Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Friday, April 9, 2010
Jangan Lupa Pada Allah...
Dalam usrah minggu ini, naqibku telah mengupas ayat 18-19, Surah Al-Hasyr.
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha teliti terhadap apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, sehingga Allah menjadikan mereka lupa akan diri sendiri. Mereka itulah orang-orang fasik."
Ayat ini tidak asing bagiku kerana aku sudah menghafaznya dari ayat 18 hingga 24. Lagipun ia memang antara ayat-ayat yang dimuatkan dalam al-Ma'thurat (senarai doa dan ayat-ayat yang dilazimi oleh Rasulullah yang telah dikumpulkan oleh Assyahid Hassan Al-Banna).
Ayat ke 18 menyuruh kita muhasabah atau meneliti apa yang telah kita bekalkan untuk akhirat. Kita kebiasaannya membekalkan untuk hari tua tetapi kurang prihatin untuk menyediakan bekalan melangkaui hari tua! Sedikit sebanyak ada duit sikit-sikit sebagai bekalan untuk menyara diri, isteri dan anak-anak yang masih dalam tanggungan.
Tetapi yang lebih besar dan lebih penting dari hari tua...iaitu yaumul mahsyar! Adakah kita bersedia dan membuat tabungan? Allah telah memperingatkan kita awal-awal lagi takut kita tidak bersedia...
Sama dengan kita, memperingati anak-anak tentang masa depan kerana khuatir mereka tidak mampu untuk menghadapi masa depan yang lebih mencabar dan memerlukan wang ringgit dan perbelanjaan yang banyak!
Allah juga mengingati kita supaya tidak lupa kepadaNya. Takut-takut Allah melupakan kita untuk bersiap siaga menyediakan bekalan hari akhirat yang tiada akhirnya dan tiada noktahnya. Tidak seperti di dunia, mungkin susah dan miskin kita akan berakhir dengan kematian. Tetapi di akhirat, subhanallah, kalau susah kita maka susahlah untuk selamanya dan begitulah sebaliknya.
Ya Allah, jadikan daku orang yang menyediakan bekalan untuk hari akhirat dan jadikanlah daku orang yang tidak sama sekali melupaiMu... Amin... Ya Rabbal'Alamin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment