Friday, October 1, 2010

Lagi Penulisan Dari Kunta Kinte Original...

Dalam Berita Harian hari ini (1 Oktober), Kunta Kinte menulis tentang ramai penjenayah terlepas dari hukuman disebabkan isu teknikal; baik mereka itu perogol, penyamun, pembunuh, perasuah, mahupun pengedar dadah.

Kes terbaru ialah semalam dimana Lee Yong Toe, seorang drebar lori yang dituduh edar 753,359 gram dadah bernilai lebih RM200 juta dibebas dan dilepas mahkamah. Puncanya ialah pendakwa gagal untuk memanggil dua saksi penting yang menentukan kes ini.

Cuba bayangkan berapa ramai anak muda yang bakal dirosakkan dengan jumlah dadah sebanyak itu?

Kes-kes lain yang disebut Kunta Kinte ialah kes seorang penghantar gas yang dituduh membunuh seorang tukang urut tradisional juga dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Kes mendiang Tan Sri Eric Chia; kes bekas Ketua Pengarah FELCRA, Datuk Mustapa Juman; kes bekas Menteri Tanah dan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam; kes bekas Exco Kerajaan Selangor, Datuk Saidin Thamby; dan kes bekas Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria.

Kunta Kinte dengan sinis menyindir pendakwa raya dan pihak polis kerana gagal menyiapkan kes yang kukuh. Apatah lagi apabila ia melibatkan kes sensasi dan berprofil tinggi. "Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata nampak-nampaknya kehakiman kita banyak tolak kes sensasi dan profil tinggi semata-mata atas alasan teknikal."

Itu belum sebut lagi kes Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang, kes Lingam, dan lain-lain.

Kunta Kinte menyatakan kerisauan rakyat jelata kerana penjenayah boleh terlepas dan hidup bebas.

"Sekarang rakyat jelata dalam ketakutan. Tengok sajalah pagar, palang besi, tong minyak dan pengawal keselamatan Nepal di merata taman perumahan. Dah macam zaman darurat dulu."

"Rakyat jelata yang dalam ketakutan atau yang sudah jadi mangsa jenayah, bertanya di mana kesejahteraan, keamanan dan keselamatan yang dijanjikan dalam manifesto Barisan Nasional pada pilihan raya umum lepas?"

Pada saya, semuanya terletak kepada integriti. Kalau peguam yang sepatutnya menegakkan peraturan dan undang-undangpun boleh menipu, apatah lagi orang lain... "Agak mendukacitakan apabila 35 peguam ditahan polis sepanjang tahun ini membabitkan pelbagai penipuan."

Sebagai konklusinya, saya memetik penulisan Abd Razak Hussin berkenaan "Pemergian Cik Tapa kehilangan besar kepada warga UKM".

"Kalau anda mengambil sebatang penyepit kertas UKM untuk kegunaan peribadi anda, anda sudah tidak berintegriti apatah lagi mengambil benda yang lebih besar, membuat tuntutan palsu dan mengular! Anda akan dipersoalkan di akhirat nanti." Itulah kata-kata Allahyarham Cik Tapa (Mohamad Mustafa Mohtar), Timbalan Pendaftar Hal Ehwal Pelajar (HEP), UKM.

Nilai murni dalam perkhidmatan awam baginya bukan untuk disyarahkan dan lulus peperiksaan semata-mata tetapi perlu dihayati...

Tuesday, September 28, 2010

Kalau Orang Lain Kita Paksa Tetapi Diri Kita...


"Ini jihad ni... Kalau anak kita, kita paksa... Kalau orang lainpun kita suruh dia bersungguh-sungguh...", jelas sahabatku. "Tapi bila tiba diri kita, kita tangguh...", celahnya lagi.

"Banyakkan berdoa... insyaAllah, Allah tolong kita", sambung sahabatku sambil membaca ayat seribu dinar.

Semua orang tahu ayat seribu dinar kerana ia terpampang di kebanyakan restoren. Ia begitu sinonim dengan masyarakat Islam Malaysia sebagai ayat pelaris. Mereka percaya jika digantung ayat ini di dinding maka rezeki akan datang mencurah.

Secara asasnya, maksud ayat seribu dinar ialah Allah akan memberi pertolongan atau jalan keluar kepada kita apabila kita bertaqwa dan bertawakal kepadaNya.

"Banyak lagi kerja kita nak buat... nak dakwah lagi... lagi tak 'settle' benda ni, lagi tak boleh buat kerja lain", tambahnya lagi. "Bila dah ada Dr., orang akan lebih dengar apa yang kita cakap", sambungnya.

"Ya lah, kalau kita ustaz lainlah", aku cuba mencelah.

"Bukan kita nak riak dengan 'title' tu tetapi manusia akan melihat dan menilai benda-benda macam ni sebelum kita bercakap", sambungnya.

Aku bagaikan seorang pendengar yang baik, mengiakan segala perkataannya, cuma kadang-kadang aje aku mencelah. Aku begitu tertarik dengan usaha keras kawanku untuk memberi motivasi kepadaku.

"Dia macam roket la... Sebelum naik ke udara berapa banyak tenaga yang perlu dibakar... Tetapi apabila dah naik, dah tak banyak tenaga digunakan", tegas sahabatku.

"Kalau kita gagalpun tak bagus juga... reputasi kita atas nama badan dakwah terjejas...", sambungnya lagi.

Sebenarnya, isu ini timbul apabila aku memaklumkan kepadanya bahawa aku ingin 'extend' 6 bulan lagi dalam menyiapkan penulisan tesis PhDku.

Sahabat aku tadi akan menghadapi viva PhDnya pada 26 Oktober ini setelah menyiapkannya dalam masa 3 tahun. Ya Allah, permudahkan segala urusan bagi sahabatku ini dan mudah-mudahan beliau lulus dengan jayanya, Amin!

Friday, September 24, 2010

Solat Malam...


Kita ghairah menunaikan solat tahajjud apabila tiba bulan Ramadhan. Kesungguhan atau momentum yang telah kita perolehi jangan dibiarkan ia semakin lemah tetapi seharusnya dipupuk sentiasa sehingga ia menjadi rutin.

Teringat kata-kata ayahanda mertua saya semasa balik bercuti raya tempohari. "Ayah, tahun ni hanya beberapa hari jah tak solat malam".

Tiada niat sedikitpun untuk menyohorkan amalan orang tua yang sudah menjangkau 66 tahun itu tetapi sekadar membandingkan diri ini yang sudah berusia 46 tahun.

Kenyataan untuk diri ini mungkin sebaliknya pula iaitu; "Hanya beberapa hari aku solat malam pada tahun ini".

"Apabila seseorang lelaki bangun tidur di sebahagian waktu malam dan membangunkan isterinya lalu keduanya melakukan solat 2 rakaat, maka mereka berdua tercatat dalam golongan laki-laki dan perempuan yang banyak mengingati Allah." (Diriwayatkan Abu Daud dari Abu Hurairah)

Solat malam adalah solat sunnah yang paling utama selepas solat fardhu. Hadis ini menceritakan betapa besarnya pahala menunaikan solat malam walau hanya dengan 2 rakaat sehingga disifatkan sebagai golongan yang banyak mengingati Allah.

Hadis ini juga menceritakan tentang kerjasama, suami mengejutkan isteri atau sebaliknya isteri mengejutkan suami dengan tujuan untuk sama-sama mendapat pahala dalam beribadah.

Rasulullah (SAW) juga tidak mengatakan 11, 13, atau 23 rakaat tetapi sekadar 2 rakaat. Tujuannya ialah untuk tidak memberatkan umatnya dan menggalakkan kita melakukan amal yang minima tetapi berterusan.

Setelah kebiasaan mula bertapak dan rasa keseronokan beramal mula menjelma, bolehlah kita menambah bilangan rakaat tadi sepertimana yang dilakukan Rasulullah.

Banyak kita dengar tentang lamanya Rasulullah bersolat malam sehingga Aisya (RA) menegur baginda, kenapa Rasulullah bersusah payah bersolat malam sehingga bengkak kakinya sedangkan baginda telah dijamin syurga, dan diampunkan segala dosa. Rasulullah menjawab, "Apakah salah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur!"

Ayuh teman-teman, teruskan momentum kita yang sudah dipupuk semasa Ramadhan yang lalu... Moga-moga kita tergolong dalam golongan mereka yang banyak mengingati Allah!

Thursday, September 23, 2010

Muhasabah Diri Selepas Ramadhan...

Dalam usrah malam tadi, naqib menerangkan tentang perkataan taqwa... Perkataan taqwa itu sendiri disebut Allah lebih dari 250 kali dalam Al-Quran. Antara ayat taqwa ialah;

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa" (Al-Baqarah; 183).

Lihat diri kita, imbaskan kembali sama ada kita telah mencapai darjat taqwa yang dijanjikan Allah semasa kita beramal di bulan puasa? Atau kita kembali ke asalnya sepertimana di bulan-bulan yang lain?

Apa maksud taqwa?

Seringkali kita dengar semasa khutbah jumaat, khatib berkata; "Ittaqullah!" Dan di'translate'kan sebagai 'Takutlah olehmu akan Allah'.

Bagaimana kita takut kepada Allah? Adakah sama kita takut kepada ibubapa yang garang dan mempunyai hukuman yang keras? Adakah kita takut kepada Allah sama sepertimana kita takut kepada hantu, dan sebagainya?

Sesetengah orang mengatakan bahawa apabila kita bertaqwa kepada Allah maksudnya kita membuat semua suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Dalam bahasa orang putih ialah 'god conciousness'...

Pernah seorang sahabat bertanya Saidina Omar (RA) apa maksud taqwa? Beliau menjawab, taqwa adalah umpama seseorang berjalan di sebatang jalan yang penuh duri. Maksudnya, seseorang itu begitu berhati-hati dalam tindak tanduk mereka. Begitu berhati-hati untuk meletakkan kaki mereka, takut-takut tercucuk duri...


Apapun definisi taqwa yang kita faham... Adakah kita merasa berbeza sebelum kita melangkah ke bulan Ramadhan dan selepas berlalunya Ramadhan? Atau sama aje...

Di bulan Ramadhan, kita begitu ringan untuk bangun bertahajjud sebelum bersahur. Selepas Ramadhan, adakah kita biarkan deringan jam loceng kita berlalu begitu saja?

Di bulan Ramadhan, kita begitu pemurah, bersedekah sana sini. Apa, selepas Ramadhan masih ada rasa keinginan untuk bersedekah atau membantu mereka yang memerlukan?

Di bulan Ramadhan, kita banyak bersabar. Bagaimana tahap kesabaran kita selepas Ramadhan?


Muhasabahlah diri kita dan berubahlah jika masih belum berubah... InsyaAllah, kita terus berusaha dan berusaha untuk menjadi insan bertaqwa!

Bulan Syawal sudah hampir separuh berlalu pergi. Janganlah kita asyik beraya sehingga tertinggal untuk berpuasa 6. Jemputan rumah terbuka perlu diraikan demi merapatkan hubungan mahabbah tetapi pandai-pandailah mencari luang dan ruang untuk berpuasa 6 hari di bulan Syawal.

Tawaran jualan murah dari Allah begitu berharga... Berpuasa sebulan di bulan Ramadhan dan 6 hari di bulan Syawal pahalanya seumpama kita berpuasa setahun!!!

Wednesday, September 22, 2010

Mengucapkan Salam Amalan Di Dunia & Di Syurga...

"Adapun hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih itu adalah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), mereka mengucapkan, "Salam," (Al-Furqan; 63).

Islam begitu menekankan tentang perlunya kita menjaga hati, perlunya kita bersabar, perlunya menjagai perasaan orang lain, dan perlunya kita mematuhi syariat yang telah ditetapkan.

Apabila kita mengakui bahawa kita ini hamba, maka sudah pasti kita perlu menjalani kehidupan sebagai hamba. Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu...

Seharusnya seorang hamba tidak menampakkan kesombongan, keriakan, keangkuhan, yang dimiliki Allah tetapi sebaliknya berjalan dengan rendah hati, menginsafi tujuan asal kejadiannya dan mengumpul sebanyak mungkin bekalan apabila melalui kehidupan dunia yang sementara.

Seorang hamba tidak cepat marah apabila dihina, sesuai dengan asal kejadiannya, bahkan sebaliknya pula mendoakan si penghina akan kebaikan untuk mereka.

Subhanallah, sungguh tinggi nilai akhlakmu, wahai si hamba! Walau dihina tetapi masih mampu untuk berbuat baik...

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, nescaya diberi petunjuk oleh Tuhan kerana keimanannya. Mereka di dalam syurga yang penuh kenikmatan, mengalir dibawahnya sungai-sungai. Doa mereka di dalamnya ialah, "Subhanakallahumma" (Maha Suci Engkau, ya Tuhan kami), dan salam penghormatan mereka ialah, "Salam" (Salam Sejahtera). Dan penutup doa mereka ialah, "Alhamdulillahi Rabbil 'alamin" (Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam) (Yunus; 9-10).

Justeru, mari kita sentiasa sebarkan salam dimana jua...menepati kehidupan kita di dunia dan insyaAllah seterusnya di syurga... Amin, ya Rabbil 'alamin!!!

Saturday, September 18, 2010

Bank Muamalat Hanya Di Kota Bharu!


"En. Wan, akaun encik Wan tak cukup duit. Tolong masukkan RM300 sebelum pukul 10.30am! Kalau encik masukkan sebelum pukul 10.30am, kita kenakan caj RM50! Kalau encik tak masukkan, kita akan 'bounce' cek dan encik akan dicaj RM100".

Begitulah bunyi panggilan telefon dari Bank Muamalat Skudai di pagi 7 September lepas, semasa aku bercuti Raya di Kota Bharu.

Persiapan untuk aku dan keluarga ke Bukit Mas, Tanah Merah bagi tujuan memetik rambutan, dokong, manggis dan cempedak terasa suram dan hambar dengan panggilan telefon yang tidak diduga itu. Tetapi demi untuk memberi keseronokan kepada anak-anak untuk merasai pengalaman memetik buah-buahan aku kuatkan semangat.

Akupun kurang pasti bagaimana 'current account' aku boleh 'overdrawn'! Aku sememangnya berhati-hati... Sebelum balik Kelantan, aku sudah agak duit raya RM500 yang diberi kerajaan sudah mencukupi untuk menampung segala perbelanjaan.

Dalam perjalanan ke Bukit Mas, aku singgah di Bank Rakyat Kota Bharu untuk mengeluarkan duit dari akaun Tabung Haji.

"InsyaAllah, akan aku masukkan ke dalam akaun Bank Muamalat di Pasir Mas 'on the way' ke Bukit Mas", detik hatiku.

Bila tiba di Pasir Mas, aku bertanya pekerja parkir Majlis Daerah Pasir Mas dimana letaknya Bank Muamalat.

"Di sini tak ada Bank Muamalat, di Tanah Merah mungkin ada tetapi yang pasti ada di Kota Bharu", balasnya.

Aku bergegas ke Tanah Merah... Jam sudah menunjukkan pukul 9.45am! Subhanallah!!!

Setibanya di Tanah Merah, aku bertanya orang dimana letaknya Bank Muamalat? "Di sini tidak ada Bank Muamalat, yang ada Bank CIMB, Public Bank, dan lain-lain", jawab pemuda tersebut.

Aku pasrah pada Allah, 10.30am hanya 15 minit lagi! Aku cuba menghubungi rakan-rakan usrah di Skudai supaya mereka dapat membantu memasukkan RM300 dalam akaunku. Si A, tidak memberi jawapan tetapi menelefonku kembali sejam kemudian. Si B, juga tidak memberi jawapan kecuali menghantar sms beberapa jam kemudian mengatakan dia sedang bermesyuarat. Si C pula, langsung tidak menjawab panggilanku.

Pernah semasa usrah aku timbulkan bahawa ikhwah tidak saja-saja atau suka-suka menelefon kita kecuali bila penting dan terdesak... Jadi, kalau kita tidak sempat menjawab panggilannya maka amat wajar kita menghubunginya kembali menanyakan apa yang boleh dibantu!


Allah masih memberi aku idea. Dalam masa yang tinggal 10 minit sebelum 10.30am, aku menghubungi Prof Madya Zahib Deraman.

"I need to ask you a favor, please deposit RM300 into my account before 10.30am!", jelasku. "Give me your account number", balasnya.

Alhamdulillah, aku dikurangkan kerugian dari RM100 kepada RM50 oleh seorang rakan satu jabatan!

Saturday, September 4, 2010

Maaf Jika Terlanjur Bicara...

Alhamdulillah, malam tadi aku lihat MSI begitu ramai dikunjungi berbanding malam-malam sebelumnya. Ya lah, malam yang ke 25! Pelajar Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) SMIH saja rasanya dekat 60 orang. Banin dan banat SMIH berprogram di MSI dari petang semalam hingga petang ini.

Semalam abang menyuruh umminya membuat minuman sirap laici untuk berbuka kepada rakan-rakan sekolahnya di MSI. Tiada bantahan dari umminya, dan dihantar satu tong besar minuman tersebut ke MSI sekitar jam 6.30 petang...

Pagi tadi, aku dan anak-anak bersahur di MSI. Di sebelah malam telah dimaklumkan kepada isteri bahawa kami tidak pulang untuk bersahur di rumah. Nasi putih bersama sambal udang dan sayur air serta beberapa biji kurma menjadi hidangan buat Rasyid, Syakir, Achik dan aku. Abang dan rakan-rakannya dari SMIH mempunyai makanan tempahan mereka sendiri.

Hari ini adalah hari terakhir kami berbuka dan berterawikh di bumi Johor. Malam ini jam 10, kami 10 beranak akan menaiki bas untuk pulang ke Pengkalan Chepa. Pencarian malam Qadar akan diteruskan di masjid Chabang Tiga, Pengkalan Chepa, insyaAllah.

Aku ingin mengambil kesempatan di sini untuk memohon ampun dan maaf jika ada penulisanku yang mengguris hati, baik disengajakan mahupun tidak. Tetapi yang pasti tujuannya adalah suci iaitu untuk mencari mardhatillah...

Aku mendoakan semoga saudara saudari semua beroleh kesejahteraan dan berjaya menjejaki lailatul qadar. Mudah-mudahan Madrasah Ramadhan 1431 betul-betul berjaya membentuk sahsiah dan akhlak kita semua untuk meneruskan kehidupan 11 bulan yang akan datang. InsyaAllah, pada tahun depan kita diberi peluang lagi untuk berjumpa Ramadhan 1432!

Selamat Mencari Lailatul Qadar, Selamat Hari Raya Aidil Fithri, Maaf Zahir Batin...