Monday, September 7, 2009

Kita Menghampiri Kemuncak Ramadan


Alhamdulillah, sudah 17 hari kita beramal di bulan yang penuh barakah ini! Kita akan menghampiri kemuncaknya iaitu 10 malam terakhir dalam masa 3 hari lagi...

Ayuh, jangan kita semakin lemah atau semakin bersahaja! Matlamat kita ialah untuk mendapatkan Lailatul Qadar sekali lagi pada tahun ini. Sedikit dorongan kepada kawan-kawan bakal membangkitkan semangat kita jua. Jangan lupa untuk suntikkan semangat yang sama kepada semua ahli keluarga kita juga.

Kekang nafsu tidur, banyakkan solat malam, membaca Al-Quran dan berzikir. Lupakan soal remeh temeh. Kuatkan azam. Berikut ialah hadis Nabi (s.a.w) berkaitan Lailatul Qadar...

Harun bin Ishaq Al-Hamdani menceritakan kepada kami, 'Abdah bin Sulaiman memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Hisyam bin 'Urwah dari ayahnya dari 'Aisyah di mana ia berkata: "Rasulullah (s.a.w) biasa beri'tikaf pada sepuluh terakhir dalam bulan Ramadan, dan bersabda: "Bersungguh-sungguhlah kamu (untuk mendapatkan) Lailatul Qadar pada sepuluh terakhir dari bulan Ramadan."

Perkara yang sama diriwayatkan pula dari 'Umar, Ubayy bin Ka'b, Jabir bin Samurah, Jabir bin 'Abdullah, Ibnu 'Umar, Al-Falatan bin 'Ashim, Anas, Abu Sa'id, 'Abdullah bin Unais, Abu Bakrah, Ibnu 'Abbas, Bilal dan 'Ubadah dan Ash-Shamit. Abu 'Isa berkata: "Hadis 'Aisyah itu adalah hadis hasan sahih; sedangkan kata yujaawiru ertinya adalah beri'tikaf."

Banyak riwayat dari Nabi (s.a.w) bahawasanya baginda bersabda: "Carilah Lailatul Qadar itu pada sepuluh terakhir pada setiap yang ganjil."

Diriwayatkan dari Nabi (s.a.w) tentang Lailatul Qadar iaitu bahawasanya Lailatul Qadar itu adalah pada malam 21, 23, 25, 27, 29 dan malam terakhir dari bulan Ramadan.

Asy-Syafi'i berkata: "Itu hanyalah pendapat saya. Dan Allah Maha Mengetahui; di mana Nabi (s.a.w) menjawab suatu pertanyaan sewaktu ditanya tentang Lailatul Qadar." Dikatakan kepada baginda bahawa kami mencarinya pada malam ini, kemudian baginda bersabda: "Carilah Laiatul Qadar itu pada malam ini."

Asy-Syafi'i berkata: "Riwayat yang paling kuat menurut pendapat saya ialah bahawa Lailatul Qadar itu jatuh pada malam tanggal 21." Abu 'Isa berkata: "Diriwayatkan dari Ubbay bin Ka'b bahawasanya ia bersumpah bahawa Lailatul Qadar itu berada pada malam 27 di mana ia berkata: "Rasulullah (s.a.w) memberitahukan kepada kami dengan tanda-tanda malam itu kemudian kami menyebut-nyebut dan menghafalnya."

Diriwayatkan dari Abu Qilabah bahawasanya ia berkata: "Lailatul Qadar itu berkisar pada sepuluh terakhir." 'Abd bin Humaid memberitahukan yang demikian kepada kami, 'Abdur Razzaq memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Ma'mar dari Ayyub dari Abu Qilabah dengan maksud seperti itu." Hadis Sunan At Tirmidzi Jilid 2. Hadis Nombor 0789.

Semoga kita berjaya mendapatkan Lailatul Qadar! Amin ya Allah!

No comments:

Post a Comment