Sunday, July 8, 2012

Rehlah Hari Keluarga SRIH 2012

Rehlah Hari Keluarga Sekolah Rendah Islam Hidayah 2012 telah berlangsung pada 7 dan 8 Julai 2012, di Kawasan Air Terjun Kota Tinggi.

Ramai guru-guru, staf bukan akademik, dan keluarga masing-masing hadir bagi menjayakan program ini. Program ini merupakan program Hari Keluarga pertama dibawah pentadbiran Guru Besar baru SRIH, Pn Rohaida Ridzwan.


Semua keluarga yang hadir menginap di bilik penginapan atau chalet.

Program seumpama ini adalah penting bagi merapatkan ukhuwwah sesama staf SRIH dan keluarga mereka. Banyak acara yang telah dijalankan. Antaranya, 'Anak Siapakah Ini?', sukaneka, ceramah keluarga bahagia, solat berjamaah, qiamul-lail, bacaan al-ma'thurat, tadzkirah pendek, ceramah sejarah penubuhan SRIH, dan cabutan bertuah.


Hari Keluarga SRIH agak lain dari yang lain kerana pihak sekolah telah merencana sedemikian rupa supaya semua yang hadir bukan sahaja mengenal ahli keluarga yang lain tetapi kita juga diisi dengan santapan rohani disamping santapan jasmani.


Slot penceritaan tentang sejarah SRIH amat bermakna kepada guru-guru baru. Mereka dapat melihat bagaimana perkembangan pembangunan SRIH sejak 1989 sehingga sekarang. Bermula dengan 12 orang pelajar pada tahun 1989 di sebuah rumah di Taman Sri Putri sehinggalah 1,049 murid pada tahun 2012 di bangunan tersergam indah sekarang ini.


Mereka juga dapat melihat sumbangan semua yang terlibat dalam pembangunan sekolah, baik pihak Lembaga Sekolah, guru-guru, dan ibubapa. Sumbangan ibubapa dan guru-guru begitu bermakna jika kita ingin melihat sesebuah sekolah itu berjaya. Apatah lagi kepada sekolah swasta seperti SRIH ini... Sumbangan yang diberikan tidak ternilai harganya, baik sumbangan idea, tenaga, mahupun wang ringgit.



Sesiapa yang ingin menderma dan meyumbang kepada Dana Hidayah, bolehlah melawat web site hidayah; http://www.hidayah.edu.my.


Disamping sumbangan wang ringgit dari ibubapa dan individu budiman, jasa mereka yang menguruskan pembangunan Hidayah juga cukup besar. Tuan Haji Ahmadon Bakri sanggup berkorban siang malam dalam menyelia setiap pembangunan yang dijalankan.

Mereka yang pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola Hidayah pula terdiri dari nama-nama berikut; Dato’ Dr. Musa Mohd Nordin, Prof Dr Azlan Abdul Rahman, Prof Dr Mohd Azraai Kassim, Prof Dr Awaluddin bin Mohamed Shaharoun, Prof Dr Badri Abu Bakar, Prof Madya Dr Ali Abdul Rahman, Prof Dr Omar Yaakob, Prof Dr Noor Azlan Zanzali, dan Prof Madya Dr Md Nor Bakar (sekarang).


Rehlah yang pendek tetapi padat ini amat bermakna kepada semua yang hadir. Sedikit sebanyak mereka dapat berkenalan dengan ahli keluarga staf yang lain. Kepada guru-guru dan staf, mungkin mereka akan merasakan bahawa sedikit pengorbanan dan amal bakti yang dicurahkan kepada SRIH dihargai!

Walaupun kita ketahui bahawa pengorbanan mereka jauh lebih besar dan tiada upaya untuk membayar dengan wang ringgit tetapi guru-guru dan staf mengharapkan hanya kepada redha dan pampasan Allah di kemudian hari.


Kita sebagai ibubapa sewajarnya memainkan peranan yang lebih besar dalam membantu mereka mendidik anak-anak kita menjadi insan yang musleh. Setidak-tidaknya, kita tidak berlengah membayar yuran sekolah! Dengan duit yuran inilah, sebahagian besarnya (90%) adalah diperuntukkan untuk gaji guru-guru dan staf.


Semoga anak-anak dari Hidayah ini pada suatu hari nanti bakal menerajui negara, insyaAllah!

No comments:

Post a Comment