Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Monday, May 4, 2009
Mengerjakan Ibadah Haji - 12
Sudah lama saya tidak menulis siri ini. Mungkin merasakan musim haji masih jauh...
Hari Sabtu kelmarin, sekembali dari Ekspedisi Gunung Arong, saya melihat sebuah kaabah di perkarangan surau di persimpangan antara jalan Kota Tinggi-Desaru, dan jalan Ulu Tiram-Mersing.
Sebenarnya, ia merupakan replika Kaabah yang digunakan untuk membantu bakal-bakal haji dalam membuat praktikal. Dan bukannya seperti kaabah yang dibina oleh Abrahah bagi menandingi Kaabah di Mekah. Kita semua tahu peristiwa tentera bergajah yang dihancurkan oleh burung Ababil (dalam surah Al-Fil). Abrahah telah membina Kaabah di Yaman bagi menyaingi Kaabah di Mekah untuk menarik pengunjung. Tetapi malangnya, kaabah yang dibina itu tidak mendapat sambutan dan akhirnya, dia membuat keputusan untuk menyerang dan meruntuhkan Kaabah di Mekah. Kesudahannya, kita tahu tentera tersebut hancur bagai daun dimakan ulat.
Kehidupan di Mekah sama rutinnya dengan di Madinah. Cuma di Mekah, kita boleh melakukan ibadah umrah. Perjalanan umrah yang diurus atau diaturkan oleh pihak TH, kalau tidak silap saya, hanya 4 kali sahaja. Kalau kita ingin membuat ekstra atau lebih dari itu, kita boleh melakukannya sendiri.
Jika kita hendak melakukan sendiri, seelok-eloknya kita berpakat dengan kawan-kawan semaktab dengan kita. Setidak-tidaknya, ada teman. Contohnya, kita dengan isteri dan kawan kita dengan isterinya.
Bagi kita yang telah berada di Mekah, kita seharusnya keluar dari sempadan Tanah Haram untuk berniat ihram umrah. Kebiasaannya, banyak van dan kereta yang menunggu di bawah hotel atau berdekatan dengan Masjidil Haram untuk membawa kita ke sana. Cajnya pelbagai, dari 2 Rial hingga ke 10 Rial. Destinasi yang dibawa ke Tanah Halal ialah seperti Ji'ranah (22km dari Masjidil Haram), Tan'im (5km dari Masjidil Haram) dan Hudaibiyah (29km dari Masjidil Haram).
Apabila kita sampai di salah satu tempat tersebut, kita masuk ke masjid untuk mengerjakan solat sunat tahiyyatul masjid dan disusuli dengan solat sunat ihram. Seterusnya kita berniat ihram, "Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah SWT".
Sebaik sahaja kita berniat ihram, banyakkan berdoa, berzikir dan bertalbiah.
Kemudian kita mendapatkan kenderaan untuk kembali ke Masjidil Haram. Apabila sampai di Masjidil Haram, seelok-eloknya diteruskan dengan Tawaf, Sa'ie, dan Bercukur atau bergunting. Ini untuk mengelakkan kita dari melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa berihram. Apabila selesai bergunting, maka kita mendapat satu ibadah umrah.
Setelah kita melakukan ibadah umrah untuk diri kita, kita juga boleh melakukan umrah untuk kedua ibubapa kita, adik beradik kita dan sebagainya.
Sesetengah orang begitu seronok melakukan umrah. Cuma, nasihat saya ialah buatlah umrah tetapi berpada-pada kerana tujuan kita ialah untuk mengerjakan ibadah Haji. Jangan kita pulun umrah sehingga sakit demam, dan apabila tiba masa untuk menunaikan ibadah Haji, kita sudah tak larat atau jatuh sakit. Sebaliknya pula, jangan langsung tak buat, maksud saya, hanya buat apa yang diatur oleh TH. Rugi kalau tak buat lebih kerana bukan senang hendak pergi lagi, wangnya, masanya, tenaganya, dan lain-lain.
Labbaikallah Hummalabbaik Labbaikala Syari Kalakalabbaik....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment