"Abah, ada judi yang haram dan ada judi yang halal ek? "Mana boleh bah, kan judi tu haram?", tanya anakku.
"Ya... memang betul, tiada judi yang halal. Cuma, judi yang halal di pandangan masyarakat ialah kedai judi yang diberi lesen oleh kerajaan untuk menjalankan aktiviti mereka. Contohnya, seperti di Genting Highland, kedai-kedai toto, lumba kuda dan sebagainya", balasku. "Orang Islam memang diharamkan berjudi, tidak kira di kedai yang berlesen atau tidak", tambahku lagi.
"Ooo, macam tu. Tetapi kenapa, kerajaan keluarkan lesen judi, abah?", tanya anakku lagi.
"Seperti di negara barat, judi diberi lesen supaya kerajaan mendapat wang hasil perjudian masyarakat. Kerajaan akan mendapat tentangan dari orang ramai untuk menaikkan cukai tetapi masyarakat tidak kisah untuk membelanjakan duit untuk berjudi. Lagi banyak rakyat berjudi, lagi banyak kerajaan dapat duit untuk membuat pembangunan," jawabku.
"Berkat ke buat masjid, pasar, pejabat, jalan dengan duit judi, bah?", tanya anakku.
"Akhirnya, orang yang tahi judi sanggup menghabiskan wang belanja anak isteri demi mengharapkan kemungkinan menang yang tak pasti. Anak isteri akan hidup melarat tanpa makanan yang mencukupi. Suami pula tidak lagi berminat untuk bekerja tetapi ingin kaya dengan jalan mudah. Habis duit, dia akan meminjam supaya tabiatnya dapat diteruskan. Dia akan menghabiskan masa dengan berjudi!!! Ada seorang bekas menteri kita habis berjuta-juta kerana berjudi", tambahku lagi.
"Kalau macam tu, kenapa kerajaan galakkan orang berjudi, jika ia boleh menimbulkan penyakit kepada masyarakat?", tanya anakku pula.
"Katanya, dia tidak mahukan judi berleluasa dan tidak boleh dikawal, kalau tiada lesen dikeluarkan... Maksudnya, kalau ada lesen, kerajaan akan memastikan tiada penipuan dan sebagainya", balasku lagi.
"Ooo. Tapi dia boleh mengelirukan orang Islam, ya bah! Ada judi haram, ada judi halal... Lagipun, orang yang minat tengok bola ni ramai bah, dari sekecil-kecilnya hingga ke setua-tuanya. Sikit sebanyak mesti ada yang terpengaruh", tambah anakku.
"Dulu masa abah kecil, kita ada Loteri Kebajikan Masyarakat, tetapi sudah diharamkan kerajaan. Sekarang, tak tahulah timbul yang lain pula... Janganlah kita mendapat laknat Allah, hasil kerja yang terlarang ini!", tambahku lagi...
No comments:
Post a Comment