Allah juga membenci bagi kamu perbuatan bercakap (perkara sia-sia dan mungkar), banyak bertanya dan membazirkan harta." (Bukhari & Muslim)

Nabi (SAW) hanya menyebut menderhakai ibu, tanpa menyebut bapa, sedangkan menderhakai bapa adalah sama dengan menderhakai ibu. Cuma menderhakai ibu adalah lebih keji kerana ibu telah mengandungkan mereka dan ibu adalah lemah berbanding bapa.

Perbuatan membunuh anak perempuan selalu dilakukan oleh golongan jahiliyyah. Orang pertama yang melakukannya ialah Qois bin 'Ashim at-Tamimi. Salah seorang musuh Qois telah menyerangnya lalu menawan anak perempuannya. Kemudian musuh itu menjadikankan anak perempuan Qois sebagai isterinya. Selepas berlaku perdamaian, Qois memberi pilihan kepada anak perempuannya (antara kembali kepadanya atau kekal bersama suaminya). Anaknya memilih untuk terus bersama suaminya. Lantaran itu, Qois telah bersumpah pada dirinya bahawa setiap anak perempuannya yang dilahirkan akan ditanam hidup-hidup. Kemudian perbuatan itu telah diikuti oleh orang Arab. Qois terus hidup sehingga sempat memeluk Islam dan mendapat status sebagai sahabat Nabi (SAW).

Ada juga yang membunuh anak lelaki atau perempuan kerana sayangkan harta takut berkurangan atau kerana tidak mempunyai harta untuk menyara mereka.

...Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana bimbangkan kefakiran. Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka semua... (al-An'am; 151)

Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka tentang kelahiran anak perempuannya, mukanya berubah kehitaman (seperti muka orang yang berdukacita), dalam keadaan susah hati sepenuhnya. Dia bersembunyi daripada kaumnya kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya itu (sambil berfikir): adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan menanggung kehinaan, atau dia akan menanamnya hidup-hidup di dalam tanah? Ketahuilah, sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu. (an-Nahl; 58 & 59)

Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya: "Dengan dosa apakah dia telah dibunuh?" (at-Takwir: 8 & 9)

Allah (SWT) juga mengharamkan ke atas kamu perbuatan menghalang atau enggan memberikan apa yang wajib kamu berikan (kepada orang yang berhak). Allah (SWT) juga mengharamkan ke atas kamu perbuatan menuntut sesuatu yang tidak harus kamu mengambilnya.

Allah (SWT) juga membenci kata-kata yang sia-sia yang dibualkan di pelbagai majlis.

Allah (SWT) juga membenci perbuatan:
a. Banyak bertanya tanpa sebarang keperluan.
b. Atau banyak bertanya mengenai persoalan-persoalan yang tidak diperlukan.
c. Atau banyak bertanya tentang sesuatu ilmu, bukan untuk mendapat kepastian dan pengetahuan, tetapi untuk menguji, bertengkar dan berdebat.
d. Atau banyak bertanya tentang hal-ehwal orang lain, tanpa mempedulikan keadaan mereka.

Allah (SWT) juga membenci perbuatan membazirkan harta, dengan membelanjakannya pada perkara yang tidak diizinkan syara' dan membelanjakan harta yang banyak bagi tujuan yang remeh dan sedikit.

Tuesday, November 2, 2010

Katil Urut Jenama CERAGEM


Saya rasa bersalah kalau tidak kongsi pengalaman dengan kawan-kawan. Biasanya berapa harga kita bayar apabila pergi berurut? Sekurang-kurangnya RM30 kan? Agak mahal ya, tapi perkhidmatan urut ini adalah PERCUMA!!!

Saya telah 3 kali pergi berurut dengan katil urut ini secara percuma dan kita digalakkan untuk membawa rakan-rakan bersama. Saya pergi buat kali pertama pada hari Sabtu lepas. Kali kedua semalam (Isnin) dan kali ketiga hari ini. Ramai yang datang dari kalangan makcik, pakcik, dan ada juga kanak-kanak.

'What is ceragem? Ceragem is the world's first and no. 1 Automatic Thermal Massager with an internal projector made of jade that emits Far Infrared Ray (FIR), which massages the vital points of the spine to improve the user's overall health and energy level'.

Katil ini akan mengurut 'spine' atau tulang belakang kita. Ia merupakan penggabungan perubatan timur dan rawatan alternatif (Chiropractic). Ia mengandungi 3 bentuk perubatan iaitu; 'massage', 'acupressure', dan 'moxibustion'.

Urut memberi rangsangan fizikal kepada otot-otot dan saraf, dimana saraf-saraf yang kebas dihidupkan semula dan menguatkan organ-organ dalam badan. Kuasa penyembuhan semulajadi sepenuhnya boleh diperolehi dengan tekanan (acupressure) pada poin-poin chi. Proses ini membantu keadaan badan menjadi lebih baik dan sihat. Perubatan Timur yang beribu tahun telah mula menggunakan kepanasan (moxibustion) pada poin chi pada badan untuk menyembuhkan dan mengelakkan daripada penyakit.

Sesiapa yang berminat bolehlah melayari www.ceragem.net. Pusat di Johor Bahru beralamat 94-01, Jalan Molek 2/2, Taman Molek, 81100, Johor Bahru, Johor. Waktu operasi ialah 0820 hingga 1700 (Weekdays); 0820 hingga 1420 (Saturday); dan tutup pada hari Ahad dan 'public holiday'. Satu sesi urut adalah selama 40 minit.

Antara 'ceragem's effects are; increases blood circulation, relieves muscle pain and stiffness, relieves joint pain and stiffness caused by arthritis, and relaxes muscles'.

Kalau kita hendak beli katil itu, harganya lebih RM9,000. Kenapa tidak gunakan secara percuma? Jom datang beramai-ramai untuk kesihatan anda!