Sunday, August 30, 2009

Gawatnya Perlaksanaan Hukuman Syariah


Berita mengenai Kartika Sari Dewi Shukarno yang telah menaiki kenderaan untuk ke tempat menjalani hukuman sebat berhenti 200 meter dari rumahnya dan pihak mahkamah menangguh hukuman tersebut tersebar luas. Kenapa dengan Kartika? Kartika telah didapati bersalah oleh Mahkamah Syariah Kuantan kerana meminum arak di khalayak ramai di Cherating.

Dan Kartika dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan 6 kali sebatan. Malangnya, sebatan ditangguhkan kerana katanya tiada sesiapa yang bersedia untuk melaksanakannya. Pelik juga, hukuman ditulis atau didrafkan sedemikian tetapi tiada pelaksana.

Walau bagaimanapun alasan sebenar kita tidak ketahui. Mungkin kerana ada campurtangan pihak luar, mungkin ada pandangan yang menyatakan teruknya Mahkamah Syariah, minum arakpun dikenakan sebatan. Tidak 'up to date', kolot, hukuman hutan rimba dan sebagainya.

Apapun sebab dan alasan, pada hemat saya, hukuman yang telah dijatuhkan perlu diteruskan. Kalau tidak, ia akan menjadi buah mulut dan cacian orang ramai.

Tujuan hukuman dilaksanakan terutamanya Undang-undang Islam juga ada mesej tertentu iaitu untuk memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan perkara yang sama. Undang-undang Islam yang sebenarpun menghukum peminum arak melebihi dari 6 sebatan. Dan ketiganya, aktiviti sebatan itu sendiri berbeza dari Mahkamah Sivil dari segi ketebalan rotan, tahap ketinggian hayunan rotan dan sebagainya. Dengan kata lain, kita kearah mendidik, mengajar manusia supaya menjadi lebih baik dan bukan sebaliknya.

Mungkin ada hikmah dari peristiwa ini yang boleh kita pelajari. Pertama, kita boleh katakan betapa berleluasanya gejala minum arak dikalangan masyarakat Islam. Minggu lepas, ada seorang pelajar Islam IPTA ditangkap dalam bilik asrama bersama minuman kerasnya. Kedua, sungguhpun kita ingin memartabatkan Mahkamah Syariah setanding Mahkamah Sivil namun perjalanan kita masih jauh.

Namun usaha yang dibuat oleh Allahyarham Tan Sri Datuk Prof Ahmad Ibrahim dan ramai lagi, insyaAllah akan bertambah baik dari semasa ke semasa. Ahmad Ibrahim telah membuat draf undang-undang Islam di Singapura pada tahun 1966 lagi. Ahmad Ibrahim di penghujung usia merupakan dekan kuliyyah undang-undang di UIAM.

Kalau kita boleh menerima dan berhukum dengan undang-undang ciptaan manusia kenapa kita tidak boleh menerima peraturan yang ditetapkan oleh pencipta manusia. Dia lebih mengetahui perangai, gelagat, dan tingkah laku ciptaanNya.

No comments:

Post a Comment