Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Thursday, February 11, 2010
Kita Adalah Apa Yang Kita Fikirkan...
Kita selalu dengar orang kata kita akan menjadi apa yang kita fikirkan... Sebab itu kita disuruh bersikap positif, mempunyai sangkaan baik terhadap Allah SWT, tidak 'negative minded', dan tidak mudah menyerah kalah.
Orang yang positif mempunyai kehidupan yang gembira. Mereka begitu optimistik dan jarang sekali pesimistik, yang hanya memberikannya tekanan atau 'stress'.
Mereka juga tidak meletakkan harga kepada semua perkara yang dilakukan. Ini kerana mereka masih mempunyai pertimbangan bahawa ilmu itu milik Allah dan Allah mampu memberikannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Mereka juga berpegang kepada prinsip jika mereka tolong orang lain pada hari ini, maka orang lain pula akan menolong mereka di kala mereka kesempitan kelak.
Mereka juga masih berpegang kepada prinsip, "Duit bukanlah segala-galanya tetapi kadang-kadang segalanya memerlukan duit!" Mereka masih ingat kepada hadis Nabi (SAW) yang maksudnya, apabila meninggal seorang anak Adam maka luputlah segala perkara darinya kecuali 3, iaitu anak yang soleh yang selalu mendoakannya, ilmu yang bermanfaat yang diajarkan akan sentiasa memberikannya pahala, dan sedekah jariah yang memberi pahala berpanjangan kepadanya.
Untuk memperolehi ketiga-tiga yang dinyatakan oleh maksud hadis di atas, maka kita perlu kepada perancangan. Untuk mendapat anak yang soleh, sudah pasti kita sendiri perlu berusaha untuk menjadi seorang yang baik. Kemudian kita juga perlu mencari seorang ibu yang baik yang bakal mengandungkan anak kita. Bukan hanya melihat kepada kecantikan semata-mata tetapi yang lebih penting adalah kerana ada agamanya, kemudian mungkin hartanya, kemudian mungkin keturunannya, dan kecantikannya.
Kemudian diiringi doa apabila bersama isteri, "Allahumma jannib nassyaitan, Wa jannibassyaitanu ma razaqtana."
Sepanjang kehamilan isteri, dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran supaya anak yang berada di dalam perut juga dapat mendengar dan menghayatinya.
Seterusnya, apabila dilahirkan maka proses pendidikan akan bermula. Pemilihan sekolah juga boleh mempengaruhi pentarbiyahan anak-anak. Anak-anak yang berada dalam biah yang solehah akan terbiasa dengan tatasusila dan akhlak yang mulia.
Untuk mendapat pahala mengajar ilmu yang bermanfaat adalah tidak susah. Kita boleh mengajar seseorang secara lisan mahupun secara 'on-line' melalui komputer. Ilmu yang bermanfaat adalah luas dan tidak terhad kepada ilmu ukhrawi semata-mata. Ilmu keduniaan yang membahagiakan seseorang juga wajar mendapat pahala asalkan ia tidak bercanggah dengan hukum atau ajaran Islam. Setidak-tidaknya menulis resipi masakan yang sedikit sebanyak memberi ilmu kepada orang lain.
Untuk melakukan sedekah jariah adalah mengikut kemampuan... Dan jika tiada perancangan memang kita tidak dapat melakukannya. Contohnya, apabila mendapat gaji, kita sudah asingkan, contohnya RM440 adalah untuk sedekah bulanan kita. Bakinya adalah untuk bayaran bil, makan, pakaian, dan sebagainya.
Bukannya kita belanja untuk makan, pakaian, bayar bil, dan sebagainya, jika lebih baru beri sedekah... Kalau macam ni, kita hanya mampu memberi sedekah senyuman sahaja. Itupun dikira sedekah dan mendapat pahala juga....
Kepada yang ingin bersedekah jariah, lawatilah blog atau website Sekolah Islam Hidayah, Johor Bahru. Sekolah Rendah dan Menengah Islam Hidayah memerlukan RM1.8 juta untuk menambahkan bilangan bilik darjah, bilik guru, dan lain-lain. Sekolah ini dibangunkan tanpa bantuan kerajaan. SRIH dan SMIH beroperasi hasil derma para ibubapa, dan bantuan dari beberapa individu. Sedikit bantuan yang diberikan, insyaAllah pahalanya akan bersama kita walaupun kita sudah tiada di dunia ini atau sehingga bangunan itu tidak digunakan lagi. Sekolah ini juga mempunyai pelajar-pelajar tahfiz dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Pelajar lepasan SMIH bertebaran di seluruh pelusuk dunia; mempelajari Syariah, Kedoktoran, Pergigian, Kejuruteraan, Akauntan, dan bermacam-macam lagi samaada peringkat Ijazah Sarjana Muda mahupun peringkat pasca siswazah...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment