Tuesday, November 10, 2009

Aku Langgar Lori 3 Ton...


Sabtu lepas, aku merancang untuk menghadiri Mesyuarat Agung Bank Rakyat di Thistle Hotel, Johor Bahru. Tujuannya yang pertama ialah untuk mendapatkan duit saku kehadiran RM50, dan kedua, untuk bertanding sebagai perwakilan bagi mewakili Zon Selatan ke Mesyuarat Agung di Kuala Lumpur.

Mesyuarat akan bermula jam 10 pagi. Jam 9 pagi, aku bertolak dengan menaiki Kancil. Bila tiba di Jusco Taman Universiti, aku teringat surat untuk menghadiri mesyuarat tertinggal. Aku berpatah balik ke rumah. Setelah mendapat surat dari isteri, akupun meneruskan perjalanan.

Tidak sampai 30 meter dari rumah, bang! Aku melanggar lori di persimpangan jalan. Aku tergamam dan terpaku buat seketika... Setelah merasa agak tenteram, aku mengubah Kancilku ke tepi. Aku mengaku salah kerana melanggar lori 3 ton tersebut. Sebenarnya aku ingin membelok ke kiri dan sekiranya lori itu tidak 'makan jalan', aku pasti aku tidak akan melanggarnya!

Aku menelefon syarikat insuran Takaful Ikhlas dan menanyakan langkah seterusnya yang perlu aku lakukan. Sejam kemudian, datang Ah Teck dari 'workshop' yang menjadi panel Takaful datang untuk mengambil gambar dan sebagainya. Selepas itu, aku pergi ke pejabatku di UTM untuk mengambil geran kenderaan, 'cover note' insuran dan 'hire purchase agreement' sebelum kembali ke tempat kemalangan.

Kemudian aku perlu membuat laporan kemalangan di Balai Polis (BP) Gelang Patah dan pihak polis perlu mengambil gambar keadaan Kancilku. Aku memandu Kancil yang remuk di penjuru depan sebelah kanan manakala Ah Teck memandu Datsun Nissannya ke Gelang Patah.

Agak pelik juga sistem pengaduan yang terpaksa dibuat. Kalau hendak dikira BP Skudai ada, BP Taman Universitipun ada, tetapi dibawah sistem pentadbiran polis, kemalangan di Taman Pulai Utama jika bersabitkan jenayah perlu dilaporkan di BP Kangkar Pulai dan jika kemalangan kenderaan di BP Gelang Patah. Walhal, sekarang internet ada di mana-mana...

Semasa membuat laporan aku menegaskan kepada Sgt Mat Yuni, sekiranya lori itu tidak makan jalan, aku tidak terlanggar lori tersebut. Sgt Mat Yuni memperingatkan kepadaku supaya lain kali, ambil gambar apabila berlaku kemalangan supaya kita mempunyai bukti kukuh. Sekarang ni, lagi senang kerana 'handphone' kita ada kamera!

Selesai membuat laporan polis, Ah Teck menyuruh aku meninggalkan saja Kancilku di situ kerana 'radiator'nya bocor dan Kancilku akan di'tow' kemudian. Aku dibawanya ke 'workshop' untuk menyelesaikan kerja-kerja 'paperwork'.

Dalam perjalanan ke 'workshop' di Tebrau, aku sempat berborak-borak dengan Ah Teck. "Ah Teck ada berapa orang anak?", soalku. "Lima", jawab Ah Teck. "Saya ada 9 anak", sambungku. "Wah, macam kakak saya Habibah. Kakak saya masuk Islam dan kahwin dengan Ketua Imam di Muar dan ada 9 anak. Tapi sekarang, suaminya sudah meninggal. Kakak saya dan anak-anaknya selalu datang rumah saya.", jelas Ah Teck.

"Oh gitu... Ah Teck, saya suka jika Ah Teck juga masuk Islam. Tuhan kata, agama yang diterima hanya Islam. Kristian, Buddha, Hindu, semua Tuhan tidak terima.", balasku lagi. "Saya tahu, tapi saya sudah tua..", jawab Ah Teck.

"Tidak Ah Teck, dulu bapa Abu Bakar, sahabat Nabi Muhammad, lagi tua tapi dia masuk Islam jugak", jelasku. "Saya tidak seronok, nanti bila kita mati, saya masuk syurga tapi Ah Teck masuk neraka.", sambungku lagi.

"Kalau Ah Teck tengok, orang Cina lebih dahulu masuk Islam dari orang Melayu... Sahabat Nabi Muhammad pergi berdakwah di negeri China dan ramai orang Cina di China masuk Islam", aku meneruskan lagi berdakwah kepada Ah Teck. Bukan senang untuk mendapat peluang sebegini...

"Kalau Ah Teck tengok orang Melayu tetapi kadang-kadang perangai mereka lebih teruk dari orang bukan Islam. Ada yang main perempuan, ada yang berjudi, ada yang minum arak, ada yang menipu, ada yang berbohong tetapi Islam melarang itu semua.", ujarku. "Saya tahu.", sampuk Ah Teck.

"Macam kereta sayalah Ah Teck, dia 'accident' bukan kerana kereta tak bagus tapi pemandunya yang tidak bagus. Begitu jua Islam, bukan Islam tidak baik tetapi penganutnya yang tidak menurut ajaran Islam sebenar.", sambungku lagi.

Jarak perjalanan yang menghampiri 1 jam membuatkan ku merasa berpuas hati untuk cuba mengajak Ah Teck kepada Islam. Semua hujjah dan nas yang sepatutnya ku berikan kepada orang yang baru berjinak-jinak dengan Islam terus ku ketengahkan. Ah Teck walaupun sudah berusia, merupakan anak bongsu, nampak sungguh tenang dan mungkin memikirkan apa yang telah aku perkatakan...

Setibanya di'workshop' aku menandatangani segala borang-borang yang diperlukan dan Ah Teck telah mendapatkan kereta Satria sebagai ganti untuk kegunaanku sepanjang keretaku di 'workshop'.

Sebelum Ah Teck ke Mersing kerana menguruskan sebuah kereta yang terjatuh ke dalam gaung, aku menghulurkan kad kepadanya.

"Telefon saya jika ada apa-apa berkaitan kereta saya atau berkaitan Islam yang telah kita bincangkan tadi. Walau bagaimanapun, saya akan berdoa semoga Tuhan akan memberi petunjuk kepada Ah Teck untuk masuk Islam.", aku mengakhiri perbualan dengan Ah Teck.

Mari kita bersama-sama berdoa semoga Allah SWT memberi taufiq dan hidayah kepada Ah Teck untuk menerima Islam sebagaimana kakaknya... Amin!

4 comments:

  1. Segala musibah adalah ujian dari Allah. Tapi musibah kali ini ada hikmahnya. Semoha hati Ah Teck terbuka untuk menuju ke jalan yang benar.... AMIN!

    ReplyDelete
  2. Sangat cantik..Moga kebetulan yang dirancang Allah ni turut menyumbang titik-titik bagi menaikkan semula graf Islam. Tiada suatu perkara yang berlaku sia-sia melainkan ada hikmah yang tersembunyi untuk hambaNya.

    ReplyDelete