Sunday, July 26, 2009

Kita Sebagai Khalifah...


Apa tugas kita sebagai khalifah di muka bumi ini?

Allah berfirman, "Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada Ku" (Az-Zariyat; 56). Begitu jelas sekali, Allah memaklumkan tentang tugas kita sebagai hambaNya...

Sebagai hamba, layakkah kita sombong terhadapNya? Bolehkah seorang hamba bertindak kasar atau lupa kepada tuanNya? Saya pasti tidak...

Alhamdulillah, kita dilahirkan dalam keluarga Islam. Tetapi setakat mana kita bertindak sejajar dengan sarananNya itu? Adakah kita sama sepertimana mereka yang belum mengenali Islam? Tindak tanduk kita, tutur kata kita, makan pakai kita sama seperti mereka?

Sudah tentu kita berlainan dari mereka. Hidup kita mempunyai misi dan visi! Kita ingin hidup dalam kesyumulan Islam; politiknya, sosialnya, dan ekonominya. Dan sudah barang tentu kita ingin bernaung dibawah pemerintahan Islam.

Sebagai individu muslim, kita telah melafazkan syahadah, "Laailaha illallah Muhammadur Rasulullah". Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah.

Selepas itu, kita wajib mempelajari ilmu Islam dan mempraktikkannya sedaya mampu. Kemudian kita wajib mengajak manusia lain, baik yang sudah Islam mahupun yang belum Islam bagi mengamalkan syariat Islam. Dan sudah pasti juga kita perlu mempertahankan Islam yang kita miliki ini...

Jangan pula tindak tanduk kita menjatuhkan imej Islam.

Petang tadi semasa berhenti makan di Kota Tinggi, saya lihat ada segelintir orang yang mempunyai warna kulit seperti saya berada dalam kedai nombor ekor. Terasa malu kerana orang yang mengaku dirinya Islam tetapi masih menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan peraturan Allah.

Di Taman Universiti, Skudaipun tak kurang hebatnya! Bila hari nombor ekor, jalan-jalan di depan kedai tersebut agak sesak... Dan tiada pihak berkuasa mengambil tindakan apa-apa.

Ya Allah, berikan mereka petunjuk dan lorongkan jalan keinsafan kepada mereka. Sesungguhnya, Engkaulah yang berkuasa memberi petunjuk!

No comments:

Post a Comment