Sunday, February 14, 2010

Bawa Anak-Anak Ke Zoo Johor


Pagi semalam, abah suruh abang bersedia untuk keluar dengan abah. Kemudian, Syakir, Sakinah, Rasyid, dan 'Ammar mula bertanya, "Abah nak pergi mana?". "Abah nak keluar jalan-jalan", balas abah. "Nak ikut!", sambung mereka.

Kemudian abah menunggu mereka di dalam van. Tiba-tiba muncul Acik yang tadi masih belum mandi tetapi sekarang sudah bersiap sedia untuk ikut serta. Abah memandu van ke Pejabat Pos untuk menjelaskan bil air (RM109.25). Bil air bulan lepas RM116 lebih, dan begitulah bulan-bulan sebelumnya tidak pernah dibawah RM100. Kadang-kadang rasa 'jealous' juga melihat bil air kawan-kawan. Bil air mereka berbelas-belas ringgit saja!

Selepas membayar bil di Pejabat Pos Taman Universiti yang begitu lengang, Acik bertanya, "Abah nak pergi mana pulak?". Abah hanya mendiamkan diri, tiada arah yang hendak dituju... Abah rasa nak bawa anak-anak pergi Angsana tapi apa yang mereka dapat? Rasyid begitu beriya untuk ke zoo. Sakinah dan Syakir juga menyokong. Acik bersungguh-sungguh mengajak abah untuk bermain bowling. Katanya, kalau tidak di Angsana boleh juga bermain bowling di Skudai Parade.

Abah terus memandu ke Zoo. Acik mempersoalkan tindakan abah. "Abah nak bawa abang ke zoo?", tanya Acik dengan sinis. "Kenapa, tidak boleh?", tanya abah pula. Acik diam dan begitu juga abang. Acik melihat zoo hanya untuk anak-anak saja dan bukan untuk abangnya yang sudah berusia 16 tahun.

Apabila sampai di pintu masuk, abah membariskan anak-anak sebelum membayar yuran masuk. "Yang tu dua orang, dah sekolah menengah ya?", tanya akak si penjual tiket sambil menunjuk ke arah abang dan acik. "Ya", jawabku tetapi yang ini baru 6 tahun sambil menunjukkan kepada Syakir. "Tak apa, kita caj untuk anak-anak berumur 3 tahun ke atas. RM10 semuanya, bang", balas si akak tadi.

Seronok anak-anak melihat pelbagai jenis burung, monyet, iguana, ikan, seladang, unta, harimau, gajah, singa, rusa, ayam, kambing, dan lain-lain. Sungguh indah kejadian Allah dan begitu bermakna bagi orang-orang yang berfikir...

Tak kering gusi abah dan anak-anak melihat segerombolan warga Bangladesh memberikan kacang kepada monyet-monyet walaupun jelas tertera mengatakan tidak boleh memberi haiwan makan!

Di dalam zoo, ada satu rumah yang dimuatkan dengan berbagai binatang tetapi untuk memasukinya dikenakan pula caj RM1 seorang. Penjaga rumah tersebut menyuruh abah membayar RM3 aje untuk kesemua keluarga kita. Abah hanya ada RM2 duit kecil dan abah memberi satu note RM50. Dia menyuruh abah dan adik-adik terus menerokai rumah tersebut sementara dia mendapatkan wang tukar. Dia akhirnya kembali semula dengan note RM50 abah. "Tak apalah bang, tak ada duit kecil!". Abah memberikan duit RM2 yang masih ada kepadanya.

Sebelum pukul 1 petang, abah mengajak anak-anak ke Plaza Kota Raya. Plaza Kota Raya agak special kerana disamping menyediakan pelbagai kedai barangan, ia juga mempunyai Kedai Kopi Stesen Keretapi Kluang. Kedai ini merupakan cawangannya di Kluang. Menu yang biasa ialah kopi, roti bakar dan telor separuh masak. Dengar khabar, tuanpunya kedai adalah Cina muallaf.

Tetapi yang paling special di Plaza Kota Raya ialah adanya masjid di pusat membeli-belah. Masjid An-Nur menjadi tumpuan pengunjung menunaikan tanggungjawab mereka kepada Rabbul Jalil setelah penat "shopping". Dengar khabar, Syakir, Sakinah, Rasyid dan 'Ammar mendapat duit RM1 seorang, pemberian dari jamaah masjid.

Setelah kami menunaikan solat berjamaah di Masjid An-Nur, membasah tekak dan mengalas perut dengan roti, kamipun kembali ke rumah...

No comments:

Post a Comment