Tuesday, June 23, 2009

Mengerjakan Ibadah Haji -19


Labbaikallah Hummalabbaik Labbaikala Syari Kala Kalabbaik Innal Hamda Wanni'mata Lakawalmulk Laasyariikalak...

Perjalanan dari Mekah ke Jeddah mengambil masa 5 jam. Perjalanan meninggalkan Kaabah atau Baitullah amat syahdu. Sayu untuk meninggalkan tempat Nabi Ismail ditinggalkan ibunya, Hajar untuk mencari air. Pilu mengenangkan Nabi Ismail rela menghulur leher hendak dikorbankan ayahnya, Nabi Ibrahim. Hiba mengingatkan peristiwa Nabi Muhammad dilempar najis ketika sujud di Baitullah, dan dibersihkan anaknya, Fatimah.

Ya Allah, jadikanlah kedatanganku ke rumahMu ini, bukanlah kedatangan yang terakhir! Amin...

Barang-barang atau beg tambahan dimuatkan ke dalam lori secara berasingan. Kita menaiki bas bersama 'hand luggage' sahaja menuju ke Radisson Hotel di Jeddah. Setiap jemaah haji yang mengerjakan haji secara pakej dengan TH diberi penginapan percuma semalam bersama isteri sebilik di Jeddah. Inilah pengalaman indah, makan, tidur, dan berada di hotel secara 'privacy'.

Tiba di Radisson Hotel waktu malam, kami dijamukan makan malam secara 'buffet'. Pihak TH memaklumkan bahawa barang-barang yang kita hantar melalui lori telah sampai di airport dan akan ditimbang. Jika barangan tersebut melebihi had, kita akan dikenakan caj tambahan.

Masing-masing mengira berapalah mereka kena 'top up' bayaran. Barang-barang yang dibawa 2 atau 3 kali ganda lebih dari berat yang dibenarkan. Saya dan isteri memang tak banyak barang. Jadi kamipun sama-sama berdoa supaya tidak dikenakan caj yang berlipat ganda.

Keesokannya, kami berangkat ke airport Jeddah. Walau bagaimanapun, jemaah haji tidaklah berada di airport yang sebenar tetapi kami ditempatkan di terminal sementara. Terminal ini hanya beroperasi di musim haji.

Di sini juga, kami dimaklumkan bahawa semua barangan kita yang ditimbang dulu telah lepas dari pembayaran caj tambahan. Alhamdulillah, bukan main seronok lagi para hujaj yang banyak shopping...

Menunggu di terminal ini juga agak lama. Kalau tak silap, kita dibekalkan makanan oleh TH dalam pak polisterin.

Apabila tiba masa untuk berlepas, kita dibawa ke terminal sebenar dengan 'tram'. Di sini, passport haji (berwarna hijau) diperiksa di kawasan imigresen. Ada dikalangan hujaj yang membawa air zamzam tambahan dalam botol kecil tidak dibenarkan dibawa masuk. Mereka diminta meminumnya atau dibuang saja di situ sebelum menaiki pesawat.

Sebenarnya, setiap jemaah haji akan dibekalkan dengan 10 liter air zamzam apabila tiba di KLIA nanti.

Sebelum menaiki pesawat, setiap jemaah dibekalkan dengan sebuah mushaf bersaiz besar dari kerajaan Arab Saudi sebagai 'complimentary gift'...

No comments:

Post a Comment