Friday, October 23, 2009

Betapa Manisnya Ukhuwwah Fillah....


Alangkah bahagianya mereka yang mempunyai persaudaraan kekeluargaan yang intim. Abang bertanya khabar adik, adik menjengok kakak, kakak mengirim buah tangan untuk adiknya, dan berbagai-bagai lagi suasana yang membuat tautan hati antara adik beradik begitu mesra.

Tidak kurang penting juga, suasana persaudaraan dikalangan sahabat yang saling bantu-membantu, ingat-mengingati dan sapa-menyapa. Kadang-kadang persaudaraan sesama sahabat menjadi lebih rapat, akrab, dan mesra dari persaudaraan sesama keluarga sendiri. Apatah lagi jika keluarga kita beribu batu jauhnya. Sahabatlah menjadi tempat kita meminta pertolongan dan diberi pertolongan.

Rasa prihatin, ambil tahu tentang masalah yang dihadapi oleh sahabat mencetus perasaan bahawa kita dipedulikan... Dan kita tidak keseorangan menghadapi masalah.

Saya pernah suatu ketika menghadapi masalah kenderaan rosak kerana kemalangan. Sahabatlah yang membantu meminjamkan keretanya kepada saya berbulan-bulan. Saya tidak dapat melupakan jasa Prof Dr Aizaini diatas pertolongan tersebut.

Saya pernah meminjam wang dari seorang sahabat untuk membayar 'down payment' rumah sebanyak RM9,800 selama 5 bulan tanpa 'interest'. 'That was way back in 1998'. Jasa PM Dr Zaharuddin akan saya kenang sampai bila-bila. 'He could have asked me to borrow it from bank but his kindness was above and beyond expectation'.

Sewaktu saya gagal dalam temubual untuk menjadi pensyarah UTM di penghujung 90an, Prof Ir Dr Mohd Azraai bergegas ke rumah saya di Kolej Siswa Desa Skudai untuk menenangkan hati saya dan seterusnya mempelawa untuk menjadi staf Sekolah Hidayah.

Bibit-bibit sebeginilah yang dapat merapatkan ukhuwwah sesama kita. Ayuh rakan dan taulan, kita semai kembali benih ukhuwwah yang mungkin semakin layu dan sama-sama kita bajai supaya ia terus subur dan berkembang.

Dari Salim r.a. dari bapanya, katanya Rasulullah (saw) bersabda: "Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim. Dia tidak boleh menganiaya saudaranya dan tidak boleh pula membiarkan saudaranya (teraniaya). Siapa yang membantu (mencukupkan) keperluan saudaranya maka Allah Taala membantunya pula (mencukupkan) keperluannya. Siapa yang melapangkan kesulitan seorang muslim. maka Allah Taala melapangkan pula kesulitannya kelak di hari kiamat. Dan siapa yang menutup kesalahan (rahsia) orang muslim, maka Allah menutupi pula kesalahannya kelak di hari kiamat."(Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2210).

No comments:

Post a Comment