Friday, May 8, 2009

Budaya Sate


Sate adalah makanan istimewa dan kegemaran ramai. Di hari raya, kebiasaannya ramai menghidangkan sate dengan kuah kacang dan nasi himpit. Rumah yang menghidangkan sate selalunya mendapat kunjungan ramai, lebih-lebih lagi dikalangan kanak-kanak.

Cuba saudara buka Kamus Dewan dan lihat perkataan sate... Maksudnya ialah makanan yang dibuat daripada potongan kecil daging yang dicucuk dan dipanggang, dimakan dengan kuah.

Perkataan sate ada penambahannya. Contohnya, menyate, mempersate dan persatean. Agaknya apa maksud mempersate? Maksudnya ialah melakukan perpecahan pada sesuatu persatuan. Begitu juga maksud persatean iaitu perpecahan kepada pertubuhan dan lain-lain. Nah, sekarang kita tahu maksud perkataannya disebalik keenakan menikmati juadahnya.

Suatu masa dulu, semasa mendengar satu ceramah, saya terdengar penceramah menyebut 'jangan jadi budaya sate'. Dalam hati saya berkata, kenapa pulak, apa salah pada makanan yang lazat ini?

Tambah penceramah itu lagi, sate ini dibuat dengan "potong-memotong" daging, kemudian berlaku "cucuk-mencucuk", kemudian berlaku proses "bakar-membakar", kemudian berlaku "kipas-mengipas" supaya sate terus terbakar.

Budaya potong memotong yang diikuti dengan cucuk mencucuk iaitu menghasut sehingga menimbulkan pergaduhan. Kemudian proses membakar iaitu diapi-apikan pula supaya terus tegang. Kemudian dikipas kedua-dua belah pihak supaya masing-masing merasa merekalah yang betul dan pihak yang sebelah lagi yang salah.

Inilah yang menyebabkan perpecahan berlaku. Makanan yang enak dan sedap dikonotasikan dengan perbuatan yang kurang bermaruah!

Saya pasti proses tadi banyak berlaku dalam sesebuah persatuan atau organisasi. Sanggupkah kita melihat persatuan kita hancur berkecai? Ingat! Apabila ramai mempersatekan persatuan maka akhirnya persatuan tadi mengalami persatean.

2 comments:

  1. nice..new info. KIta kata kita orang Melayu tapi rupa-rupanya banyak lagi yang kita tak tahu tentang bahasa Melayu..menyebabkan banyak perkataan disalahgunakan dengan memberi makna baru pada perkataan tu.

    ReplyDelete
  2. Ya sheikh, begitulah.... Terima kasih kerana sudi menyapa.

    ReplyDelete