Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Friday, September 25, 2009
JGB 6400 Berjaya Membawa Kami Pulang & Kembali...
Alhamdulillah pada pagi 29 Ramadan (Sabtu), kami bersiap-siap untuk berangkat ke Pengkalan Chepa. Ummi dan anak-anak sudah siap 'packing' dari malam tadi lagi. Aku pula malam tadi, bawa van pergi basuh. Setidak-tidaknya apabila 11 orang berada di dalamnya nanti akan merasa sedikit aman, tenteram dan yang pastinya wangi dan bersih.
Malam tadi dah siap maklumkan kepada anak-anak bahawa kita akan bergerak pada pukul 7 pagi. Dan insyaAllah, sempat berbuka puasa di rumah Bu dan Tok Ayah. Malam tadi aku tidak pergi qiam di MSI, UTM.
Beberapa malam sebelum ini, alhamdulillah aku bersama anak-anak berqiamullail di sana. Dan aku panjat setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana mengizinkan dan menguatkan semangat aku untuk bertindak sedemikian. Ya Allah, jauhkanlah diriku dari sifat riya', takbur dan ujub, ingin menunjuk-nunjuk dengan amal yang sedikit tetapi sebaliknya jadikanlah cerita baikku ini menjadi contoh tauladan kepada mereka yang lain. Amin!
Aku terus mengangkat beg ke dalam van Ford Spectron. Jam sudah menunjukkan 7.15 pagi. Tiba-tiba aku terpandang tayar belakang sebelah kiri kempis habis! Subhanallah, dugaan pertama sebelum berangkat pulang....
Aku mengeluarkan 'jack' dan 'spanner' untuk menggantikan tayar tadi dengan tayar 'spare'. Dengan bantuan abang (Abdul Rahman), aku dapat menyelesaikan tugas itu kurang dari 20 minit! Ku lihat sebatang paku 3 inci berada tepat di tengah-tengah tayar yang pancit itu.
Kalau nak tunggu kedai tayar di Taman U buka, sudah pasti aku terpaksa bertolak pukul 9 pagi dan sampai di Taman Seri, Pengkalan Chepa agak lewat. Aku membuat keputusan untuk bertolak segera dan menampal tayar di pertengahan jalan.
Kami telah membuat keputusan untuk menggunakan laluan Kota Tinggi - Mersing - Pekan - Kuantan - Jerangau - Jabor - Kuala Berang dan seterusnya ke Pengkalan Chepa. Apabila aku sampai di Kulai, aku nampak kedai tayar sudah dibuka. Akupun menampalkan tayar tadi dan menukarkan tayar 'spare' kembali ke tempat asal dengan kos RM5.
Abang mekanik yang menjalankan kerja-kerja tadi mengucapkan 'Selamat Jalan' dan menyuruh kami berhati-hati di jalanraya. "Nak balik mana?", tanya abang 'foreman'. "Kota Bharu", balasku. Selepas mengucapkan terima kasih, kamipun memulakan perjalanan dengan bacaan doa, 'Subhanallazi Sakharalana .....'
Aku telah memusingkan kerusi tengah mengadap ke belakang. Jadi 3 orang di kerusi belakang, 3 orang di kerusi tengah, 2 orang di celah, antara belakang kerusi tengah dan kerusi depan (driver seat). Manakala Asmaa yang masih kecil berada di atas riba umminya di depan. Di celah antara kerusi depan dan kerusi tengah, mereka hamparkan 'sleeping bag'. Jadi, apabila seorang tidur di atas 'sleeping bag', seorang lagi menungkat dagu di atas 'arm rest' pemandu.
Semua begitu ceria, tidak sabar untuk menemui nenek dan datuk mereka. Aku rasa 'trip' kali ini agak selesa kerana Spectron aku telah diperbaiki 'air-con'nya dan menelan belanja RM600.
Sepanjang perjalanan tiada masalah kesesakan yang ketara. Mungkin ramai yang dah balik awal.
Sampai di Sungai Tong, Imi, adik iparku memaklumkan bahawa ibu sudah menyiapkan nasi untuk kami berbuka puasa. Katanya, apabila kami berbuka di tengah jalan nanti, tak perlulah makan 'heavy' lagi.
Setibanya di bandar Jertih, azan maghrib telah berkumandang. Aku berhenti di stesen Petronas untuk membeli air dan roti. Tetapi rupa-rupanya, stesen ini menyediakan air oren, kopi, susu dan roti secara percuma untuk berbuka. Apa lagi, kami 11 orangpun mengambil kesempatan mendapatkan makanan dan minuman percuma. Semoga Allah memberi ganjaran yang besar kepada pengusaha Petronas tersebut dan melipat gandakan keuntungan mereka.
Suasana hari raya agak meriah. Aku sempat menziarahi ramai saudara mara, malah kawan ibu dan tok ayah juga. Dalam Islam, kita dianjurkan untuk menghubungkan sillaturrahim kawan ayah dan ibu kita jua.
Pada hari Rabu malam Khamis, selepas solat Maghrib, aku sekeluarga sempat menziarahi kakak iparku, Kak Wan Dah di Taman Sari, Kota Bharu. Setiap tahun, Kak Wan Dah tak pernah aku 'missed' untuk menziarahinya. Kak Wan Dah, berusia 92 tahun adalah cucu Haji Mohd Noor, bekas mufti Kelantan, yang berkahwin dengan arwah abangku, Wan Yaakob bin Haji Wan Ismail.
Abangku Wan Yaakob meninggal dunia pada tahun 1971 manakala ayahnya, Haji Wan Ismail telah meninggal dunia pada tahun 1981.
Dari mereka berdua, lahir 11 zuriat yang merupakan anak-anak saudara ku. Semuanya lebih tua dari ku dan ada yang telah meninggal dunia. Antara nama-nama anak saudaraku ialah Wan Zain (telah meninggal), Wan Ramli, Wan Zakaria, Wan Mohammad, Wan Abdul Rahman, Wan Idris, Wan Yusuf, Wan Bunyamin, Wan Hanafi, Wan Hasniyah dan Wan Rahimah (ketepatan nama anak perempuan aku kurang pasti tetapi aku memanggil mereka Yah dan Mah aje).
Aku bercadang untuk kembali ke Johor pada hari Rabu kerana ikan dan kucing di Skudai perlu diberi makan. Ibu meminta supaya kami menangguhkan sehari lagi dan pulang pada hari Khamis....
Kami bertolak jam 7.30 pagi pada hari Khamis dan tiba di Taman Pulai Utama, Skudai, jam 10.30 malam. Perjalanan balik agak kurang selesa kerana 'air-con' van sudah tidak berfungsi! Masing-masing kepanasan... Walau bagaimanapun, syukur alhamdulillah kami selamat sampai tanpa menambah bilangan statistik kemalangan jalanraya.
Pagi tadi (Jumaat), aku dikejutkan dengan berita Dr Asiah Othman, mantan Ketua Jabatanku pergi meninggalkan dunia yang fana ini pada jam 7 pagi kerana sakit jantung di usia 51 tahun. Aku terus bergegas ke rumahnya di Taman Sri Skudai dan solat jenazah buatnya... Pemergianmu di pagi Jumaat, penghulu segala hari.
DariNya kita datang, kepadaNya kita kembali.... Semoga rohmu dirahmati dan diberkati Allah! Amin!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment