Thursday, May 21, 2009

Mengerjakan Ibadah Haji - 14


Kehidupan di Mekah berjalan seperti biasa. Malah, kadang-kala sudah menjadi rutin harian. Solat, Makan, Tidur, 'Shopping', Solat, Makan, Tidur, 'Shopping', begitulah perjalanan aktiviti harian.

Pada sesetengah hari, terasa jemu juga makan di hotel walaupun makanan dimasak mengikut citarasa kita. Tukang masak didatangkan khas dari Malaysia, yakni pelajar-pelajar jurusan "hotel catering" dari UNITAR. Itu yang dimaklumkan kepada aku oleh mereka. TH memberi mereka gaji disamping mereka berpeluang untuk menunaikan fardu Haji secara percuma.

Suatu hari, aku dan isteri ingin mencuba roti canai. Roti canai dihidangkan bersama kuah kari dan dagingnya sekali. Setelah dibayar kami duduk untuk makan bersama. Alangkah terkejutnya kami, apabila cuba untuk dicarikkan roti tersebut, ianya agak elastik. Jadi, lenguh jugalah mulut untuk mengunyah dan menghabiskan sebiji roti canai.

Pernah juga kami mencuba nasi beriani. Ia dihidangkan dengan separuh ekor ayam dan berharga 10 Rial. Nasi dan ayam agak tawar. Perlu ditaburkan garam untuk memberikan sedikit perisa.

Sebagai rumusan, makanan yang dimasak oleh pihak TH adalah lebih enak dan sedap dimakan dan memenuhi citarasa kita. Lauknyapun pelbagai, ada ikan gulai, ada ayam goreng, ada daging kicap, ada sotong goreng dan ada udang masak lemak cili api. Tetapi sesekali, terasa juga ingin mencuba masakan lain. Kebabpun banyak didapati di Mekah dan Madinah tetapi bagi aku kebab yang dijual di UK lebih menjilat jari!

Hari demi hari menunggu Hari Wukuf di Arafah... Manusia dilihat bertambah ramai. Pelbagai warna kulit, pelbagai bahasa, pelbagai bangsa dan pelbagai budaya. Mereka datang dari segenap pelusuk dunia. Kalau dulu, begitu senang untuk berada dalam Masjidil Haram yang bertingkat 4 itu atau di dataran berhampiran Baitullah tetapi sekarang terpaksa bergerak awal dari hotel jika ingin berada di sana. Kalau tidak hanya solat di jalan-jalan yang bersempadan dengan Masjidil Haram.

Aku pernah solat di aras bawah tanah Masjidil Haram tetapi terasa agak 'stuffy' walaupun 'ventilation' dan 'air-conditioner'nya berfungsi. Aku juga pernah solat di tingkat paling atas atau bumbung Masjidil Haram. Solat di bumbung begitu terasa bahang panas matahari di waktu zohor. Dan begitu dingin di waktu subuh...

Dengan proses pembesaran yang dibuat bermula pada tahun lepas, aku pasti Masjidil Haram akan dapat menampung lebih ramai jemaah. Cuma tempat penginapan akan menjadi semakin jauh!

Labbaikallah Hummalabbaik Labbaikala Syarikala Kalabbaik....

No comments:

Post a Comment