Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Saturday, May 30, 2009
Mengerjakan Ibadah Haji - 16
Saya dan isteri pada tahun 2003 mengerjakan Haji Tamattu'. Apa maksud Haji Tamattu'? Mengerjakan haji secara Tamattu' bermaksud berniat umrah pada bulan-bulan haji dan menunaikan semua amal ibadat yang berkaitan dengan umrah. Apabila tiba waktu haji pada tahun yang sama ia akan berihram haji pula dan menunaikan amal ibadat yang berkaitan dengan haji.
Pada 8 Zulhijjah, kebiasaannya para jemaah akan berangkat ke Arafah. Jemaah akan berihram dan berniat haji di penginapan masing-masing sebelum bertolak ke Arafah. Kita akan dibawa dengan bas dan setibanya di Arafah, kita ditempatkan di khemah masing-masing. Khemah saya bernombor 101.
Keesokannya pada 9 Zulhijjah, setelah masuk waktu zuhur tibalah masa Wuquf. Semasa berwuquf kita disarankan memperbanyakkan amalan seperti solat, membaca Al-Quran, berzikir, berdoa dan lain-lain. Keadaan khemah agak sesak dan untuk menggunakan tandas perlu beratur.
Kesabaran dan bertimbang rasa adalah sangat diperlukan. Makan minum di sini sungguh mewah. Air dan buah-buahan sentiasa ada, buka aje peti ais! Saya merasakan seperti berada di syurga, begitu mewah sekali... Saya tak pasti samaada perkhidmatan ini hanya diberi kepada jemaah yang menunaikan haji secara pakej atau semua (termasuk mereka yang menunaikan secara muassasah) juga dapat menikmatinya.
Kita diberitahu oleh petugas TH bahawa kita akan Mabit di Muzdalifah dan bas akan bertolak bermula selepas maghrib. Jemaah akan dipanggil mengikut nombor bas dan nombor maktab masing-masing. Kita hanya perlu menunggu di khemah....
Sayugia diingatkan, waktu Mabit di Muzdalifah ialah bermula selepas separuh malam 10 Zulhijjah hingga terbit fajar. Kita hendaklah berada di Muzdalifah walaupun seketika. Tetapi yang afdalnya adalah berada sepanjang malam hinggalah terbit fajar.
Saya dan isteri menunggu dan terus menunggu hinggalah jam 2 pagi namun petugas TH belum memanggil no. bas dan no. maktab kami. Cuba bayangkan jutaan manusia yang ingin bergerak ke sana, sudah pasti pergerakan agak perlahan!
Akhirnya, saya ke tempat menunggu bas dan petugas TH dari warganegara Indonesia menyatakan, "Haji, naik aje bas, tak perlu tunggu nombor". Panggilan "Haji" dan "Hajjah" kepada jemaah sudah sinonim, tak kira bangsa!
Sayapun kembali ke khemah dan memberitahu kawan-kawan lain untuk terus ke tempat menunggu bas. Alhamdulillah, kami berjaya menaiki bas dan Mabit di Muzdalifah. Saya dengar ada dikalangan jemaah Malaysia yang tak sempat mabit kerana bergerak dari Arafah selepas waktu Subuh.
Kita meneruskan perjalanan ke Mina dan bas bergerak sangat perlahan. Bas bergerak "tail to tail". Kadang-kadang bas terpaksa berhenti, tidak bergerak langsung! Semasa bas berhenti di Mina, kita mengambil kesempatan untuk mengutip 7 anak batu bagi tujuan melontar di Jamrah Kubra.
Sebelum terowong Muassim, saya melihat jam dan waktu solat Subuh makin habis dan bas "stuck" tak boleh bergerak. Saya dan isteri turun ke bawah dan menunaikan solat Subuh di tepi jalan dengan berwudhu'kan air mineral yang dibawa.
Apa yang saya perhatikan, ada dua tempat yang sesetengah jemaah kita kurang peka terhadap kewajipan mengerjakan solat kerana kesusahan dan ketidakselesaan. Yang pertama ialah semasa di dalam pesawat iaitu semasa datang dan balik dan kedua ialah waktu menuju ke Mina.
Selesai mengerjakan solat Subuh, kami menaiki kembali bas yang tidak boleh bergerak tadi. Saya bertanyakan pemandu bas berapa jauh lagi untuk ke Mina? Pemandu bas yang berasal dari Algeria itu memberitahu kalau berjalan kaki mungkin 1 jam.
Saya membuat keputusan untuk berjalan kaki! Saya menanyakan kawan-kawan jika ada yang mahu ikut. Seorang pemuda dan sepasang suami isteri bersetuju untuk bersama-sama saya dan isteri berjalan kaki.
Kami berjalan melalui terowong Muassim dan bergerak pelahan-lahan. Ramai orang warganegara lain yang berjalan kaki. Apabila berhampiran dengan kawasan khemah di Mina, kelihatan petugas TH di jalanan. Mereka bertugas memberi panduan arah kepada jemaah Malaysia. Kami tiba di khemah lebih kurang jam 8 pagi. Saya ditempatkan di khemah E091. Rakan-rakan kami yang setia di dalam bas tiba di khemah jam 11 pagi.
Seterusnya, kita akan dibawa oleh Mutawif untuk melontar 7 biji anak batu di Jamrah Kubra. Habis melontar, saya bercukur dan mengguntingkan 3 helai rambut isteri untuk bertahallul Awwal.
Khemah di Mina, sungguhpun padat dan memaksa jemaah tidur mengiring tetapi mempunyai 'air-conditiner' dan agak nyaman. Kalau ingin tidur melentang, mungkin kita boleh mencari sudut-sudut terpencil di luar khemah...
Labbaikallah Hummalabbaik Labbaikala Syari Kalakabbaik....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment