Wednesday, November 4, 2009

Setiap Bulan Saya Terima RMXXXX Dari Pelaburan Public Mutual


Saya menghadiri satu majlis kesyukuran seorang kawan kerana permohonannya untuk menjadi pensyarah telah berjaya. Alhamdulillah, sungguh seronok pensyarah tersebut. Sebelum ini, dia sudahpun bergelar Pensyarah Sementara tetapi tidak dapat di'confirm'kan kerana 'Cummulative Grade Point Average' (CGPA) Ijazah Sarjana Mudanya hanya 2.9 dan tidak sampai 3.0. Kalau hendak dikira, dia sudah mengajar di Jabatan saya lebih dari 5 tahun.

TNC (A) yang sebelum ni begitu menekankan syarat CGPA itu walaupun pensyarah ini telah bertugas dengan penuh dedikasi, bertanggungjawab dan melaksanakan segala tugas yang diberi dengan jayanya. Setelah TNC (A) bertukar, alhamdulillah pensyarah tadi telah dilantik sebagai Pensyarah.

Sambil makan, seorang kawan yang duduk di meja saya begitu bangga dengan pendapatan bulanannya. Sambil menyuap mee rebus, dia berkata, "Cuba tanya Abang Dan, berapa yang saya dapat sebulan hasil dari pelaburan dalam Public Mutual."

"Baguslah, disamping gaji sebagai staf UTM dapat pula pendapatan sampingan. Berapa tahun lagi nak pencen?", tanyaku pula. "Ada 6 tahun lagi, kalau sampai umur 56", balasnya. "InsyaAllah, pencen nanti tak ada masalah, duit dah banyak dalam pelaburan." tambahnya lagi.

"Alhamdulillah Zi, duit banyak untuk menuju ke hari persaraan tapi... Kalau kita pergi dulu sebelum pencen, kesiankan?". "Kalau anak yang tak beriman, kejap aje duit tu habis", sambungku. Razi terus senyap dan terkesima.

"Maksud saya, duit itu juga perlu dibelanjakan untuk jariah dan sebagainya. Sekurang-kurangnya, ada saham akhirat kita", dengan perlahan ku sambung lagi. Aku bukan hendak menang dalam berhujjah tetapi ingin menyampaikan mesej supaya dapat diterima oleh Razi.

Jangan kita menjadi sepertimana golongan yang dinyatakan dalam al-Quran, memohon dan meminta kepada Allah untuk dikembalikan ke dunia untuk berbuat amal dengan sebaik-baik amal. Semasa hayatnya dulu, peluang itu disia-siakan... Permintaan itu pastinya permintaan yang sia-sia.

"(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata, "Ya Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku dapat berbuat kebajikan yang telah aku tinggalkan." Sekali-kali tidak! Sungguh itu adalah dalih yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada barzakh sampai pada hari mereka dibangkitkan." (Al-Mu'minum; 99-100)

No comments:

Post a Comment