Saturday, December 26, 2009

Betul Juga Kata Kunta Kinte....


Dalam akhbar Berita Harian sehari dua lepas, Kunta Kinte mengulas tentang kehilangan 2 enjin jet F-5E dari simpanan tentera udara. Tajuk artikelnya ialah "Aset, rahsia tentera perlu dipertahan daripada penderhaka khianat". Bagus artikelnya....

Betullah kalau enjin yang sebegitu besar boleh lolos ke luar negara, apatah lagi rahsia kerajaan, rahsia peperangan, dan sebagainya. Kunta Kinte menyarankan supaya mereka yang terlibat sepatutnya mengaku bersalah.

Pihak yang terlibat bukan sedikit. Bukan senang barang hendak dikeluarkan dari Kem Tentera. Banyak borang yang perlu diisi dan banyak tandatangan kelulusan pegawai yang perlu diperolehi. Lebih-lebih lagi barangan yang begitu bernilai!

Kunta Kinte juga menyarankan supaya mereka yang terlibat melepaskan tugasnya, baik dia askar, baik dia polis, baik dia peguam, baik dia ahli politik. Kata orang sebagai menunjukkan kebertanggungjawaban!

Tetapi Kunta Kinte ada juga menyebut bahawa orang kita kebiasaannya akan berpegang kepada jawatannya sampai mati walaupun banyak penyelewengan yang dilakukan olehnya atau orang bawahannya. Tidak seperti negara maju, jika anak buahnya melakukan kesalahan besar dan menyebabkan kerosakan kepada harta negara maka dia sebagai ketua bertindak untuk meletakkan jawatan.

Saya merasa sedih kerana harta negara dicuri dari setiap penjuru. Pernah staf makmal menanyakan kepada saya, "En. Wan agak berapa harga sebuah kerusi pelajar yang berkembar di bilik kuliah ini?". Kerusi pelajar tersebut dikatakan sama dengan kerusi F-1 di Sepang. Saya menjawab, "Paling tinggi RM50 sebuah. Kalau kembar 4, harganya RM200". Staf saya ketawa, dan sambil menggeleng kepala dia menjawab, "RM2,000 satu. Kalau kembar 4, maknanya RM8,000". Cuba bayangkan berapa puluh biji kerusi ada dalam bilik kuliah dan berapa kos kerusi sahaja?

Saya berkata kepadanya, andai kata duit itu adalah dari poketnya sendiri, adalah mustahil, pentadbir fakulti akan membelinya. Bukan 2 kali fikir malah sejuta kali fikirpun, dia tidak akan membelinya....

Padanlah kita lihat pelbagai harga barangan, pen, komputer yang tidak masuk akal telah dijumpai oleh pihak audit yang melakukan pemeriksaan di sesetengah pejabat kerajaan.

Harta negara bukan lagi hendak kita tambah dan jagainya supaya tidak hilang tetapi masing-masing memikirkan projek baru supaya ada bahagian untuk diselewengkan ke dalam tembolok masing-masing.....

Katakanlah (Muhammad), "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam... (Al-An'am; 162).

No comments:

Post a Comment