Monday, November 30, 2009

Beberapa 'Tips' Apabila Berlaku Kemalangan Kenderaan


Dewasa ini kebanyakan kita mempunyai kenderaan sendiri. Kalau dulu sebuah rumah hanya ada sebuah kereta dan mungkin sebuah motorsikal sebagai tambahan. Tetapi sekarang, dua atau tiga kereta bagi sesebuah keluarga sudah menjadi lumrah dan merupakan keperluan.

Arwah ibu dan ayah saya tidak pernah memiliki apa-apa kenderaan. Hanya berjalan kaki dan menaiki kenderaan awam untuk ke mana-mana.

Apabila kenderaan banyak di jalanraya mahu tidak mahu, pasti berlaku kemalangan. Jalanraya di Malaysia mengikut sesetengah pendapat adalah medan peperangan. Tidak pernah sehari tanpa ada jiwa terkorban!

Kadang-kadang kita yang bersalah tetapi acapkali orang lain yang bersalah apabila kita sentiasa memulakan perjalanan dengan doa, "Subha nallazi sakharalana haza wama kunna lahu mukrinin, Wainna ila rabbina lamunqalibun". Cuba renung balik, apabila berlaku kemalangan adakah kita membaca doa sebelum kita memulakan perjalanan? Pastinya tidak!

Setelah berlaku kemalangan, tidak kira samaada kita salah atau orang lain salah, kita seboleh-bolehnya perlu mengambil gambar kejadian tersebut. 'Handphone' berkamera boleh digunakan. Bagaimana kedudukan jalan, kereta kita dan kereta dia, dan sebagainya. Ini adalah bukti yang kukuh...

Sayugia diingatkan apabila laporan dibuat kepada pihak polis, polis akan menjalankan penyiasatan dan pihak yang bersalah akan dikenakan denda sebanyak RM300.

Oleh itu, jika kemalangan itu kecil dan tidak melibatkan kos pembaikan yang besar, seelok-eloknya kita cuba berunding dengan pihak yang satu lagi sama ada boleh dibayar gantirugi saja tanpa membuat laporan polis. Kalau setakat tiga empat ratus, saya rasa masih berbaloi berbanding dengan bayaran denda kesalahan kemalangan saja sudah RM300. Itu jika kita yang salah!

Kalau dia yang salah seperti van yang dipandu isteri saya dilanggar pada minggu lepas dan setelah cuba berunding tetapi pakcik yang melanggar masih menekankan supaya masing-masing membaiki kenderaan masing-masing. Maka jalan seterusnya ialah membuat laporan polis. Ingat! tanpa laporan polis kenderaan kita tidak dapat dibaiki dengan menggunakan insuran dia ataupun kita.

Apabila kita membuat laporan polis, pihak polis tidak akan mengesahkan kita yang betul selagi mereka tidak mendapat laporan dari pihak sebelah lagi. Ingin diingatkan juga, kedua-dua pihak perlu membuat laporan dalam masa 24 jam.

Jika kenderaan kita mempunyai insuran komprehensif (1st party), masalah untuk membaikinya tidak begitu susah. Kalau kita yang salah, pihak insuran akan 'cover' kedua-dua kereta, kita dan dia. Tetapi jika insuran kita '3rd party' dan kita yang salah, insuran kita akan digunakan untuk membaiki kereta yang kita langgar tadi.

Sebaliknya pula, kalau kenderaan yang satu lagi bersalah, insuran dia akan digunakan untuk membaiki kereta kita.

Hari ini apabila saya dan isteri ke Balai Polis Taman Tun Aminah untuk mendapatkan laporan lengkap kemalangan tempohari, kita perlu membayar RM12. Apa yang ada dalam laporan lengkap 4 muka surat itu?

i) Satu muka surat ialah keputusan kesalahan yang telah dijatuhkan oleh polis kepada pesalah dan jumlah denda RM300 yang dikenakan.
ii) Rajah lokasi tempat kemalangan.
iii) Laporan polis yang dibuat oleh isteri saya.
iv) Laporan polis yang dibuat oleh orang yang melanggar isteri saya.

Apabila mendapat laporan tersebut, isteri saya melihat nombor kad pengenalan pakcik yang melanggarnya. "Pakcik ni, 2 hari lebih tua dari ayah", maklum isteriku. Ayahnya lahir pada 4/4/1944.

Nampak rasa kesian di raut wajah isteriku terhadap pakcik yang melanggarnya. Tetapi bagiku, aku masih ingat gelagat pakcik dan isterinya semasa hari tersebut. Usahkan nama dan alamat, aku minta nombor telefonpun tidak mahu diberinya...

No comments:

Post a Comment