Pagi tadi IKRAM JBT, Pontian, BJB, dan Kulaijaya menganjurkan Qiam Perdana. Berimamkan imam muda dari Gaza, Palestine iaitu akhi Taha. Lokasi pilihan ialah Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid.
MTSAW agak kelam kabut kerana mereka sedang membuat persiapan sempena kedatangan YAB Perdana Menteri pada 6 Ogos (Isnin) ini. Datuk Seri Najib datang ke Johor bagi majlis khatam al-Quran yang kebiasaannya diadakan di Saujana, kediaman Menteri Besar Johor.
Pada tahun ini, MTSAW menjadi pilihan! Agaknya PM ingin berjumpa masyarakat bagi Parlimen Gelang Patah dan DUN Nusajaya...
Kita lihat Nusajaya begitu pesat membangun. Bangunan pentadbiran kerajaan negeri (mirip Putrajaya) terletak di sini. Iskandar Malaysia juga berada dalam kawasan ini.
'Biar kawasan lain... tetapi jangan Nusajaya yang jatuh ke tangan pembangkang' Mungkin itu perhitungan BN yang bakal mengharungi PRU ke-13 dalam sedikit masa lagi.
Aqsa Syarif membawa beberapa orang imam muda dari Gaza untuk menerajui solat tarawih bagi meningkatkan rasa kebertanggungjawaban terhadap masjid kita yang ketiga, selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Bacaannya sungguh merdu dan enak didengar walaupun aku kurang arif dengan maksud ayat-ayat yang dibaca. Beliau membaca surah Qaf, dan beberapa surah yang lain untuk solat tahajjud 4 rakaat dengan 2 salam. Pada rakaat kedua terakhir, Imam Taha telah membaca qunut memohon kejayaan Islam di seluruh pelusuk dunia, termasuk Palestine, Syria, Afghanistan dan 'kulli makan'.
Aku, isteri dan Asma' tiba di MTSAW sejak jam 11 malam lagi.
Sebelum aku tidur, aku juga sempat menyumbang beberapa RM kepada Bendahari IKRAM Johor dalam usaha IKRAM Pusat untuk membeli 3 pintu bangunan 4 tingkat untuk dijadikan pejabat. Semoga Allah menerima amalku. Sesiapa yang ingin memberi sedekah jariah ini bolehlah berbuat demikian kerana IKRAM memerlukan lebih RM7 juta bagi tujuan tersebut.
Aku bangun sekitar jam 3.30 pagi. Aku memulakan solat tahajjud secara bersendirian sebelum membuat secara berjamaah pada pukul 4 pagi.
Kami bersahur sekitar jam 5 pagi.
Selesai solat Subuh aku terpaksa menunggu untuk mendengar kuliah Subuh kerana ada sebuah kereta yang menghalang di belakang keretaku...
Rasa panaspun ada, rasa sedihpun ada, rasa terkilanpun ada. Sepatutnya kita berfikir... Kalaulah kita dah 'blocked' kereta orang, usahlah berwirid panjang atau cuba untuk mendengar kuliah Subuh sehingga habis. Berfikirlah seperti orang waras!
Setelah habis kuliah Subuh, sekitar pukul 7.30 pagi, si pemandu yang menghalang keretakupun datang. Sambil menghulurkan tangan untuk bersalam beliau berkata, "Maaf sheikh!" dan berlalu pergi.
Aku kelu tak terkata melihat gelagat seorang pegawai kanan universiti berjawatan Timbalan Naib Canselor!
No comments:
Post a Comment