Monday, July 2, 2012

Harapan Seorang Pensyarah...

Seorang murabbi atau guru sentiasa mengharapkan anak didiknya memahami apa yang diajar. Kalau boleh hendak diulangnya berkali-kali supaya semua murid dapat memahaminya. Kadang-kadang banyak masa yang diambil untuk menerangkan sesuatu yang gurunya atau pensyarahnya merasakan begitu penting.

Pada guru, biar masanya dihabiskan tetapi matlamat proses pengajaran dan pembelajaran itu tercapai. Inilah semangat jitu seorang guru. Beriltizam bersungguh-sungguh dan sentiasa istiqamah mencerna fikrah yang diimpikan kepada setiap orang muridnya.

Muridnya pula bagaimana? Mungkin ada segolongan ikhlas ingin menerima segala curahan ilmu dari murabbinya. Mungkin juga segolongan merasakan seperti terpaksa untuk menerima dan tidak bersungguh-sungguh menelaah apa yang diajar. Mungkin juga ada segelintar yang langsung tidak ambil kisah dengan apa yang ingin disampaikan oleh gurunya.

Pun begitu gelagat pelajar-pelajarnya, seorang pensyarah tetap tsabat dengan apa yang dilakukannya. Pada pandangan pensyarah tersebut, mungkin hari ini pelajar tersebut tidak dapat memahami dan tidak dapat 'relate' apa yang diajar dengan kehidupannya seharian. Tetapi mungkin suatu hari nanti, apabila pelajar-pelajarnya sudah bekerja dan berumah tangga maka ilmu yang dulunya diajar dapat diaplikasikan oleh mereka.

Ilmu yang diajar oleh guru juga berbeza. Ada yang berbentuk formal dan diajar di dalam bilik kuliah. Ada juga yang diajar secara informal iaitu di luar bilik darjah.


Janganlah kita menganggap bahawa ilmu itu hanya diajar di dalam kelas. Banyak ilmu yang boleh kita garap melalui pengajaran dan pembelajaran secara tidak formal. Ilmu itu ada dimana-mana...

Proses pengajaran dan pembelajaran berlaku bukan sahaja dari guru kepada murid tetapi juga dari murid kepada guru. Dalam hal ini, seorang guru seharusnya berlapang dada untuk menerima ilmu dari muridnya.
Jangan sekali-kali para murabbi merasakan bahawa hanya dia berhak menyampaikan ilmu dan bukan sebaliknya.

Ilmu juga boleh didapati dari pembacaan secara persendirian. Ilmu juga diperolehi apabila kita menziarahi tempat orang. Dengan kata lain, ilmu yang diperolehi melalui pemerhatian dan penghayatan kita tentang kehidupan masyarakat lain adalah ilmu yang tidak formal. Kadang-kadang ilmu yang tidak formal ini lebih terkesan kepada jiwa kita berbanding ilmu yang disampaikan secara formal.

Pada Tok Wae, kita seharusnya menerima ilmu yang dipelajari baik secara formal mahupun tidak formal. Apa yang penting ialah ilmu itu tidak lari dari norma-norma kehidupan manusia yang sejahtera dan beriman kepada Maha Pencipta.

Jika ilmu itu bertentangan dengan pegangan ubudiah dan tauhid kita maka kita seharusnya meninggalkan ilmu yang terpesong itu. Banyak kita dengar kebelakangan ini, ajaran-ajaran yang sesat dan terpesong.

Ada ilmu yang kita dengar bahawa kita tidak perlu solat dan hanya memadai dengan solat beberapa kali sahaja. Mereka yang terikut dengan perkara ini tidak terhad kepada masyarakat bawahan tetapi ada juga dari kalangan mereka yang berpendidikan tinggi.

Pada setiap hari raya, Tok Wae nampak banyak sekali kereta yang besar-besar datang berkumpul di rumah 'Hassan Anak Rimau' di Bukit Mas, Tanah Merah, Kelantan.

Dimana silapnya?

Silapnya ialah mereka yang berpangkat tinggi ini jiwanya kosong dan tidak mendapat pendidikan asas agama. Mereka suka perkara-perkara yang mudah dalam beragama dan terikut-ikut dengan trend kehidupan 'work smart' dan bukannya 'work hard'.

Dalam agama Islam, pada Tok Wae kita perlu 'work hard' dan disusuli dengan 'work smart'.

Rasulullah dan para sahabat 'worked hard'. Rasulullah sendiri solat malam sehingga bengkak kakinya walaupun telah dijamin syurga. Para sahabat pula bertungkus lumus menyebarkan dakwah dan ada yang syahid kerananya. Tiada yang tidak berkorban harta dan nyawa kerana Islam.

Amat daif dan naiflah kita sekiranya kita mengatakan bahawa kita tidak perlu bersusah-susah, tidak perlu berkorban harta dan nyawa, tidak perlu meningkatkan amal fardi dan jamaie dalam usaha mencari redha Allah. Sesungguhnya syurga Allah amat mahal harganya!

No comments:

Post a Comment