Tuesday, May 12, 2009

Jauh Perjalanan Luas Pandangan


Pepatah melayu ada menyebut 'Jauh Perjalanan Luas Pandangan'. Kalau kita melihat secara tersirat, maksudnya begitu mendalam. Bukan sekadar keadaan fizikal sesuatu kawasan dapat kita lihat atau 'kelih' tetapi lebih jauh lagi dari segi budaya dan ilmu dapat kita hayati dan pelajari.

Pertama kali saya tiba di Johor sekitar tahun 1995, saya diajak untuk menghadiri satu majlis tahlil di sebelah rumah sewa adik ipar saya. Setelah selesai bertahlil dan jamuan makan, saya ingat majlis sudah selesai tetapi rupa-rupanya ada lagi doa selepas itu. Walhal, selepas tahlil tadi dahpun dibaca doa. Sekiranya kita melangkah keluar sebaik sahaja selepas makan, mungkin kita akan dipandang serong oleh masyarakat setempat.

Saya tidak bermaksud untuk berpolimik tentang majlis tahlil ini tetapi saya secara individu tidak melakukannya semasa arwah ibu saya meninggal dulu. Apa yang penting bagi saya ialah pertama, menjadi anak yang soleh yang mendoakan kepada kedua ibubapa. Kedua, menyampaikan ilmu yang bermanfaat dan ibu saya pernah menjadi guru Al-Quran suatu ketika dulu. Ketiga, dan yang terakhir ialah sedekah jariah.

Di Pulau Pinang pula, saya pernah tinggal di sana sejak tahun 1990. Apa yang saya dapati di sana masyarakat suka menolong atau membantu orang lain. Saya beberapa kali menaiki bas dari Kota Bharu ke Pulau Pinang, dan apabila tiba di Minden, saya menapak ke USM. Setiap kali saya berjalan menaiki bukit USM, saya dipelawa untuk membonceng motorsikal atau menaiki kereta. Budaya ini, saya rasa jarang berlaku di UTM.

Pengalaman menghadiri kenduri kahwin di Pulau Pinang agak berlainan juga jika hendak dibandingkan dengan negeri lain. Maksud saya, dari segi wang yang diberi kepada bapa atau ibu pengantin selepas para jemputan menjamu selera iaitu semasa bersalaman sebelum pulang. Di Pulau Pinang, saya dapati para jemputan agak 'kedekut' untuk memberi wang kertas merah dan sebagainya. Kebanyakannya, mereka hanya menghulur dua, tiga RM saja. Ini mungkin atas dasar, rata-rata tuan rumah di Penang ikhlas menjamu para jemputan, dan tidak mengharapkan untuk pulang modal atau mendapat untung dari kenduri tersebut.

Pengalaman di Melaka semasa menjadi 'driver' kepada kawan saya yang berkahwin, tuan rumah menyediakan tempayan besar dan sebuah buku untuk penduduk kampung memasukkan makanan dan menulis apa yang dibawa. Tujuannya ialah apabila orang tersebut pula mengadakan majlis perkahwinan, si tuan rumah tadi akan membayar balik atau memberi barangan yang sama dengan apa yang diberikan tempoh hari.

Satu lagi pengalaman yang agak berbeza di Penang berbanding dengan tempat lain ialah dari segi kedalaman lubang kubur. Di sana, saya dapati mereka menggali kubur agak cetek, iaitu atas sedikit paras lutut. Manakala di Johor dan Kelantan, ianya begitu dalam sehingga paras kepala. Ia agak sama dalam dengan lubang kubur Baqi' di Madinah.

"Apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi sentiasa bertasbih kepada Allah; milikNya semua kerajaan dan bagiNya pula segala puji; dan Dia Maha kuasa atas segala sesuatu." (At-Taghabun; 1).

No comments:

Post a Comment