Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Saturday, June 13, 2009
Membuat 'Clue' Untuk 'Treasure Hunt'
7.30 pagi semalam, kami bertolak ke Kahang dari Sekolah Rendah Islam Hidayah (SRIH). Tujuannya ialah untuk merekabentuk soalan bagi tujuan 'treasure hunt'. Di pertengahan jalan, kami berhenti di Bandar Tenggara untuk sarapan pagi. Aku, Dr Mat Hussin dan Ramlee menjamah roti canai. Hj Hatta tidak mahu makan dan berkunjung ke tandas awam di kawasan Taman Selera ini.
"Tandas kami sentiasa bersih", begitulah slogan yang terpampang di luar bangunan tandas. Manakala di dalam tandas, perkara lain, dan tidak semestinya menepati apa yang ditulis.
Hakikatnya begitulah... Kita kurang peduli atau endah kepada harta awam. Kalau kita gunapun, kita lebih merasakan itu hak kita. Tiada secebis perasaan untuk menjaga dan 'maintain' kemudahan yang disediakan ini.
Seperti aku sebut dulu, kalau kita menggunakan tandas awam, tentukan najis kita dibersihkan. Tiada manusia lain yang ingin membersihkan peninggalan najis kita. Kalau kita jijik melihat najis orang, orang lainpun jijik melihat najis kita.
Tak pasti pula aku, adakah kita yang beragama Islam yang menekankan kebersihan lebih pengotor dari mereka yang 'tak cebuk'? Inilah orang selalu sebut, Islam itu cantik tetapi pengamal ajaran itu yang kurang cantik atau kurang baik...
Mentaliti kita kurang prihatin terhadap penjagaan kemudahan awam. Benar, mungkin kemudahan itu, kita tidak perlu tetapi ada sekelompok manusia yang memerlukannya. Kita menjaga sesuatu jika ia hak kita tetapi kita mengambil sikap acuh tak acuh atau sambil lewa jika ia adalah harta awam.
Aku rasa sepatutnya kita bersikap sebaliknya. Kita prihatin terhadap harta awam kerana ia adalah milik kita bersama. Kerosakannya bermaksud kerugian duit kita juga kerana kita juga adalah pembayar cukai. Jika ia rosak disebabkan oleh keganasan kita, mampukah kita untuk memohon kemaafan dari seluruh warga Malaysia?
Banyak kemudahan awam yang menelan jutaan ringgit disediakan oleh pihak kerajaan tetapi ia tidak dapat bertahan lama. Kita lihat betapa banyak tapak permainan kanak-kanak di sekitar taman kita. Berapa lama dia dapat bertahan? Jongkang jongkit hilang tempat pemegangnya... Buai tercabut sebelah skrunya... Telefon awam, berapa banyak gagang dibawa balik ke rumah dan hanya tinggal tempat dail aje?
Kita perlu berubah! Masyarakat kita ingin dikatakan maju. Kemudahan yang dibina kadang-kadang setaraf atau setanding negara maju. Cuma mentaliti kita belum maju... Kita masih jauh untuk bergelar masyarakat maju...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment