Saturday, June 2, 2012

Happy Birthday Abang!

Hari ni genap umur Abang 18 tahun! Kak Ngah dah 20 tahun pada bulan Mac lepas. Kak Long pula akan genap 22 tahun pada bulan depan...

Begitu cepat masa berlalu. Aku masih ingat semasa abang menyambut ulangtahun ke 8 atau begitu... Aku belikannya roti dari Pasar Tani Sri Pulai sebagai ganti kek harijadinya. Bila kami mengimbas kembali peristiwa tersebut, masing-masing ketawa...tak kering gusi.


Aku pula insyaAllah akan menjangkau umur 48 tahun pada 1.9.2012.

Apa natijahnya? Natijahnya ialah kita semua semakin dewasa dan semakin tua. Anak-anak akan lebih matang dan harapan ibubapa ialah supaya mereka berupaya membuat keputusan sendiri. Mereka sudah boleh melakar kehidupan dan hanya dibantu apabila mereka menghadapi dilema dalam membuat keputusan.

Malam tadi, aku mendengar Kuliah Maghrib Dr Zulkifli al-Bakri secara live melalui 'streaming' dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.





Antara intipati kuliah Dr Zul ialah mengenai anak muda yang hatinya bertaut dengan masjid. Itulah harapan ibubapa..inginkan anaknya suka ke masjid. Setiap waktu kalau boleh melaksanakan ibadah solat berjamaah di masjid.

Pernah aku terdengar antara kalimah ucapan pakcik-pakcik kepada seorang anak, "Oh! anak dia tu, kalau balik dari asrama pasti kelihatan solat di surau kami!". Aku pasti sejuk hati si bapa apabila mendengar ucapan seumpama itu dari rakan dan taulan.

Anak muda yang hatinya begitu dekat dengan masjid sukar dicari! Sebab itu ada hadis yang menerangkan tentang mereka yang dapat bernaung di bawah arasy semasa menunggu hari pembalasan, salah satu golongan tersebut ialah mereka yang hatinya bertaut kepada masjid.


 Tujuh Golongan Yang Bakal Mendapat Naungan Di Hari Akhirat

Rasulullah (SAW) bersabda yang bermaksud: "Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah (SWT) dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, "Aku takut kepada Allah", seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya."

(Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

No comments:

Post a Comment