Wednesday, October 21, 2009

Kursus 'Senior Command' Berlalu Pergi


Dalam penglibatanku sebagai seorang 'Territorial Army' (TA), banyak kursus telah ku hadiri. Dan yang terbaru yang telah ku lalui dan terakhir dalam senarai kursus Askar Wataniah ialah Kursus 'Senior Command' atau Pegawai Kanan. Ia berlangsung dari 7 hingga 20 Oktober di Pusat Latihan Askar Wataniah (PUSWATAN) sebagai fasa kedua, yang mana fasa pertama sepatutnya berjalan selama 2 minggu di Pasukan masing-masing.

Banyak pengalaman yang ku timba, baik dari aspek ilmu peperangan mahupun dari aspek kemanusiaan. Ilmu Allah amat luas dan perlu kita pelajari dari semasa ke semasa. "Katakanlah (Muhammad), "Seandainya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu pula" (Al-Kahfi;109).

Dalam aspek ilmu peperangan, kita dibekalkan dengan doktrin kita dan pihak Lanun dibekalkan dengan doktrin Lanun. Kajian terperinci perlu dilihat dari aspek persenjataan kita dan mereka. Kaedah yang paling mudah diingati ialah untuk mengalahkan pihak musuh, kita perlu mendepani mereka dengan nisbah 3:1.

Bagi ku ilmu peperangan dalam kursus-kursus sebelum ini (Ketua Platun, Senjata Kompeni, Staff Duty, Ketua Kompeni adalah lebih kurang sama dengan kursus Pegawai Kanan. Cuma dari segi pendekatan dan level berbeza.

Kalau dulu kita membuat Perkiraan Keadaan (Appreciation) cara lama tetapi sekarang menggunakan kaedah MAP. Kalau dulu setakat kita 'command' Platun atau Kompeni tetapi sekarang di peringkat Batalion.

Kawan-kawan ku dari Rejimen Askar Wataniah siri 500 yang menghadiri kursus ini, merasa seronok kerana mereka bakal menjadi 'Commanding Officer' (CO) kepada satu-satu batalion dan melayakkan mereka memakai pangkat Lt Kol. Bagi kami di PALAPES, jawatan Lt Kol hanyalah untuk Timbalan Komandan yang kebiasaannya dilantik oleh Datuk Naib Canselor dikalangan Timbalan Naib Canselor.

Pengalaman berkawan dan menemui kenalan baru banyak diperolehi. Betullah Rasulullah (SAW) menganjurkan supaya kita bermusafir bersama atau bermalam di rumah kawan kita bagi mengenali hati budi sahabat kita. Sebelum bermusafir kita masih tidak mengenali sahabat tetapi setelah selesai bermusafir barulah kita tahu baik buruk perangainya...

Dari aspek pengajaran dan pembelajaran untuk mendapatkan ilmu, banyak juga ku pelajari! Sumpah serapah jurulatih ku gagahi telinga dan mental tetapi kadang-kadang di usia sebegini, ku berkata dalam hati, "Kenapa aku masih di sini?".

Aku di sini, tidak lain dan tidak bukan kerana ingin mempertahankan negara!

MEJ HJ WAN IBRISAM FIKRY B HJ WAN ISMAIL

No comments:

Post a Comment