Tuesday, June 30, 2009

Biasanya Pelari Pecut DiKala Menuju Garisan Penamat


Apabila menonton pertandingan larian; baik 10,000m, 5,000m, 1,500m, malah 200m dan 100m pun, pelumba lari akan memecut sepenuh tenaga apabila mereka menuju ke garisan penamat.

Tidak pernah kita lihat, mereka bersahaja atau melengahkan larian apabila garisan penamat semakin hampir. Keinginan untuk menang mendorong pelumba berlari lebih pantas menuju ke garisan penamat...

Kita mungkin berlari jauh dan kadang-kadang terasa penat dan ingin berehat di tengah jalan. Arnab yang berlari laju pada awalnya kemudian berehat seketika sebelum kembali memecut...

Kadang-kadang banyak halangan yang muncul dikala berlari... Duri di tengah jalan, pokok besar melintang di perjalanan, bunga-bunga yang kembang dan semerbak mewangi menarik perhatian di kiri kanan jalan. Tak kurang juga betis dan paha terasa semakin kenyal, dan lutut semakin longgar. Tapi yang pasti kita perlu berlari dan terus berlari...

Semakin kita tua, sepatutnya semakin banyak kita beramal. Wang dan harta seharusnya lebih mudah kita belanja ke jalan Allah. Apakan tidak, kita sudah semakin stabil dan selesa dari segi kehidupan duniawi... Tidak salah kita mengumpul harta tetapi keluarkan hak-hak mereka jua dalam bentuk zakat dan sedekah.

"...Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menginfakkannya di jalan Allah, maka berikanlah khabar gembira kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) azab yang pedih. (Ingatlah) pada hari ketika emas dan perak dipanaskan dalam neraka Jahanam, lalu dengan itu diseterika dahi, lambung, dan punggung mereka (seraya dikatakan) kepada mereka, "Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah (akibat dari) apa yang kamu simpan itu." (At-Taubah; 34-35).

Ilmu agama juga semakin bertambah. Praktikkanlah! Ilmu bukan sekadar untuk dibaca dan dipelajari tetapi untuk diamalkan! Amal tanpa ilmu adalah sesat dan ilmu tanpa amal adalah sia-sia...

Ayuh, jangan tunggu lagi! Esok belum tentu masih ada bagi kita...

No comments:

Post a Comment