Friday, May 22, 2009

Mengerjakan Ibadah Haji - 15


Hari Wukuf di Arafah sudah tinggal beberapa hari lagi. Pada masa ini, kita diperingatkan oleh pihak mutawif supaya mengurangkan aktiviti dan menjaga kesihatan. Badan yang sihat diperlukan untuk melakukan Rukun dan Wajib Haji.

Antara Rukun Haji ialah Niat Haji, Wukuf di Arafah, Tawaf, Sa'ie dan Bercukur atau Bergunting. Manakala Wajib Haji pula ialah Berniat Ihram di Miqat, Meninggalkan Larangan Dalam Ihram, Mabit di Muzdalifah, Mabit di Mina, Melontar 7 Biji Batu di Jamrah Kubra dan seterusnya melontar di 3 jamrah; Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra.

Tertunggu-tunggu untuk melaksanakan perkara pokok bagi merealisasikan tujuan asal kita ke sini iaitu menunaikan ibadah haji...

Pada masa ini, jemaah haji mengambil kesempatan untuk mengemas barang-barang yang dibeli untuk dihantar balik ke Malaysia. Tujuannya yang pertama ialah supaya barang-barang yang dibawa nanti tidak melebihi had timbangan apabila menaiki kapal terbang pulang. Kedua, apabila kita sampai di Malaysia, barangan yang diposkanpun juga sudah sampai.

Pihak Pos Malaysia membuat perkhidmatan ini di salah satu tempat penginapan TH. Ia akan mewar-warkan kepada semua jemaah Malaysia melalui tampalan poster dan juga melalui petugas-petugas TH. Bayaran yang dikenakan juga adalah berpatutan.

Pihak TH juga menyediakan perkhidmatan untuk mengeluarkan wang simpanan TH. Ia berpusat di salah sebuah hotel, baik di Madinah mahupun di Mekah. Kita boleh mengeluarkan duit dari akaun kita mahupun dari akaun anak kita yang mana kita masih menjadi penama bersama. Bagi saya berpada-padalah mengeluarkan duit, kita ke sini untuk beribadat bukan untuk "shopping"!

Masa inilah kita membuat perkiraan, anak ini hendak dibelikan ini, anak itu dibelikan itu dan sebagainya. Termasuklah saudara mara dan rakan taulan yang berdekatan. Setidak-tidaknya semua akan dapat walaupun sebiji kopiah, atau sehelai kain serban atau kain tudung, atau tasbih atau minyak atar. Kain tudung dari Turki agak menjadi pilihan dan kegemaran ramai.

Mengenai buah tangan ini, saya teringat semasa ke sebuah kedai buku agama tersohor di Kota Bharu. "Encik tak nak beli sejadah dan kopiah ke, untuk diberi kepada tetamu selepas balik Haji nanti? Ramai yang beli kat sini Encik, harga murah dan tak perlu berat-berat mengangkatnya dari Mekah". Rupa-rupanya ramai yang terpedaya mendapat ole-ole dari Mekah walhal sejadah dan kopiah dibeli di Malaysia sebelum berangkat ke Tanah Suci lagi!

Barangan yang dijual di Madinah dan Mekah banyak keluaran dari negara China. Kopiah banyak dari Thailand, Pakistan, dan Bangladesh. Hargapun pelbagai, ada 10 buah untuk 10 Rial, ada 5 buah untuk 10 Rial.

Beg yang besar dan cantik dari China sangat murah di Mekah. Kita tak perlu membawa beg berlebihan dari Malaysia... Beli saja dari Mekah. Kita selalu dengar, orang menyebut beg beranak, maksudnya asal 2 beg kemudian beranak menjadi 3 atau 4 beg untuk mengisi barangan yang dibeli di Madinah dan Mekah...

Labbaikallah Hummalabbaik Labbaikala Syarikala Kalabbaik....

No comments:

Post a Comment