Sunday, May 24, 2009

Main Futsal Sambil Berukhuwwah...


Pagi tadi, aku sempat bermain futsal. Tempohari, aku hendak wakilkan fakulti masa sukan antara jabatan UTM tetapi tak kesampaian kerana tak cukup korum. Jadi hari ni sampai juga hajat aku.

Seronok juga sambil main, sambil berkenalan. Perlawanannya ialah antara taman-taman di sekitar Johor Bahru. 7 pasukan kesemuanya: Pasir Gudang A, Pasir Gudang B, Taman Impian Jaya, Taman Pulai Utama, Putai (campuran Taman Pulai Perdana, Sri Pulai dan Taman Teratai), UTM, dan Campur2 (pasukan yang tak cukup pemain dilonggokkan sekali).

Aku dapat mesej supaya melapor diri pukul 8 pagi di gelanggang futsal, Taman Pulai Utama. Sampai di sana, tak nampak bayang sesiapapun. Aku terus menelefon rakan sepasukan PM Dr Mohammad Ismail dan memesan kepadanya untuk memanggilku apabila perlawanan ingin dimulakan. Aku terus ke markas Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UTM.

Tahun ini, PALAPES UTM menjadi tuan rumah upacara Istiadat Pengtauliahan yang akan dilaksanakan oleh Tengku Mahkota Johor pada 20 Jun nanti. Hujung bulan ini, 12 IPTA yang mempunyai PALAPES akan berkampung di UTM sehinggalah 21 Jun nanti.

Lebih kurang pukul 9 pagi, aku mendapat panggilan telefon dari PM Dr Mohammad untuk ke gelanggang. Tiba di sana, aku melihat 'teammate' sudah ada; iaitu PM Dr Razali Abdul Hamid, Hasif Hishamuddin (Ketua Pasukan), Muzammil Rosli, Muhammad Saiful Islam Ahmadon, dan Asyraf Aminuddin. Seorang lagi pemain, Prof Dr Mohd. Aizaini Maarof muncul pada awalnya tapi menghilangkan diri, mungkin sibuk untuk persiapan walimah anak sulungnya pada 7 Jun ini.

Perlawanan pertama, kami kalah 4-1 kepada pasukan Pasir Gudang A. Perlawanan seterusnya, kami menang 3-1 dengan pasukan Pasir Gudang B, menang 3-1 dengan pasukan Taman Impian Jaya, seri 1-1 dengan pasukan Putai, menang 3-1 dengan pasukan UTM, dan menang 5-0 dengan pasukan Campur2. Secara keseluruhannya, kalah sekali, seri sekali, dan menang 4 kali.

Akhirnya, pasukan kami Taman Pulai Utama meraih Naib Johan bagi perlawanan ini. Seronok dengan kemenangan... tapi yang paling menyeronokkan ialah dapat bermain bersama anak-anak yang rata-ratanya separuh umur kami.

Melihat gelagat anak-anak bermain, tercetus di hati, begitulah aku bermain semasa 30, 35 tahun dahulu. Tak kira hujan, tak kira panas terik mentari, berlari ke hulu ke hilir mengejar bola di padang yang terbentang luas...

"Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, sehingga Allah menjadikan mereka lupa akan diri sendiri. Mereka itulah orang-orang fasik" (Al-Hasyr; 19).

No comments:

Post a Comment