Sunday, April 4, 2010

Memuliakan Tak Kena Cara...


Sering kita ke masjid untuk menunaikan solat 5 waktu. Jarang-jarang sekali kita membuat qiam di masjid tetapi kebiasaannya di bulan Ramadan al-Mubarak agak kerap di 10 malam terakhir. Setiap hari Jumaat, kita pergi solat Jumaat. Kadang-kadang ada majlis ilmu tetapi tidak sekerap mana. Pendengarpun adalah dua tiga kerat.

Dulu saya pernah dengar ada orang bukan Islam mempertikaikan dari segi 'value for money'. Katanya, masjid dibelanjakan dengan duit kerajaan menelan belanja puluhan juta RM sebuah tetapi dari segi penggunaannya amat terhad sekali!

Antara sebab kurangnya penggunaan masjid adalah kerana kita me'mulia'kan sangat masjid. Maksud 'mulia'kan sangat ialah kita tidak membenarkan orang bukan Islam untuk mendekati masjid, untuk mengetahui Islam secara lebih dekat.

Orang bukan Islam dikatakan najis dan tidak sesuai untuk melihat keadaan dan memasuki masjid. Adalah tidak munasabah untuk kita mengajak orang ke pangkuan Islam tetapi apabila mereka ingin melihat cara 'ritual' kita beribadah tidak dibenarkan.

Masjid kita bukan hanya tidak mesra kepada orang bukan Islam tetapi juga kepada kanak-kanak. Kanak-kanak yang datang ke masjid dihalau untuk berada jauh di belakang sesama mereka. Cuba bayangkan apa yang akan berlaku apabila mereka berada sesama mereka... mungkin bising berborak, mungkin bergurau, mungkin yang lebih besar membuli yang lebih kecil.

Silap-silap haribulan kanak-kanak yang jiwanya halus diherdik oleh pakcik-pakcik tua kerana membuat bising dan sebagainya.

Jiwa anak-anak kecil yang tercalar mungkin membuatkan mereka merasa tidak ingin lagi ke masjid. Mereka kembali semula ke masjid apabila sudah meningkat dewasa.

Akhirnya, jadilah masjid sebagai tempat orang-orang pencen menghabiskan sisa-sisa usia mereka.

Dari aspek kebersihanpun, masjid tidak begitu membanggakan! Tandas yang kotor, ruang solat dipenuhi dengan tahi cicak, almari berhabuk, 'carpet' berhapak, dan sebagainya. Apa salahnya jika ajk masjid secara gotong royong mencucinya sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Begitu juga Al-Quran, kalamullah... Dimuliakan dan diletakkan di tempat yang tinggi. Hendak membacanyapun diletakkan syarat yang tinggi. Perlu mahir tajwid, perlu betul sebutan, dan akhirnya al-Quran menjadi hiasan dan azimat dalam almari.

Usah hendak diamalkan intipati al-Quran, hendak dibacapun disusahkan begitu sekali. Akhirnya, kita hanya bergelar orang Islam tetapi buta al-Quran...

Ajk masjid yang lebih muda perlu menganggotai masjid-masjid seluruh negara. Program mesra anak-anak perlu diperbanyakkan supaya anak-anak merasai institusi masjid adalah sebahagian dari kehidupan mereka. Masjid juga perlu berperanan sebagai sebuah tempat yang mesra pengunjung! Masjid bukan hanya tempat solat tetapi juga merupakan tempat kita melakukan pelbagai aktiviti, baik aktiviti jasmani, rohani, kebajikan, dan intelektual.

No comments:

Post a Comment