Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Saturday, August 15, 2009
Ustaz Asri Rabbani Mendahului Kita...
Dari Anas r.a., katanya: "Suatu perarakan jenazah lalu. Lantas orang banyak memuji bahawa itu jenazah orang baik. "Ya, pasti" kata Nabi (saw) menyetujui. Kemudian lalu pula perarakan jenazah yang lain. Orang banyak berkata pula, "Mayat ini jahat." Kata Nabi (saw), "Itu pasti." Maka bertanya Umar bin Khattab, "Apakah yang pasti, ya, Rasulullah?" Jawab Nabi, "Kamu katakan mayat itu baik, maka ia pasti masuk syurga. Kamu katakan pula mayat si Anu jahat, pasti pula ia masuk neraka. Kamu semua adalah para saksi Allah di bumi." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0705)
Apabila berita kematian Ust Asri Ibrahim ke udara, setiap hari di Radio IKIM terutamanya, kita mendengar pujian kepada sahsiah dan akhlak beliau tidak putus-putus. Ucapan takziah juga kedengaran tak henti-henti...
Itulah peribadi seorang pendakwah, yang berdakwah di jalan Allah dengan suaranya. Beliau merupakan pelopor kepada industri nasyid yang menyediakan alternatif kepada industri muzik.
Semalam semasa memandu, saya mendengar DJ Nik Hasnah memuji arwah dan mengatakan pihak Radio IKIM mengenali beliau sebagai seorang yang sentiasa tersenyum. Kesempatan itu juga diambil untuk menemubual salah seorang anggota kumpulan Rabbani. Kalau tidak silap saya Sdra Azadan dan beliau menceritakan bagaimana peristiwa itu terjadi.
Menurut beliau pada petang sebelum hari kejadian, Ust Asri telah memanggil semua ahli kumpulan untuk berkumpul. Ust Asri mengingatkan setiap ahli tentang tanggungjawab dakwah dan memperingati tentang amalan dan tanggungjawab masing-masing.
Azadan seterusnya menceritakan bahawa Ust Asri begitu berhemah dalam membuat teguran dan akan merasa begitu bersalah sekiranya orang yang ditegur terasa hati. Ust Asri juga adalah seorang yang tidak berkira tentang soal duit dan menjaga kebajikan setiap ahli.
Disepanjang temuramah itu, kadang-kadang suara Azadan jelas kedengaran dan kadang-kadang sunyi seketika... Tanpa disedari, airmata mengalir laju di pipi saya.
Itulah berakhirnya hayat seorang penggiat seni Islam, di usia yang begitu muda, 40 tahun. Pemergiannya ditangisi oleh ramai pencinta nasyid. Jenazahnya juga disembahyang dan diiringi oleh ramai orang.
Dari Aisyah pula katanya: "Telah bersabda Rasulullah (saw): "Tidak seorang muslimpun yang mati yang disolatkan oleh seratus orang muslimin dan mereka memohonkan ampun bagi si mayat dengan sungguh-sungguh, melainkan Allah akan mengampuni si mayat." (Hadis Sunan An Nasa'iy Jilid 2. Hadis Nombor 1961)
Semoga rohnya aman di sana.....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment