Monday, May 17, 2010

Sambutan Hari Guru

Guru Ibarat Rumah Api Yang Memberi Petunjuk Kepada Pelayar!!!

Pada hari Sabtu dan Ahad, anak-anak sibuk membeli hadiah untuk diberikan kepada guru-guru mereka pada hari ini (Isnin, 17 Mei). Tidak ketinggalan, Sakinah, Rasyid, 'Ammar dan Luqman. Mereka membeli hadiah dari duit saku harian mereka. Abdul Rahman yang tinggal di asrama, tak pasti pula bagaimana persediaannya...

Malam tadi, ummi sibuk membungkus hadiah. Untuk menjimatkan kos, guru yang mengajar dua atau tiga orang anak kami di SRIH iaitu Sakinah, Rasyid dan 'Ammar hanya diberi satu hadiah, manakala jika tiada pertindihan, setiap guru diberi satu hadiah.

Rasanya Syakir juga tidak ketinggalan untuk memberi hadiah kepada guru-gurunya di Tadika Iman, Taman Universiti.

Hari Guru di Malaysia disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai penghargaan kepada para guru. Tarikh ini dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita (Wikipedia).

Tahun ini, tiada sms dari bekas pelajar mengucapkan 'Selamat Hari Guru' kepadaku kecuali Kak Long yang berada di Cairo University. Ini mungkin kerana sudah hampir 3 tahun aku tidak mengajar di UTM diatas urusan pembelajaran PhDku...

Walau apapun, aku ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada guru-guru yang mengajar semasa aku di Tadika Kg. Laut; Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris Kg. Laut; Sekolah Menengah Tumpat; Sekolah Menengah Sultan Ismail, Kota Bharu; Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu; dan Sekolah Menengah Teknik Terengganu.

Tidak dilupakan juga kepada guru PhDku, Prof Madya Dr Ismail bin Omar selaku penyelia pengajian di UTM.

'Selamat Hari Guru', cikgu! Semoga jasa guru semua dibalas oleh Allah SWT dengan ganjaran yang besar, baik di dunia mahupun di akhirat...

No comments:

Post a Comment