Friday, June 19, 2009

Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES IPTA ke -28


Pada 20 Jun 2009 bersamaan 26 Jamadilakhir 1430H, akan berlangsung Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES IPTA ke-28 di UTM. Upacara ini telah berlangsung selama 28 tahun, yang mana kadet IPTA dilatih selama 3 tahun bagi melayakkan mereka untuk dianugerahkan watikah oleh Seri Paduka Baginda (SBP) Yang DiPertuan Agong sebagai Leftenan Muda dalam kor Rejimen Askar Wataniah.

Kadet-kadet PALAPES dilatih sebagai aktiviti ko-kurikulum mereka pada hari Sabtu dan sebahagian dari cuti semester mereka. Tujuan latihan adalah untuk mendedahkan mereka dengan alam ketenteraan, disamping menjadikan mereka sebagai anggota tentera terlatih yang bersedia untuk digerakkan ke medan peperangan apabila negara memerlukan.

Bagi upacara pada tahun ini, SPB Yang DiPertuan Agong telah mewakilkan kepada Sultan Johor dan kemudiannya mewakilkan kepada YTM Tengku Mahkota Johor. Pada tahun lepas, UKM telah menjadi tuan rumah dan Almarhum Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan telah berangkat mencemar duli menyampaikan watikah.

Persiapan padang kawad dan Dewan Sultan Iskandar (DSI) bagi penyampaian watikah begitu teliti. Padang kawad perlu dihiasi sebaik mungkin bagi upacara perbarisan oleh kadet. Upacara besok dijangka bermula seawal jam 6.30 pagi. Setelah selesai di padang kawad sekitar jam 9.30 pagi, mereka akan bergegas ke DSI untuk menerima watikah. Seramai 1,198 pegawai kadet akan ditauliahkan pada tahun ini.

Upacara penyampaian watikah dijangka berakhir pada waktu tengahari. Seterusnya, mereka akan bergambar secara berkumpulan mengikut IPTA masing-masing di dalam DSI.

Suasana gembira dan meriah akan mereka rasai kerana ibubapa dan adik beradik mereka juga ada bersama. Ibubapa dijangka akan sampai pada malam ini dan mereka menginap di kolej kediaman bersama-sama anak mereka.

Apa yang diharapkan oleh pihak penganjur adalah supaya perjalanan istiadat berjalan lancar dan cacat cela dapat diminimakan.

Selesai saja program besok, pegawai kadet yang baru ditauliahkan ini akan membuat persiapan untuk upacara makan beradat (mess night) yang akan berlangsung di PERSADA pada 24 Jun. Mereka yang baru bergelar pegawai muda ini akan merasai buat pertama kali majlis makan malam secara rejimental bersama YTM TMJ.

Selesai program ini, episod baru iaitu untuk merekrut bakal-bakal pegawai kadet peringkat junior akan bermula. Kebiasaannya, pelajar-pelajar baru yang mendaftar pada bulan Julai ini akan diambil untuk mengisi kuota kadet junior. Selalunya kita ambil 150 kadet tetapi apabila tamat 3 tahun, yang masih kekal bersama hanya separuh darinya.

Saya doakan upacara istiadat pentauliahan esok berjalan lancar!

No comments:

Post a Comment