Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Wednesday, June 3, 2009
Rehlah Keluarga
Selepas mengambil 'Ammar di SRIH jam 9.30 malam tadi, aku sekeluarga terus memecut ke Sedili Damai Resort. 'Ammar baru pulang dari lawatan 3 hari ke Kuala Lumpur, anjuran SRIH. Aku sepatutnya bersama kawan-kawan setaman (Taman Pulai Utama) mengadakan rehlah keluarga bermula jam 2 petang semalam.
Apabila sampai di Ulu Tiram, PM Dr Mat Hussin menelefon, bertanyakan sudah sampai dimana? Aku mengatakan mungkin akan sampai hampir jam 12 tengah malam. Alhamdulillah kerana trafik tidak banyak, aku sampai di resort pukul 11 malam. Dan kelihatan Dr Mat Hussin membuka pintu pagar kawasan resort untuk aku membawa van masuk ke dalam.
PM Dr Tholuddin mengeluarkan nasi arab kambingnya yang masih panas. Sungguhpun jam 11.30 malam, aku, isteri, dan anak-anak berselera sekali menikmati nasi arab bersama BBQ ayam, ikan, sotong dan udang sebagai lauk. Air asampun ada... Sepatutnya, program BBQ pukul 8 tadi. Kebetulan kakak dan anak saudaraku juga turut sama dalam rehlah ini. Merekapun turut menikmati hidangan istimewa ini.
Kakakku Wan Azizah adalah nombor 3, manakala aku adalah nombor 6 dari 7 orang adik beradik, seibu sebapa. Anaknya, Nurul Amin sedang menuntut di UIAM dalam bidang undang-undang.
Sebenarnya, setiap keluarga telah ditempah sebuah chalet. Aku dan isteri bersama 8 orang anak, dicampur kakak dan anak saudara pula, sudah pasti tidak muat untuk sebuah chalet. Aku sudahpun pinjam 2 khemah dari Kolej 16 & 17. Dan Dr Mat Hussin dengan bermurah hati memasang khemahnya juga untuk aku.
Aku bersama Rasyid tidur dalam khemah Dr Mat Hussin. Manakala 2 khemah lagi untuk anak-anak lelakiku yang lain bersama anak saudaraku. Keadaan dalam khemah agak hangat berbanding chalet yang dingin dengan 'air-con'. Puas aku berpusing ke depan ke belakang kerana tidak dapat melelapkan mata. Rasyidpun sama kerana kepanasan.
Nyamok juga agak banyak. Kedengaran anak-anakku yang lain bermain bola pukul 1 pagi tapi aku buat tak kisah aje kerana bukan selalu mereka mendapat peluang bermain begini. Asalkan jangan mengganggu orang lain sudahlah. Suara Abang, Acik, 'Ammar, dan Syakir jelas kedengaran, namun makin lain makin jauh dan akhirnya sunyi...
Pagi tadi, kami solat Subuh bersama-sama. PM Dr Razali bersama keluarga terpaksa pulang selepas Subuh kerana ada tugas yang perlu diuruskan.
Sementara menunggu 'breakfast' yang disediakan oleh pihak ibu-ibu, Dr Hishamuddin sempat melayan anak-anak bermain bola baling dalam kolam yang sedalam 2 kaki. Sungguhpun begitu, aku lihat anak-anak sunguh seronok.
'Breakfast' sungguh menyelerakan, nasi arab malam tadi bersama BBQ ayam dan sotong yang digoreng semula bersama 'scramble egg'... Ada pula sardin dan tuna 'sandwiches'. Waduh... enak bangat...
Lepas makan, PM Dr Mohamad Wijaya, Hj Ahmadon dan PM Dr Tholudin memancing di jeti. Aku cuma memerhati. Tiada hasil tangkapan kecuali beberapa ikan todak yang berjaya disauk oleh Salman Hishamuddin.
Tanggal hampir jam 12 tengahari, aku beransur pulang. Semua keluarga lain sudah pulang kecuali Hj Ahmadon sekeluarga mungkin menunggu hingga jam 2 petang, 'check-out time'.
Rehlah keluarga ini sungguh menyeronokkan, mencapai objektif untuk merapatkan ukhuwwah antara keluarga dan perlu diadakan lebih kerap, setidak-tidaknya setahun sekali...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment