Tuesday, May 26, 2009

Berusaha dan terus berusaha...


Setiap ayah pasti mencuba untuk menjadi seorang ayah yang terbaik. Cuba mencukupkan keperluan asasi mengikut pandangan barat iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Sekarang ini, pelajaran merupakan keperluan asasi.

Dalam Islam, mempelajari ilmu memang dituntut dari dulu lagi. Sebab itu, kita disuruh menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.

Bapa seboleh-bolehnya ingin melihat anaknya belajar di sekolah dan berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading. Tidak ada bapa ingin anaknya merasai susah seperti dia merasainya dulu.

Aku teringat dulu berjalan kaki ke sekolah, dari Kg. Palekbang ke Kg. Laut. Agak-agak ada 3 atau 4 batu pergi dan 3 atau 4 batu balik setiap hari. Untuk mengelakkan kasut putih menjadi merah, dek berjalan di atas jalan tanah merah, kebiasaannya, aku berjalan di atas rel keretapi.

Beg bertali disangkut ke dahi supaya bahu tak sakit menanggung buku-buku yang berat. Macamana nak sangkut beg kat dahi ya? Senang aje, untuk sangkut kat dahi, letak aje beg atas belakang dan talinya dihampar ke atas dahi.

Bawa duit 20 sen; air 10 sen dan makanan 10 sen. Kalau aku ditanya, hendakkah aku membiarkan anak-anak melalui apa yang aku lalui? Sudah pasti tanpa berfikir panjang aku menjawab, "Tak mahu". Aku tak rela melihat anak-anakku mengulangi kisah lama. Keperitan dan kejerihan aku, usah engkau lalui wahai anak-anakku!

Aku juga ingin memberi engkau joran supaya engkau tahu dimana ada ikan dan bagaimana hendak tangkap ikan. Aku tak mampu untuk menyediakan ikan untuk kamu buat selama-lamanya.

Aku tidak ingin kamu menjadi papa kerana kepapaan mendekati kekufuran. Sebab itu, aku cuba mencukupkan keperluan kamu setakat yang termampu. Tetapi jangan kamu bandingkan aku dengan bapa-bapa mereka yang lain. Itu saja yang aku mampu...

Pun begitu, aku fikir ia jauh berpuluh kali ganda lebih baik dari apa yang bapaku berikan kepadaku.

Aku berusaha dan mencuba, bukan sahaja untuk memberi keperluan asas kepadamu wahai anak-anak tetapi aku juga ingin mendidik kamu supaya menjadi insan yang soleh dan solehah.

Aku mahu bila aku tiada lagi, kamulah yang akan membaca al-Quran dan menghadiahkan kepadaku. Doa anak-anakku yang soleh dan solehah inilah yang aku harapkan selain sedikit usaha dakwah yang aku lakukan semasa hayatku.

Aku masih jauh dari Bapa Mithali. Tapi aku cuba berusaha dan terus berusaha sehingga hayatku tiada....

"Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penolong-penolong (agama) Allah sebagaimana Isa putera Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia, "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" Pengikut-pengikutnya yang setia itu berkata, "Kamilah penolong-penolong (agama) Allah," lalu segolongan dari bani Israil beriman dan segolongan (yang lain) kafir, lalu Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, sehingga mereka menjadi orang-orang yang menang" (As-Saff; 14).

No comments:

Post a Comment