Cuti sekolah baru saja berlalu. Hari ini sekolah mula dibuka semula.
Cuti sekolah kepada pensyarah universiti tidak sama dengan cuti sekolah kepada profesion yang lain. Profesion pekerjaan yang lain, baik pegawai tadbir, akauntan, kerani, polis, tentera, dan sebagainya mereka boleh memohon cuti untuk bersama dengan anak-anak di musim cuti sekolah (tidak termasuk mereka yang berada dalam operasi).
Bagi pensyarah pula pada masa cuti sekolah, kita terpaksa melayan klien dengan mengajar, membuat bimbingan dengan tesis mereka, mengendalikan kuiz dan ujian dan melaksanakan kerja-kerja rutin yang lain. Klien kita iaitu mahasiswa/i tidak bercuti pada masa cuti sekolah.
Kalau kita mahu bercuti bersama keluarga, pandai-pandailah memilih hujung minggu yang kita tidak ada tugasan mengiringi pelajar ke mana-mana dan anak-anak pula tiada program ko-kurikulum.
Cuti sekolah yang baru lalu, abang balik ke rumah... Sekolahnya iaitu Pusat STAM IKRAM di Kajang ditinggalkan buat dua minggu!
Aku melihat abang agak berisi sekarang berbanding semasa di Hidayah dulu. Mungkin lebih berselera apabila mereka masak sama-sama dan makan sama-sama di hostel. Mereka tinggal di apartment 3 bilik, berperabot, 'air-conditioned', mempunyai kemudahan 'swimming pool', dan sebagainya. Kalau tak silap, mereka menginap seramai 10 orang untuk satu apartment. Aku sendiri belum menjejak kaki ke sana.
Apabila abang berada di rumah, abang nampak sudah pandai menggunakan periuk belanga, pinggan mangkuk, senduk sudip, sudu garfu dan sebagainya. Pernah aku menyuruh abang panaskan kuah kacang minggu lepas. Kuah kacang itu disertakan sekali dengan nasi impit segera berjenama Nona atau Adabi.
Apa lagi..., abang terus memotong bawang dan menumiskannya sebelum memasukkan kuah kacang yang 'ready made' itu.
Abang, Achik dan 'Ammar juga membetulkan atap 'awning' atau 'porch' depan rumahku yang terselak buat seketika kerana ditiup angin... So, ada jugalah aktiviti berfaedah yang dilakukan sepanjang cuti sekolah baru-baru ini.
Abang tidak ketinggalan membantu pihak Sekolah Hidayah mengendalikan Karnival Majlis Guru Besar Sekolah Islam Malaysia (MGBSIM) pada 6 hingga 7 Jun lalu. Ada slot-slot yang dilibatkan dirinya seperti membantu dan menyusun pelajar-pelajar yang menyertai pertandingan hafazan al-Quran dan sebagainya.
Di Karnival MGBSIM yang dituanrumahkan oleh Sekolah Hidayah pada tahun ini menerima lebih kurang 1,160 orang pelajar dari seluruh sekolah-sekolah anjuran Musleh. Apabila diambil
kira guru-guru pengiring dan AJK penganjur yang bertugas, jumlah
keseluruhan yang terlibat dianggarkan berjumlah seramai 1,500 orang.
Antara acara yang dipertandingkan ialah Hafazan, Tilawah, Nasyid, Tulisan Khat, Azan, 'Story Telling' dan Pidato tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu,
Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.
Dalam pertandingan sejak 2 tahun yang lalu, Hidayah telah merangkul juara keseluruhan untuk dua tahun berturut-turut dan menjuarainya lagi pada tahun ini. Tahniah dan mabruk kepada anak-anak Hidayah!
Memang Hidayah telah menjadi 'role model' kepada kebanyakan sekolah-sekolah yang lain. Sebab itu saban tahun, kita lihat ramai dikalangan ahli PIBG sekolah dan ahli lembaga pengelola sekolah luar sanggup bertandang ke Hidayah.
Pernah satu ketika aku ke sekolah dan di waktu itu ada ahli lembaga dan ahli PIBG dari rangkaian sekolah MUSLEH datang melawat. Mereka datang dari Kelantan. "Ish...ish...bagusnya budak-budak Hidayah, cikgu tak ada dalam kelaspun... tak bising!", kata salah seorang dari mereka. Aku hanya tersenyum...
Aku juga menyuruh abang untuk mengisi borang menjadi ahli IKRAM seumur hidup. Abang telah genap berumur 18 tahun pada 2 Jun yang lalu. Kak Long dan Kak Ngah telah menjadi ahli seumur hidup pada tahun lalu.
Tidak banyak dapat aku raikan abang sepanjang kepulangannya pada cuti sekolah ini. Walau apapun, sempatlah jua aku membuat BBQ 'lamb' dan membeli pizza untuk dinikmati bersama dengan adik-adiknya.
Sungguhpun achik juga tidak tinggal di rumah tetapi kita tidak merasa achik jauh dari kami... Achik hanya di asrama Hidayah.
Mudah-mudahan, dengan pengalaman kehidupan di asrama mampu mengajar mereka untuk hidup lebih berdikari di hari tua. InsyaAllah...
No comments:
Post a Comment