Friday, July 13, 2012

Belajar Hingga Ke Peringkat Doktor Falsafah

Apabila seseorang menyambung pelajarannya hingga ke peringkat tertinggi iaitu peringkat Ijazah Doktor Falsafah, kita merasakan dia hebat. Kita kagum dan hormat kepadanya. Apa taknya? Dia membuat PhD! Bukan senang hendak membuat PhD ni dan seterusnya berjaya...

Kenapa dia menyambung pengajian sehingga ke tahap itu?

Banyak sebab kalau kita ingin menghuraikannya...


Antara sebab-sebabnya ialah;

i) Ingin menghalusi lagi (specialized) ilmu yang dipelajari.
ii) Ingin dipanggil Doktor (Dr).
iii) Terpaksa kerana arahan pihak atasan.
iv) Ingin memberi semangat kepada anak-anak.
v) Ingin ke luar negara.
vi) Ingin mendapat kemuliaan di mata masyarakat.
vii) Ingin mendapat perhatian umum apabila mengeluarkan pandangan.
viii) Sebagai modal untuk berdakwah.
ix) Untuk mendapat jawatan yang lebih tinggi.


Sungguh banyak sekali sebab-sebab yang boleh disenaraikan. Sebab-sebab ini pula kadang-kadang saling kait mengait di antara satu sama lain.

Apapun tujuan kita untuk mendapatkan PhD, saya rasa kita sepatutnya bersyukur kepada Allah SWT dengan anugerah ilmu yang dikurniakanNya. Kalau hendak dinilai ilmu yang kita ada, rasanya masih jauh dengan ilmu yang Allah sediakan. Cuba kita hayati kisah Nabi Musa bersama Khaidir di dalam surah al-Kahfi. Banyak iktibar dan ibrah yang boleh diambil dari cerita tersebut.


Sesetengah dari kita merasakan bahawa jika kita ada 'title' Dr, apabila kita bercakap dan berdakwah, masyarakat akan lebih memberi perhatian. Justeru itu, senang untuk kita berdakwah, memberi penerangan tentang Islam dan sebagainya.

Itu tanggapan kita dan tak semestinya benar. Kita dapati ramai juga mereka yang tidak ber'title' Dr tetapi boleh menyelinap masuk ke dalam masyarakat dan berceramah tentang Islam.


Kita merasakan bahawa kita bukannya mempunyai 'background' pendidikan Islam maka dengan adanya Dr, masyarakat akan lebih memberi perhatian.

Walau apapun sebab-sebab yang kita tergila-gila sangat untuk mendapatkan PhD, kita seharusnya menjadi seorang yang berjiwa lapang dan tawadhuk. Kita perlu ikut kata pepatah melayu, "Semakin berisi, semakin tunduk".

Janganlah dengan adanya PhD sebagai milik kita, kita mula memandang rendah terhadap pandangan orang lain. Jauh sekali memandang rendah kepada orang lain.


Kita mesti ingat dan sentiasa ingat tentang matlamat kewujudan kita di dunia yang fana ini iaitu menjadi hamba kepada Rabbul Jalil!

Kita juga insaf bahawa Allah meninggikan darjat orang yang berilmu beberapa darjat.

Saya perhatikan beberapa kawan saya yang memiliki PhD, malah ada yang bertaraf profesor tetapi apabila ia 'pergi', ia 'pergi' tanpa membawa apa-apa 'title'. Berbeza dengan Prof Hamka, Prof Ahmad Ibrahim dan lain-lain, nama mereka masih diabadikan sesuai dengan pengorbanan dan jasa mereka kepada Islam.


Jikalau saya perlu memberi sebab kenapa saya begitu bertungkus lumus untuk mendapatkan PhD, saya lebih rela menyatakan bahawa saya ingin menyumbang dengan lebih berkesan terhadap Islam. Saya ingin memanfaatkan ilmu yang ada demi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap Islam, agama yang kita dokongi dan kita sayangi, insyaAllah!


No comments:

Post a Comment