Aku mencintaimu ya Ramadhan! Aku merinduimu melebihi aku merindui Syawal dan Zulhijjah. Engkau begitu pemurah... Engkau begitu kudus... Engkau begitu baik... Engkaulah segala-galanya!
Tahun ini hampir 48 kali aku menemuimu. Aku kurang pasti sejak bila aku menyayangimu. Yang pasti kesayanganku padamu, semakin tahun semakin mantap dan bukan sebaliknya...
Dulu sewaktu ku kecil, perkara utama di bulan Ramadhan ialah makanannya. Aku seronok sewaktu berbuka... dihidangi dengan berbagai juadah, lauk pauknya mahupun kuih muihnya. Ikan atau ayam percik menjadi salah satu hidangan istimewa. Kuihnya pula terdiri dari akok, jala mas, 'netbak', dan lain-lain lagi. Air minuman pula yang terhangat sewaktu dulu ialah air nira atau kita panggil 'air tuak', disamping air tebu dan sirap bandung!
Kemudian yang aku juga ternanti-nanti ialah hidangan selepas tarawih atau mereka panggil 'moreh'. Setiap malam, menu 'moreh' bertukar mengikut kemampuan penaja. Sesiapa saja boleh menaja moreh... menunya semudah atau seringkas cendol atau bubur kacang sehinggalah kepada yang agak rumit seperti pulut durian, rojak, mee sup dan sebagainya.
Peringatan tentang pahala puasa, pahala memberi makan orang berpuasa atau gandaan amal yang dilimpahi Allah SWT tidak menjadi agenda utama atau kurang berkesan pada waktu itu.
Puas imam atau ustaz berceramah tentang malam lailatul qadr, malam yang lebih baik dari seribu bulan. Cuba bayangkan gandaan pahala kita sekiranya kita melakukan amal di malam tersebut.
Hadis juga meriwayatkan bahawa pahala orang yang mengerjakan amalan sunat diganjarinya pahala amalan wajib, dan mereka yang mengerjakan amalan wajib maka digandakannya sebanyak 70 kali ganda.
Ini semua benda yang tak nampak tengok! Pahala-pahala ini semua benda yang akan datang! Kita mau sekarang!
Berbanding dengan sepaha ayam golek terhidang dengan aromanya menusuk hidung. Segelas air cincau sejuk yang dicampur sirap bandung begitu deras menuruni anak tekak.
Apa nak lagi?
Sewaktu dulu juga di kampung, kadang-kadang saudara mara atau jiran akan menghulurkan sepiring kuih sebelum waktu berbuka. Kita akan membalas piringnya tadi dengan kuih yang kita buat pula.
Kuih yang pada mulanya hanya sejenis, sekarang sudah menjadi beberapa jenis, hasil dari kemurahan hati dan keberkatan sesama jiran tetangga.
Di masa lampau juga, kita kurang berminat untuk solat tarawih. Kita tidak kisah imam sudah mengangkat takbiratul ihram..."Allahu Akbar!"
Masa yang ditunggu-tunggu oleh kita ialah masa imam ingin rukuk. Di kala ini, barulah kita bergegas untuk takbiratul ihram dan rukuk bersama-sama imam.
Nampak macam kita 'work smart' aje, walaupun tak sempat membaca surah al-Fatihah semasa berdiri (qiam) tadi tetapi kita mendapat ganjaran yang sepertimana mereka yang lain. Maksudnya kita mendapat dua rakaat penuh!
Apabila kita menunaikan solat di mana-mana masjid, kita dapati ada sesetengah orang yang lewat, mereka menunggu sehingga imam tersebut bangkit berdiri, 'then', baru dia 'joined the prayer'. Apa salahnya kita ikut semasa imam 'itidal atau sedang sujud? Pahala orang yang 'masuk' awal ke dalam saf berjamaah tak sama dengan mereka yang masuk kemudian. Lagi awal lagi bagus!
Buat apa nak 'masuk' semasa sujud, rakaat itu bukannya dikirapun... Kita begitu berkira-kira dengan Allah...
Tetapi sekarang, aku begitu merinduimu! Kedatanganmu ku nantikan dan pemergianmu ku tangisi...
Amalanku di bulan Ramadhan semakin baik walaupun tak seelok para sahabat dan anbia'.
Solat tarawih, solat malam, sedekah, qiamul-lail, zikir, tilawah dan tadabbur al-Quran aku lakukan walaupun tidak sekerap yang aku harapkan.
Agenda makan sudah tidak menjadi agenda utama lagi. Apa yang penting ialah ada buah kurma, satu lauk, sayur, buah, nasi dan air. Untuk bersahur, jarang sekali aku menjamah nasi. Hanya sekadar sekeping dua roti, air panas, dan secawan air masak.
Itulah putaran kehidupan. Pandangan kita terhadap sesuatu berubah. Ia berubah sesuai dengan usia yang Allah bekalkan kepada kita.
"Ya Rabb, berkatilah Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah daku ke bulan Ramadhan" Amin!!!
No comments:
Post a Comment