Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Saturday, May 30, 2009
Jangan Tunggu Bila Sudah Habis Kuasa....
Saya teringat kata-kata mantan Naib Canselor, "Jangan tunggu bila kita sudah tiada kuasa (tiada jawatan), baru terfikir nak buat itu dan ini". Kata-kata beliau itu ditujukan kepada pengetua-pengetua kolej kediaman UTM semasa bermesyuarat di biliknya.
Ayat itu begitu 'simple but it is very meaningful'. Saya sebagai mantan pengetua merasakan bahawa saya telah merancang dan melaksanakan segala kerja yang terbaik, baik pembangunan infrastruktur mahupun pembangunan insan kepada bekas-bekas penghuni kolej. Saya puas dan merasakan tanggungjawab terlaksana...
Dalam kehidupan, kita seharusnya mempunyai satu visi dan misi yang perlu dilakukan bagi memakmurkan dunia. Menjadikan masyarakat lebih bertamaddun, berakhlak mulia dan berhemah tinggi. Setidak-tidaknya, ada sumbangan kerdil yang dilakukan bagi memupuk masyarakat madani.
Kita tidak mahu menjadi seperti binatang, yang hanya tahu memenuhi kehendak nafsu semata-mata; makan, tidur dan beranak pinak. Pun begitu sesetengah binatang, ada juga sumbangan mereka kepada manusia! Setidak-tidaknya, mereka menyumbang susu dan daging buat santapan kita.
Apa sumbangan kita kepada masyarakat? Melihat kebejatan sosial melanda, mampukah kita hanya berdiam diri? Pernah saya katakan dulu, "Oh, itu anak orang, anak kita ok! Tapi apa perasaan kita apabila ia berlaku kepada keluarga kita?" Menangis keluar darahpun sudah tidak berguna!
Saya rasa kita perlu melakukan sesuatu mengikut peringkat bidang kuasa kita. Kalau kita sebagai pensyarah, ada kita selitkan kata-kata moral yang mendidik pelajar. Kalau kita pengurus, kita berikan contoh tauladan yang baik kepada anak buah kita. Hatta kalau kita pemungut sampahpun, kita membersihkan sebaik-baiknya supaya persekitaran bersih dan masyarakat hidup sihat tanpa penyakit.
Begitu juga dalam keluarga. Kita tidak hendak, apabila kita tiada nanti, anak-anak tidak nampak apa perkara baik yang pernah kita lakukan kepada mereka. Adakah kita sekadar menjadi bapa kerana anak itu di'bin' atau di'binti'kan kepada nama kita?
Kita tidak hanya memenuhi kehendak fizikal anak-anak; makan, pakai, dan sebagainya. Tetapi yang lebih besar dan lebih penting ialah keperluan rohani. Tunjuk ajar dari aspek akidah, halal, haram sangat-sangat diperlukan dewasa ini. Berikanlah mereka ilmu jika kita mampu atau hantarlah ke tempat yang mereka boleh mempelajarinya jika kita tidak mampu mengajarnya sendiri. Lagipun, semasa mereka masih dalam kuasa kita inilah kita dapat melakukannya. Apabila mereka sudah besar dan berkeluarga, suara kita sudah tiada harga!
"What you leave behind is not what is engraved in stone monuments, but what is woven into the lives of others" - Pericles.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment