Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Tuesday, May 5, 2009
Hari Ibu Datang Lagi....
Semalam dalam Radio IKIM ada tersiar berkenaan Hari Ibu yang bakal menjelang lagi. Bila ye? Mungkin minggu depan, akupun kurang pasti...
Buat ku, Hari Ibu sudah tiada! Sudah tiada sejak tahun 1995 lagi. Kurang dari 3 minggu, genaplah 14 tahun ibu ku meninggalkan dunia yang fana ini (23 Mei 1995).
Memori indah bersama ibu sentiasa bermain di kepala. Titik-titik manis semasa bersama ibu tidak dapat ku lupakan. Sejak di bangku sekolah rendah lagi, ibu menaruh harapan yang tinggi terhadap ku.
Itupun kalau aku membawa pulang nombor yang agak terkebelakang dalam kelas, ibu tidak pernah memarahi ku. "Itulah, malas sangat membaca!", ujar ibu. Tidak lebih dari itu....
Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris Kg Laut (SRJK(I) Kg Laut), itulah nama sekolah ku. Sekolah aku menumpang di Sekolah Rendah Kebangsaan Kg Laut (SRK Kg Laut).
Di waktu pagi, SRK Kg Laut menggunakan kelas-kelas kayu pada masa itu, dan di sebelah petang, SRJK(I) Kg Laut pula menggunakannya. Pun begitu, SRJK(I) Kg Laut agak terkedepan dari segi prestasi berbanding sekolah-sekolah lain dalam daerah Tumpat.
Memori yang terpahat di sanubari semasa bersekolah di sini ialah aku pernah dilantik sebagai Ketua Pengawas Sekolah dan berjaya mendapat keputusan 3A 1B dan 1C dalam Ujian Penilaian Darjah 5.
Ibu ku tidak pernah ke sekolah. Pernah ibu meluahkan perasaan kepada ku mengatakan ayahnya tidak menghantarnya ke sekolah. Sebagai kakak yang sulung dalam keluarga, mungkin datuk ku ada "priority" lain yang perlu didahulukan. Dua adiknya pula mendapat peluang belajar di sekolah.
Namun ibu tidak putus asa... Ibu belajar menulis dan membaca dari bapanya. Semasa aku mula sampai di California, sekitar tahun 1982, aku selalu mengutus surat kepada ibu. Ibu menulis dalam tulisan Jawi dan aku membalasnya dalam tulisan Rumi...
Peristiwa yang paling ku ingat ialah semasa pertama kali aku mengirim wang kepada ibu dari USA. Kakak ku memberitahu bahawa ibu menangis terharu apabila menerima US$300 dari ku. Kata ibu, walaupun aku masih belajar tetapi aku sudah mampu memberikannya wang.
Kenangilah jasa ibu! Jangan hancurkan harapannya. Kadang-kadang ibu marah, tapi ibu marah bukan kerana benci tapi tanda sayang.....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment