Wednesday, July 11, 2012

Membuat Passport Di Pekan Rabu Tidak Sesusah Dulu

Passport merupakan satu perkara penting untuk kita ke luar negara.

Dulu pernah saya coretkan tentang betapa susahnya hendak membuat passport untuk anak. Terpaksa bertolak dari rumah sebelum Subuh untuk ke Pekan Rabu, Tampoi yang hanya memakan masa 10 hingga 15 minit. Ada yang sanggup beratur dari pukul 3 pagi, hanya untuk mendapat nombor.


Pagi tadi, saya keluar rumah pukul 7.05am. Sampai di Pejabat Imigresen Pekan Rabu dalam pukul 7.16am. Ambil borang dan perlu diisikan dulu sebelum beratur mengambil nombor. Apabila siap mengisi borang dan mengambil gambar passport segera di sana dengan harga RM12 untuk 4 keping, saya beratur untuk mengambil nombor.

Nombor yang saya dapat ialah 87. Pegawai yang bertugas menyarankan supaya saya bersarapan dulu kerana nombor yang dipanggil baru dua puluh lebih.


Sayapun ke kedai makan di aras yang sama dengan tempat mengambil nombor iaitu Aras 1. Makan mee kari dan teh tarik dengan harga RM5.40.

Selesai makan, saya masuk ke Kedai Runcit 1 Malaysia buat pertama kali di hadapan kedai makan tadi. Alhamdulillah, nampak barang-barangnyapun ok dengan harga yang berpatutan. Saya membeli 3 pek kurma dengan harga RM9.90 setiap satu. Peknya pek 1 Malaysia tetapi kurma bertangkai dari Tunisia.


Kebanyakan barangan yang dijual berjenama 1 Malaysia. Di Johor ni, katanya bilangan Kedai Rakyat 1 Malaysia akan menjadi 6 termasuk yang akan dibuka di Muar (kalau tak silap saya) pada minggu depan. Yang dah ada termasuk di Pontian dan sebagainya.

Selesai membeli di Kedai Rakyat 1 Malaysia, saya bergerak ke aras 3 untuk menunggu giliran.

Nombor saya dipanggil untuk hadir ke kaunter 7. Saya menyampaikan salam kerana melihat pegawai yang bertugas bertudung. Setelah menyerahkan dokumen, pegawai tadi bertanya saya, "Encik berasal dari Kelantan kat mana?", dalam pelat Siam.


"Kg. Palekbang, awak asal Kelate jugok ke?", tanya saya.

"Ya, dari Chabang Empat!", balasnya.

"Ooh, Chabang Empat Tok Mek Ngah", sampuk saya.

"Ya, ya...", balas pegawai tadi.

Saya menyatakan bahawa saya pernah bersekolah di Sekolah Menengah Tumpat dulu. Diapun bersekolah di sekolah yang sama.


"Tapi... tak sempat jumpa", balas pegawai tadi dengan nada dan reaksi yang menunjukkan bahawa perbezaan umur kami yang agak jauh.

"Tak mintak tukar balik Kelate ke?", tanya saya.

"Baru 6 tahun di sini... biar naik pangkat dulu. Kalau balik awal sangat nanti kena tukar ke luar pula", balasnya pula.

"Encik dah lama sini? Dah beli rumah? Kerja kat mana?", tanyanya bertalu-talu.


"Dah...dan saya bekerja di UTM", sambung saya lagi.

Selesai di kaunter 7, saya menunggu giliran lagi untuk membayar RM300 di kaunter 3.

Semua proses selesai lebih kurang jam 9.30am dan saya diminta untuk datang mengambil passport pada pukul 11.30am.

Itulah pengalaman baru membuat passport berbanding 2 atau 3 tahun yang lepas. Katanya jika saya ke Pejabat Imigresen Kulai, masa yang diambil untuk membuat passport adalah lebih cepat. Tetapi saya tidak pasti dimana pejabatnya...


Passport untuk ke luar negera nampaknya semakin lama semakin menepati kehendak pelanggan. Apa tidaknya, cuba bayangkan berapa ratus ribu sehari pendapatan Pejabat Imigresen ini...

Itulah passport untuk ke luar negara...

Bagaimana pula dengan passport untuk ke luar dunia ya? Bagaimana persiapan kita ya? Sudahkah kita kumpul amal sepertimana kita kumpul duit untuk ke luar negara? Amat malanglah kita jika kita ke luar dunia tanpa bekalan amal. Di sana tiada siapa yang dapat tolong kita lagi... tidak isteri... tidak juga anak menantu. Masing-masing hanya membawa bekalan masing-masing dan sibuk dengan diri masing-masing!

Ayuh, di bulan Ramadhan yang bakal menjelma kita lipat gandakan amal kita, insyaAllah!

No comments:

Post a Comment