Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Saturday, May 16, 2009
Selamat Hari Guru...
Hari ini adalah hari guru. Berapa ramai guru aku ye? Rasanya ramai jugak kerana aku banyak pindah sekolah. Secara formal, tempat belajar aku yang pertama ialah Tadika di Kg. Laut. Akupun tak pasti apa nama tadika itu... Yang pasti aku masih ingat pada suatu hari, aku terjumpa tahi cicak di dalam air minuman kami. Loyanya tekak, rasa nak termuntah!
Sungguhpun aku tinggal di Kg. Palekbang tapi aku mulakan persekolahan di kampung bersebelahan. Mungkin juga disebabkan Kg. Laut mempunyai sekolah menengah. Kampung aku hanya ada sekolah rendah. Itupun padang untuk bersukan tak cukup luas. Silap tendang bola, terkena rumah orang...
Kg. Laut memang terkenal. Siapa tak kenal Masjid Kg. Laut? Masjid ini adalah antara yang terawal dibina di Tanah Melayu. Mengikut cerita ibu mertua ku, antara orang yang membina masjid ini ialah datuknya yang berasal dari Tanah Jawa.
Aku belajar dari Darjah 1 hingga Darjah 6 di Sek. Ren. Jen. Keb. Inggeris Kg. Laut. Teringat semasa Ustaz sekolah datang ke rumah bagi meminta izin dari ibu untuk aku menginap di rumahnya di Kota Bharu selama seminggu. Aku dipilih Ustaz untuk mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan peringkat Daerah Tumpat. Aku dilatih tubi oleh Ustaz dan anak perempuannya selama seminggu. Seorang lagi yang terpilih untuk berkampung di rumah Ustaz ialah Datin Norhayati bt. Salleh, isteri Prof Datuk Dr Hassan Said, mantan Ketua Pengarah, Kementerian Pengajian Tinggi. Aku dari Darjah 4 mewakili syarahan dan Aya (nama timangan Datin) dari Darjah 6 mewakili musabaqah Al-Quran.
Habis sekolah rendah, aku sempat ke Sekolah Menengah Kg. Laut selama sebulan. Kemudian aku berpindah ke Sekolah Menengah Tumpat (SMT) kerana terpilih untuk Program Rancangan Khas. Bermula dari sini, aku mendapat biasiswa RM25 sebulan. Aku di SMT hanya setahun kerana masalah pengangkutan. Aku menumpang motorsikal Kawasaki Cikgu Wan Hazit selama bersekolah di SMT.
Aku memulakan Tingkatan 2 di Sekolah Menengah Sultan Ismail, Kota Bharu. Aku menumpang rumah kakak yang menyewa di Wakaf Siku bersama suami dan anak-anaknya. Setiap hari aku mengayuh basikal mengikut jalan dalam, melalui Sekolah Menengah Naim Lil Banat, kemudian Jalan Raja Dewa, dan keluar di Jalan Telipot.
Setiap minggu, apabila tamat sekolah pada hari Khamis, aku mengayuh basikal ke Tambatan DiRaja untuk menaiki bot ke rumah ibuku. Tambang bot untuk basikal dan aku pada masa itu ialah 20 sen. Perjalanan bot dari Kota Bharu ke Palekbang mengambil masa 20 minit. Pada petang Sabtu, aku mengambil bot pula untuk ke Tambatan DiRaja dan seterusnya mengayuh basikal balik ke rumah kakak.
Tamat Tingkatan 3, aku bersekolah di Sultan Ismail College (SIC) selama sebulan. Kemudian aku melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Teknik Terengganu (SMTT). Di SMTT, aku mengambil Jurusan Senibina. Kelasku ialah 4 Bangunan 1 dan 5 Bangunan 1.
Rasanya ramai guru-guru yang telah mendidik ku, sehinggalah aku pula menjadi pendidik di UTM ini. Kepada guru-guru, aku mengucapkan jutaan terima kasih dan aku doakan semoga kalian mendapat ganjaran setimpal, diberkati dan diampunkan segala dosa. Selamat Hari Guru!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment