Program Malam Badar merupakan program tahunan yang dibuat di Sekolah Islam Hidayah. Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada ibubapa untuk menginfaqkan wang ringgit dan harta mereka kepada pembangunan sekolah.
Pada tahun ini, sekolah mensasarkan kutipan sebanyak RM200,000 dalam usaha untuk mendirikan sebuah lagi bangunan sekolah rendah yang bakal menelan belanja RM2.4 juta.
Acara Malam Badar dimulai dengan aktiviti gotong royong memasak juadah untuk berbuka puasa di siang harinya. Dari pagi hari, malah sebelum itu lagi, pakcik-pakcik yang menguruskan lembu akan membuat penyembelihan. Pada tahun ini, 2 ekor lembu telah disembelih bagi Program Malam Badar dan ratusan ekor ayam telah dibeli.
Semua barangan termasuk daging, ayam, beras, air, buah-buahan, dan sebagainya adalah hasil dari penajaan orang ramai untuk memberi makan orang yang berpuasa. Sepertimana yang kita ketahui pahala orang yang memberi makan orang yang berpuasa ialah mendapat pahala mereka yang berpuasa tanpa mengurangkan pahala mereka walau sedikitpun.
Daging lembu kebiasaannya diperoleh dari hasil penajaan 'aqiqah ibubapa yang mana anak-anak mereka bersekolah di Hidayah.
Semua ibubapa dan anak-anak Hidayah yang berkelapangan datang untuk sama-sama merewang dalam menyediakan juadah.
Acara ini yang paling meriah! Semua datang untuk membantu; dari mengupas bawang, memotong daging, membasuh periuk, sehinggalah menghidang dan membersihkan kawasan.
Semuanya berjalan lancar! Tiada yang berat tulang untuk membantu. Itu adalah trend sekolah kita. Mereka membantu dengan menggunakan pelbagai cara; yang mampu tenaga, mereka mencurahkan tenaga, yang mampu memberi buah fikiran, mereka akan mencadangkan idea-idea bernas, manakala yang hanya mampu memberi RM, mereka memberi bantuan dengan berbondong-bondong mencurahkan wang ringgit.
Pada tahun ini juga, kelihatan ramai alumni Hidayah turut serta dalam Malam Badar. Mereka merasakan Hidayah sebahagian dari kehidupan mereka. Sesetengahnya pantang aje cuti pasti akan diluangkan masa untuk bersama adik-adik junior mereka samaada memberi motivasi atau memberi tunjuk ajar dalam matapelajaran tertentu.
Alhamdulillah, keseluruhan program berjalan lancar walaupun sedikit gerimis sewaktu dekat berbuka. Pada malam tersebut, kita dapat mengumpul lebih kurang RM133,000, kurang dari sasaran sebanyak RM60k.
Ini mungkin disebabkan oleh pembayaran gaji yang agak lewat oleh UTM. Jabatan-jabatan kerajaan yang lain mendapat gaji pada hari Jumaat (10 Ogos) tetapi UTM hanya pada hari Isnin (13 Ogos) dan Malam Badar berlangsung pada 11 Ogos.
Walau apapun asbabnya, kita merakamkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT diatas limpah rahmatNya yang tidak terhingga sehingga kita mampu menaikkan bangunan Hidayah dari sebuah ke sebuah... Semuanya adalah hasil dari pengorbanan kita!
Kepada yang ingin menderma, kita masih menerima sumbangan anda! Lawatilah Dana Hidayah!!!
No comments:
Post a Comment