Sunday, June 21, 2009

Selamat Hari Bapa....


"Selamat Hari Bapa En. Wan", aku dapat pesanan ringkas dari Epul semalam. Epul baru saja melangsungkan perkahwinannya di Kota Bharu pada cuti sekolah baru-baru ni. Sibuk dengan pentauliahan PALAPES, aku hanya bercuti di Skudai dan tidak sempat menghadiri walimah Epul.

Epul sangat rapat dengan ku. Akulah yang menjadi penjamin baginya semasa beliau mengikuti kursus KPLI. Sekarang, kalau tak silap aku, beliau bertugas di Sabah.

Pagi tadi, semasa di Pasar Tani Taman Sri Pulai, Sakinah dan Rasyid, anak-anakku mengucapkan perkara yang sama. Akupun tak pasti, adakah hari ini disambut Hari Bapa...

Kalau betul hari ini Hari Bapa, aku agak hanya segelintir manusia yang perasan. Yang lain, samaada tak perasan atau tak berapa kisah...

Memang, kalau nak dibandingkan dengan ibu, jasa ayah kurang terserlah! Apatah lagi kalau ayah hanya tahu memarahi anak-anaknya saja, minta disediakan makan minumnya dan tidak mempedulikan rumahtangga.

Pun begitu, aku pernah menasihati bekas pelajarku yang amat membenci ayahnya. "Ayah mungkin melakukan kesilapan malah mungkin tidak berlaku adil tetapi untuk kita terus membencinya buat selama-lamanya adalah tidak wajar", jelasku. "Tanpa ayah, kita tak mungkin wujud", tambahku lagi.

Martabat ibu di sisi Islam sungguh tinggi nilainya, tiada tolak bandingnya! Cuma, melupai langsung pengorbanan ayah adalah agak kurang manis...

Selamat Hari Bapa....

No comments:

Post a Comment