Friday, December 18, 2009

Bulan Muharram


Dari Abu Hurairah (RA), katanya Rasulullah (SAW) bersabda: "Seutama-utama puasa sesudah puasa Ramadhan ialah puasa bulan Muharram, dan seutama-utama solat sesudah solat fardhu ialah solat malam." Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1133.

Dari 'Abdullah bin 'Abbas (RA), dia menceritakan bahawa ketika Rasulullah (SAW) berpuasa pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan memerintahkan kaum Muslimin supaya berpuasa, para sahabat berkata, "Hari ini adalah hari raya orang-orang Yahudi dan Nasrani." Lalu Rasulullah (SAW) bersabda: "Apabila masih menyaksikan tahun yang akan datang, insya Allah kita berpuasa pada tanggal sembilan Muharram." Kata 'Abdullah selanjutnya, "Ternyata tahun depan itu, beliau sudah wafat." Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1103.

Hari ini bermula tahun baru Hijrah 1431. Bulan Muharram adalah sangat digalakkan kita berpuasa seperti maksud hadis di atas. Kita cuba memperbanyakkan berpuasa. Jika tidak mampu, kita cuba berpuasa sekurang-kurangnya pada setiap hari Isnin dan Khamis. Dan sekiranya masih tidak mampu, kita cuba berpuasa 3 hari sebulan.

Inilah sunnah yang perlu kita praktikkan... Banyak perkara sunnah, tunjuk ajar Rasulullah (SAW) yang menjadi idola kita tetapi kadang-kadang kita tidak mampu melaksanakannya, baik kerana suasana kerja mahupun tabiat atau perangai kita yang suka mendengar cerita sahaja tetapi apabila tiba kepada peringkat perlaksanaan, kita menjadi malas dan kurang bersemangat.

Begitu juga dengan solat malam (tahajjud)...

Kita tahu betapa besarnya pahala dan kita tahu Rasulullah sehingga bengkak kakinya berdiri untuk mengerjakan solat malam. Sehingga Aisyah (RA) sendiri bertanya kepada beliau kenapa beliau begitu tekun dan bersusah payah melaksanakannya sedangkan beliau adalah maksum dan sudah dijamin syurga. Beliau menjawab, "Apakah salah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur dan taat kepadaNya?".

Kita yang bergelumang dengan dosa dan tiada jaminan pengakhiran kita sebagai ahli syurga begitu alpa dan segan untuk mempraktikkannya....

Ayuh, bermula di tahun baru hijrah ini kita tanamkan azam untuk cuba melakukan segala perkara sunnah disamping perkara wajib yang semestinya kita tunaikan. Mudah-mudahan kita beroleh syafaat dari baginda apabila kita sudah tiada nanti!

No comments:

Post a Comment