Friday, August 7, 2009

Why Malay Intellectuals Are Not Speaking Out Loud


Itulah tajuk keratan akhbar yang terpampang di dinding bilikku. Ia ditulis oleh Joceline Tan dalam ruangan "Opinion", New Sunday Times bertarikh 24 Mac, 1996. Artikel ini mencuit hatiku, sebab itulah ia begitu lama tersemat di situ...

Isu yang dibincangkan banyak berkisar kepada isu-isu keintelektualan. Antara yang ditulis ialah mengenai susahnya untuk mendapatkan 'crowd' untuk mendengar atau membincangkan sesuatu isu di universiti kecuali jika ada menteri atau timbalan menteri yang hadir.

Begitu juga dari aspek media, "Intellectual events did not interest the media unless they came attached with a political big-name". Itu kita lihat dari perspektif pegawai, pensyarah universiti dan pihak media.

Dari aspek pelajar pula, biarlah sesiapapun datang, mereka tidak mengambil kisah. Itu yang kadang-kadang, apabila Universiti menjemput menteri atau Perdana Menteri, Pengetua Kolej yang mendapat bahana. Setiap kolej diarah membawa 300 orang pelajar!

Bukan senang untuk memaksa pelajar kalau tidak ada habuan yang setimpal diberikan... Budak tahun 1, bolehlah kita cucuk hidung dan paksa rela tetapi bagi pelajar kanan, jauh panggang dari api! Tak ingin mereka datangnya...

Profesor tidak lagi menjadi 'role model' kepada pelajar! Mungkin tokoh korporat, ahli politik, malah artis sudah mengambil tempat di hati mereka. Kalau tidak, mana mungkin apabila adanya Akademi Fantasia, warung-warung mamak berskrin besar di sekitar Taman U, penuh sesak...

Isu-isu akademik seperti bagaimana untuk menghindari wabak H1N1, atau kemelut ekonomi global dan mampukah syariah Islam mengatasinya adalah kurang mendapat perhatian dan liputan. Isu Akhil Hay bercerai atau YB Ahli Parlimen yang mabuk dan meraba pelayan bar lebih sensasi dan dimanfaat sebaik mungkin untuk melariskan jualan!

Para intelektual atau cendikiawan sudah tidak dirujuk lagi... Ramai yang pasif berbanding zaman sebelum dan selepas merdeka dulu. Dengan kata lain, ramai yang cuba menjaga periuk nasi berbanding menegak dan mempertahankan satu-satu isu.

Lihat saja, isu Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris. Di UTM, para pensyarah baru sibuk membahas isu ini setelah kerajaan bersedia untuk menghapuskannya pada tahun 2012. Sebelum ini, semua senyap dan sunyi... Betullah kata Prof Abu Bakar Hamid, "People watch their step and words because they don't want to be left out of promotions".

Satu lagi masalah para intelektual ialah apabila mereka mengkritik dari luar, mereka dikatakan bersekongkol dengan pembangkang. Dan kritikan mereka dipandang sepi walaupun ianya sangat baik! Bahkan Allahyarham Rustam A. Sani pernah berkata, "It takes a lot of courage to hold views opposed to the establishment. It's a very lonely feeling." 'Yes indeed'.

Kita lihat bagaimana Tengku Razaleigh Hamzah dulu semasa beliau mempunyai kedudukan dan kuasa. Masyarakat patuh dan mendengar setiap patah perkataan yang dituturkan. Tetapi bila dia sudah tiada kuasa, tiada siapa lagi mendengarnya!

Media juga mungkin boleh dipersalahkan apabila para intelektual tidak bersuara. Kadang-kadang penulisan mereka tidak disiarkan....

Walau apapun, memang susah untuk berprinsip dengan slogan "Nyatakanlah kebenaran walaupun ia pahit".

No comments:

Post a Comment