Saturday, August 25, 2012

Perjalanan Balik Raya Adalah Suatu Pengembaraan Tersendiri

Beraya bersama keluarga tersayang tidak boleh dipisahkan lagi bagi majoriti rakyat Malaysia. Walau apapun terjadi, walau apapun cara, beraya mesti bersama kedua orang tua. Itulah hakikat pengamalan kita di Malaysia.


Ada orang kata kalau kita tak balik kampung pada hari-hari yang lain, tak mengapa... Tetapi kalau tak balik kampung semasa sambutan Aidil Fitri, itu tidak wajar dan bertentangan dengan adab dan norma kehidupan masyarakat Melayu.


Pada saya, apa salahnya kalau kita selalu balik pada hari-hari yang lain tetapi tidak pada hari lebaran. Kan pada penghujung 10 terakhir Ramadhan, kita mahu mengejar malam qadr. Kalau agenda balik kampung sudah menjadi agenda tahunan, bila masa kita mahu dapat malam qadr?


"Oh... Itu idea mereka yang sudah tiada ibu dan bapa", balas mereka.

"Aku masih mempunyai ibubapa, aku wajib pulang! Kalau tidak kesian mereka hanya beraya berdua sahaja", balasnya pula.


Itulah percaturan minda yang perlu ditangani secara rasional. Kalau tidak, ia mungkin akan menyebabkan perang dunia ketiga berlaku antara suami isteri...

Aku sekeluarga mula bercuti untuk beraya di Kelantan pada 16 Ogos, iaitu hari Khamis. Kami mula bergerak di awal pagi, sekitar jam 0700 dari rumah di Taman Pulai Utama. Destinasinya ialah rumah anak saudaraku Muhammad di Beserah, Kuantan. Muhammad bekerja sebagai kerani di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan.


Banyak isu yang menyebabkan aku membuat transit ini. Pertama, aku sudah tidak larat untuk memandu secara 'direct' ke Kota Bharu. Kedua, inilah masanya anak-anakku boleh mengenali sepupu mereka secara dekat. Mereka juga boleh mengenali isteri sepupu mereka, Izzah! Ketiga, aku mengharapkan ukhuwah lebih erat terjalin sesama kami.


Izzah dan saudara maranya pernah makan nasi di rumahku di Skudai dan aku sekeluarga dihidangkan dengan juadah berbuka puasa nasi kerabu yang paling enak di Kuantan pada petang 16 Ogos.

Keesokan harinya selepas bersahur dan solat Subuh, kami meneruskan lagi perjalanan...


Perjalanan yang aku kira ringkas pada awalnya, ternyata meleset. Aku tersilap mengambil lebuhraya Timur apabila keluar sahaja dari Jalan Beserah - Pelabuhan. Lebuhraya yang masih ditutup ke arah Terengganu membawa aku kembali ke arah Kuantan dan Kuala Lumpur.

Aku terpaksa 'exit' semula setelah berlalu lebih 30km dan membayar tol RM1 lebih. Aku menanyakan kepada jurutol bagaimana hendak ke Kelantan, penjaga tol memaklumkan bahawa aku perlu berpatah balik dan keluar menghala ke Jabor.


Aku berpatah balik dengan mengambil kad tol. Apabila sampai di tempat yang aku perlu 'exit', aku tersalah pilih kaunter... 'Instead of' kaunter tunai, aku melalui kaunter 'touch & go'! Berdesut keluar RM21 dari kad 'touch & go' isteriku kerana mesin tak dapat membaca dari mana aku masuk...

Jadi mesin yang tidak ada budi bicara itu terus mengenakan tol maksimum kepada ku walaupun aku hanya masuk satu 'entry' sebelumnya. Rasa marahpun ada, dan kesalpun ada. Tol yang sepatutnya RM1 lebih sudah menjadi hampir 20 kali ganda.


Pada pandangan aku, satu 'sign board' perlu diletakkan di awal tempat masuk lebuhraya. Satu kenyataan 'Lebuhraya Timur masih ditutup!' mungkin dapat menyelamatkan duit minyak, duit tol dan masa pengguna.

Membiarkan pengguna melaluinya dan menyekat laluan ke Terengganu di pertengahan jalan sungguh tidak praktikal! Kita jangan membuat andaian bahawa semua orang tahu bahawa jalan itu masih ditutup. Tidak semua orang dari kawasan tersebut dan mereka hanya jarang-jarang menggunakan laluan ini. Setahun sekali belum tentu lagi mereka melaluinya...


Aku sampai di Pengkalan Chepa, Kota Bharu sekitar jam hampir 1400.

Dalam perjalanan iaitu di Chalok, Terengganu, aku sempat membeli 5 biji cempedak dengan harga RM3 sekilo. Harganya agak murah berbanding RM4 hingga RM6 sekilo di JB.


Kami sempat berbuka puasa selama 2 hari di rumah Bu dan Tok Ayah! Dan pada 19 Ogos, kami menunaikan solat sunat hari raya Eidul Fitri di surau Taman Seri, Pengkalan Chepa.

Pada hari raya pertama, Bu telah menyediakan nasi beriani kepada tetamu yang berkunjung ke rumahnya. Ramai dari kalangan anak-anak saudaranya atau dengan kata lain sepupu sepapat kami yang datang.


Aku juga sempat kerkejar menziarahi kakak dan adik di Palekbang dan di Gerong. Aku juga menziarahi sepupu ku di Wakaf Bharu.

Aku bertolak balik semula ke JB pada awal pagi 23 Ogos. Pada awalnya, kami merancang untuk balik pada 24 Ogos tetapi disebabkan Kak Long perlu memperbaharui pasportnya maka perancangan tersebut diubah.


Membuat pasport Kak Long kelmarin di Pekan Rabu memang menguji kesabaran dan keimanan. Kami sampai di Pejabat Imigresen pada pukul 8 lebih dan kelihatan begitu ramai sedang beratur.

Kami mendapat nombor 248. Dan hanya 2 orang lagi di belakang kami diberikan nombor.


Aku terpaksa bersolat jumaat di masjid di belakang Pekan Rabu. Dan akhirnya kami diberikan pasport sekitar jam 1655. Sehari suntuk kami di sana...

Astagfirullahal 'azim... Terasa sungguh penat terutama ia merupakan hari pertama aku berpuasa 6 hari di bulan Syawal.

No comments:

Post a Comment