Friday, January 30, 2009

Selamat Jalan Sahabatku


Hampir jam 6.30 pagi, 11 Jan 2009, aku dapat sms. "Ir Ahmad Fuaad Kassim telah meninggal dunia".

Seperti biasa setiap hari Ahad jam 7.00 pagi, aku bersama Rasyid akan ke Pasar Tani di Taman Sri Pulai. Tapi hari ini lain sikit kerana kami terpaksa ke rumah arwah dahulu untuk melihat apa yang boleh dibantu. Setibanya di rumah arwah, aku memasuki rumahnya dan terlihat di ruang tamu terbujur kaku jasadmu sahabatku.

"Syid nak tengok tak?" tanyaku setelah berada di sebelah jasadmu. Anakku yang berumur 8 tahun, mengangguk kepala. Terus ku buka kain tutup mukamu, sahabatku.. Walaupun kita tidak pernah berbicara tapi ukhuwwah begitu terasa..

Pagi itu juga aku sempat bergegas ke Pasar Tani untuk membeli 10 bungkus nasi lemak bagi sarapan keluargamu, wahai sahabatku. Tapi aku pasti, mereka tak mampu untuk menjamahnya di saat sebegini.

Sementara menunggu solat Asar dan solat jenazah di Masjid Taman Sri Pulai, anakmu Taufik tertinggal untuk membawa surat kebenaran menyemadikan jasadmu di Tanah Perkuburan Kangkar Pulai. Aku membawa Taufik kembali ke rumahmu untuk mengambilnya.

Semasa solat jenazahmu begitu ramai sekali yang datang. Selesai solat jenazah, aku sempat mengusungmu memasuki kereta jenazah untuk dibawa ke tanah perkuburan.

Di tanah perkuburan, setelah jasadmu disemadikan talqinpun dibacakan. Sesungguhnya sahabatku, talqin itu adalah peringatan untuk kami yang masih hidup.

Wahai sahabatku, mudah-mudahan berbahagialah anta di alam baru ini yang mana semua kita akan menyusul kemudian... Alangkah baiknya pemergianmu iaitu setelah seminggu kembali dari mengerjakan Haji.

"Sesiapa mengerjakan Haji ke Baitullah dan tidak melakukan rafath (larangan bercampur dengan isteri termasuk juga segala yang menimbulkan nafsu berahi, sama ada dengan perbuatan atau perkataan) dan fusuq (larangan maksiat) jadilah keadaan dirinya bersih seperti baru dilahirkan oleh ibunya" (Bukhary dan Muslim).

Alfatihah buat Arwah Ir Ahmad Fuaad Kassim. Blog arwah boleh dilawati http://afkassim.blogspot.com

No comments:

Post a Comment